Meta Platforms telah melancarkan ciri privasi dan kawalan ibu bapa yang dipertingkatkan untuk akaun Instagram bagi pengguna di bawah usia 18 tahun, selaras dengan usaha menangani kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kesan negatif media sosial.
Meta akan mengalihkan semua akaun Instagram yang ditetapkan secara automatik ke ‘Akaun Remaja’, yang akan menjadi “akaun privet secara asal (default)”, kata syarikat itu pada 17 September.
Pengguna akaun sedemikian boleh menerima mesej dan ditandakan hanya oleh akaun yang mereka ikuti atau sudah terhubung, manakala penerimaan kandungan sensitif akan diletakkan ke tahap yang paling ketat.
Pengguna di bawah umur 16 tahun boleh menukar seting asal (default setting) hanya dengan kebenaran ibu bapa.
Ibu bapa juga akan mendapat set seting untuk memantau dengan siapa anak mereka berinteraksi dan mengehadkan penggunaan aplikasi itu.
Beberapa kajian telah mengaitkan penggunaan media sosial dengan tahap kemurungan, kebimbangan dan ketidakupayaan pembelajaran yang lebih tinggi, terutama dalam kalangan pengguna muda.
Selain Meta, TikTok dan YouTube telah pun menghadapi ratusan saman yang difailkan bagi pihak kanak-kanak dan sekolah tentang sifat ketagihan media sosial.
Pada 2023, 33 negeri di Amerika Syarikat termasuk California dan New York menyaman syarikat itu kerana mengelirukan orang ramai tentang bahaya wadahnya.
Platform popular, termasuk Facebook, Instagram dan TikTok, membenarkan pengguna berusia 13 tahun ke atas untuk mendaftar.
Langkah Meta dilakukan tiga tahun selepas ia menghentikan pembangunan aplikasi Instagram yang ditujukan untuk remaja.
Ini selepas penggubal undang-undang dan kumpulan sokongan menggesa syarikat itu supaya menghentikannya dengan memetik isu kebimbangan keselamatan.
Pada Julai, Senat Amerika Syarikat mengemukakan dua rang undang-undang keselamatan dalam talian – Akta Keselamatan Dalam Talian Kanak-kanak dan Akta Perlindungan Privasi Dalam Talian Kanak-kanak dan Remaja – yang akan memaksa syarikat media sosial supaya bertanggungjawab terhadap cara wadah itu mempengaruhi kanak-kanak dan remaja.
Sebagai sebahagian daripada pembangunan terkini, pengguna Instagram di bawah 18 tahun akan dimaklumkan supaya menutup aplikasi selepas 60 minit setiap hari.
Akaun juga akan disertakan dengan mod tidur asal yang akan menyenyapkan pemberitahuan sepanjang malam.
Meta berkata ia akan meletakkan pengguna yang dikenal pasti ke dalam akaun remaja dalam tempoh 60 hari di Amerika, United Kingdom, Canada dan Australia, serta di Kesatuan Eropah pada akhir 2024.
Remaja di seluruh dunia akan mula mendapat Akaun Remaja pada Januari. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg