Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Insurans sudah luput, Rita Rudaini tanggung kos rawatan anak

Oct 7, 2024 | 6:55 PM
Rita Rudaini (berdiri, kiri) berusaha memberikan yang terbaik buat dua anaknya, Airit Rayyan Rizqin (duduk di kerusi roda), 15 tahun; dan Airit Qaqa Arjuna, 13 tahun, biar apa pun terjadi.
Rita Rudaini (berdiri, kiri) berusaha memberikan yang terbaik buat dua anaknya, Airit Rayyan Rizqin (duduk di kerusi roda), 15 tahun; dan Airit Qaqa Arjuna, 13 tahun, biar apa pun terjadi. - Foto INSTAGRAM RITA RUDAINI

Pelakon Rita Rudaini mendedahkan terpaksa menanggung sendiri segala kos rawatan anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin, 15 tahun, di pusat perubatan swasta kerana polisi perlindungan insurans sudah luput.

Rita atau nama sebenarnya, Rita Rudaini Mokhtar, 48 tahun, berkata, Rayyan memang mempunyai polisi insurans tetapi tidak pernah digunakan sejak bayi lagi.

“Saya tak memegang polisi perlindungan insurans berkenaan.

“Namun, ternyata polisi perlindungan insurans itu sudah ‘tamat’ hampir 13 tahun kerana ‘pembayar’ sudah berhenti buat pembayaran,” katanya kepada akhbar Harian Metro.

‘Pembayar’ itu merujuk kepada bekas suami Rita dan bapa kepada Rayyan, Aidil Zafuan Abdul Razak.

Rita pernah berkahwin dengan pemain bola sepak, Aidil Zafuan pada 2008, namun bercerai pada September 2013, lapor Kosmo! Online.

Mereka juga mempunyai seorang lagi cahaya mata, Airit Qaqa Arjuna, 13 tahun.

Mengenai polisi insurans berkenaan, kata Rita, beliau juga mengambil perlindungan insurans lain untuk Rayyan, tetapi telah luput ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya nekad buat polisi insurans baru untuk Rayyan dengan syarat akaun lama ditutup, tetapi malangnya ‘pembayar’ tidak mahu beri kerjasama walaupun ejen insurans sudah beri penerangan, tandatangannya hanya percuma sahaja.

“Jadi, saya tidak dapat buat polisi insurans untuk Rayyan yang sama dengan saya serta adiknya, Airit Qaqa Arjuna yang kini berusia 13 tahun,” katanya.

Berkongsi perkembangan kesihatan Rayyan, kata Rita, beliau bersyukur Rayyan sudah selamat menjalani rawatan sepanjang seminggu di pusat perubatan berkenaan.

Menurutnya, beliau akan berusaha memberikan yang terbaik untuk dua anaknya biar apa pun terjadi.

“Alhamdulillah, semuanya sudah selamat. Hampir seminggu saya dan adiknya duduk di hospital.

“Terima kasih kepada adiknya kerana korbankan masa sekolah dan aktiviti untuk menjaga abangnya bersama saya.

“Saya selalu berpesan pada anak-anak, kita senang dan susah sama-sama. Kita kena sentiasa ada untuk masing-masing.

“Terima kasih kepada ahli keluarga yang selalu ada untuk kami, terima kasih juga kepada cikgu, doktor dan jururawat,” katanya.

Terdahulu, Rita berkongsi mengenai dirinya terpaksa menanggung segala kos rawatan perubatan anak sulungnya yang bermula dari kejadian patah tangan sehingga membuka dan mengeluarkan besi pendakap pada tangan kerana polisi insurans anaknya sudah luput, sekali gus mencuri perhatian netizen dalam media sosial.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg