Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Puluhan negeri AS dakwa Instagram jejas kesihatan mental kanak-kanak

Oct 26, 2023 | 05:30 AM



Berpuluh-puluh negeri di Amerika Syarikat menyaman Meta Platforms dan unit Instagramnya, menuduh mereka mencetuskan krisis kesihatan mental dalam kalangan golongan remaja dengan menjadikan mereka ketagih kepada wadah media sosial itu.

Aduan yang difailkan pada Selasa oleh peguam negara di 33 negeri termasuk California dan New York, berkata Meta, yang juga mengendalikan Facebook, berulang kali mengelirukan orang ramai tentang bahaya platformnya dan dengan sengaja mendorong kanak-kanak dan remaja menggunakan media sosial, yang menyebabkan ketagihan dan penggunaan kompulsif.

“Meta telah memanfaatkan teknologi yang berkuasa dan tidak pernah berlaku sebelum ini untuk memikat, menarik dan akhirnya menjerat belia dan remaja,” menurut aduan yang difailkan di mahkamah persekutuan Oakland, California. “Motifnya adalah keuntungan.”

SASARAN GOLONGAN MUDA

Kanak-kanak telah lama menjadi demografi yang menarik untuk perniagaan, yang berharap dapat menarik mereka sebagai pengguna pada usia mereka.

Ini mungkin didorong kerana mereka lebih mudah dipengaruhi di samping mengukuhkan kesetiaan jenama.

Bagi Meta, pengguna yang lebih muda boleh membantu menarik lebih banyak pengiklan yang berharap kanak-kanak akan terus membeli produk mereka apabila dewasa.

Tetapi pihak plaintif berkata penyelidikan telah mengaitkan penggunaan wadah media sosial Meta oleh kanak-kanak dengan “kemurungan, kebimbangan, insomnia, gangguan terhadap pendidikan dan kehidupan seharian dan banyak kesan negatif lain”.

Meta berkata ia “kecewa” menghadapi tuntutan mahkamah itu.

“Daripada bekerja secara produktif dengan syarikat di seluruh industri untuk mencipta piawaian yang jelas dan bersesuaian dengan umur untuk banyak aplikasi yang digunakan oleh remaja, peguam negara telah memilih jalan ini,” kata syarikat itu.

Lapan negeri Amerika yang lain dan Washington DC memfailkan saman serupa terhadap Meta pada Selasa, menjadikan jumlah bidang kuasa yang mengambil tindakan terhadap syarikat yang berpangkalan di Menlo Park, California, itu kepada 42.

Saham Meta jatuh 0.6 peratus di bursa saham Nasdaq.

Kes tersebut adalah yang terkini dalam rentetan tindakan undang-undang terhadap syarikat media sosial bagi pihak kanak-kanak dan remaja.

Meta, TikTok ByteDance dan YouTube Google (GOOGL.O) sudah pun menghadapi ratusan saman yang difailkan bagi pihak kanak-kanak dan daerah sekolah tentang ketagihan media sosial.

Encik Mark Zuckerberg, ketua eksekutif Meta, telah mempertahankan pada masa lalu pengendalian kandungan syarikatnya yang dianggap berbahaya oleh sesetengah pengkritik.

“Di tengah-tengah tuduhan ini ialah idea bahawa kami mengutamakan keuntungan berbanding keselamatan dan kesejahteraan. Itu tidak benar,” kata Encik Zuckerberg menerusi Facebook.

Dalam kes terkini, Meta boleh menghadapi penalti sivil $1,000 hingga $50,000 untuk setiap pelanggaran yang berlaku di pelbagai bidang kuasa negeri – jumlah yang boleh bertambah dengan cepat memandangkan berjuta-juta kanak-kanak dan remaja menggunakan Instagram.

Kebanyakan tumpuan terhadap Meta berpunca daripada penerbitan dokumen oleh pemberi maklumat pada 2021 yang menunjukkan syarikat itu mengetahui Instagram, yang bermula sebagai aplikasi perkongsian foto, boleh menyebabkan ketagihan dan memburukkan lagi isu imej tubuh sesetengah gadis remaja.

Tuntutan oleh 33 negeri itu mendakwa Meta telah berusaha memastikan golongan muda menghabiskan sebanyak mungkin masa di media sosial walaupun mengetahui bahawa mereka terdedah kepada keinginan mendapatkan ‘Likes’ atau tanda suka daripada pengguna lain.

“Meta telah membahayakan kanak-kanak dan remaja kita, memupuk ketagihan untuk meningkatkan keuntungan korporat,” kata Peguam Negara California, Encik Rob Bonta.

ANCAMAN NYATA

Negara juga menuduh Meta melanggar undang-undang yang melarang pengumpulan data kanak-kanak di bawah umur 13 tahun dan menafikan bahawa media sosialnya mempunyai unsur berbahaya.

“Meta tidak mendedahkan bahawa algoritmanya direka untuk memanfaatkan tindak balas dopamina pengguna muda dan mewujudkan kitaran penyertaan yang menyebabkan ketagihan,” kata aduan itu.

Dopamina adalah sejenis ‘neurotransmitter’ dalam otak yang mencetus perasaan seronok.

Menurut aduan itu, ia juga melibatkan keengganan Meta menerima tanggungjawab pada 2022 apabila syarikat itu menjauhkan diri apabila seorang gadis berusia 14 tahun di United Kingdom membunuh dirinya, selepas gadis itu terdedah kepada kandungan tentang bunuh diri dan mencederakan diri di Instagram.

Koroner menolak dakwaan seorang eksekutif Meta bahawa kandungan sedemikian adalah “selamat” untuk kanak-kanak, sambil mendapati gadis itu berkemungkinan besar telah banyak membaca kandungan berbahaya yang meremehkan kemurungan yang dirasai sebelum dia membunuh diri.

Pihak plaintif juga mendakwa Meta sedang berusaha mengembangkan amalan berbahaya di dalam realiti maya, termasuk wadah Horizon Worlds dan aplikasi WhatsApp dan Messenger.

Dengan membuat tuntutan di mahkamah, negeri-negeri di Amerika sedang berusaha menutup jurang yang ditinggalkan oleh ketidakupayaan Kongres Amerika meluluskan perlindungan dalam talian baru untuk kanak-kanak walaupun sudah ada perbincangan sejak bertahun-tahun.

Peguam Negara Colorado, Encik Philip Weiser, pula berkata pendedahan pemberi maklumat menunjukkan bahawa Meta tahu bagaimana Facebook dan Instagram boleh membahayakan kanak-kanak.

“Amat jelas bahawa keputusan yang dibuat oleh wadah media sosial, seperti Meta, adalah sebahagian daripada apa yang mendorong kemudaratan kesihatan mental, kemudaratan kesihatan fizikal dan ancaman yang tidak boleh kita abaikan,” katanya. – Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >