Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Inteam tujukan lagu ‘Harum Setangkai Doa’ buat Suhaimi Saad

Jan 10, 2024 | 11:52 AM
LAGU BUAT TEMAN: Inteam yang terdiri daripada (dua dari kiri) Syahril Khalid, Abdul Rahim Osman, Hazamin Harun dan Hisyam Ahmad, menghasilkan lagu, ‘Harum Setangkai Doa’, sebagai dedikasi kepada Allahyarham Suhaimi Saad yang dikenang kerana budi dan nasihatnya. Berdiri paling kiri ialah Allahyarham Suhaimi Saad.
LAGU BUAT TEMAN: Inteam yang terdiri daripada (dua dari kiri) Syahril Khalid, Abdul Rahim Osman, Hazamin Harun dan Hisyam Ahmad, menghasilkan lagu, ‘Harum Setangkai Doa’, sebagai dedikasi kepada Allahyarham Suhaimi Saad yang dikenang kerana budi dan nasihatnya. Berdiri paling kiri ialah Allahyarham Suhaimi Saad. - Foto INTEAM

KUALA LUMPUR: Kehilangan sahabat seperjuangan yang susah senang bersama pastinya menimbulkan kesan yang sangat mendalam buat seseorang insan.

Begitulah yang dirasakan oleh anggota kumpulan nasyid Inteam yang baru kehilangan sahabat baik mereka, Allahyarham Suhaimi Saad, 43 tahun, yang pergi menghadap Ilahi pada 15 November.

Ketua Kumpulan Inteam, Syahril Khalid, berkata Allahyarham Suhaimi menyertai Inteam pada 2000 sebelum meninggalkan kumpulan itu pada 2005 untuk bergerak secara solo.

Katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM), pemergian Allahyarham pada usia muda mengejutkan peminat industri muzik tanah air.

“Pemergian Allahyarham begitu mengejut. Beliau hanya sakit dalam tempoh kira-kira tiga bulan. Kami sempat menziarahinya di Johor ketika beliau sakit beberapa minggu sebelum menghadap Ilahi,” katanya.

Seorang lagi anggota Inteam, Abdul Rahim Osman berkata walaupun sedih, beliau serta rakan yang lain reda dengan pemergian Allahyarham Suhaimi dan bersyukur kerana selepas kematiannya, banyak cerita dan pesanan kebaikan beliau disebarkan oleh masyarakat.

“Semoga ia menjadi pahala jariah buat Allahyarham. Kami juga rasa sebak dan terharu kerana diberi keizinan oleh keluarga beliau untuk memandikan dan menguruskan jenazah sehingga selesai proses pengebumian,” katanya.

Seorang lagi anggota Inteam, Hazamin Harun berkata beliau berada di Makkah ketika berita kematian Allahyarham Suhaimi diterima.

“Saya sedang berada di dalam kereta api laju dari Madinah menuju ke Makkah untuk menunaikan umrah. Tanpa sedar air mata mengalir membasahi pipi apabila mengimbau kenangan ketika bersama Allahyarham.

“Alhamdulillah ketika di Makkah, saya sempat menunaikan ibadah umrah badal untuk Allahyarham sebagai hadiah untuknya,” katanya yang menjadi sahabat Allahyarham Suhaimi sejak di sekolah menengah lagi.

Baru-baru ini, Inteam melancarkan single berjudul, Harum Setangkai Doa, sebagai dedikasi kepada sahabat mereka yang telah pergi itu.

Lagu tersebut telah mendapat sambutan positif daripada peminat yang rata-rata menulis komen melahirkan rasa sedih, malah menangis apabila menghayati bait seni kata lagu berkenaan.

Lagu ciptaan Frizdan dan lirik oleh Ito Lara itu dilancarkan pada 5 Januari di rangkaian YouTube Inteam Digital dan seluruh platform digital seperti Spotify, Deezer, KKBox, iTunes dan Apple Music.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg