Apabila muzik disko diperkenalkan dan mula menguasai persada muzik dunia pada sekitar 1970-an, nama kumpulan Boney M sentiasa menjadi sebutan.
Kumpulan yang tercipta hasil kreativiti penerbit album Jerman, Frank Farian, yang merupakan pencipta dan penulis lirik kebanyakan lagu Boney M itu terdiri daripada empat anggota asal, Liz Mitchell dan Marcia Barrett dari Jamaica; Maizie Williams dari Montserrat (wilayah jajahan British di Pulau Caribbean); dan Bobby Farrell dari Aruba.
Selepas itu, anggota kumpulan yang terkenal dengan lagu, Daddy Cool, Ma Baker, Brown Girl In The Ring, Rivers of Babylon dan Sunny itu bertukar-tukar dari 1980-an hingga kini.
Kini, keunikan kumpulan yang turut memperjuangkan muzik rege dan ‘funk’ itu dapat anda nikmati selepas lima dekad mereka bertakhta di carta muzik antarabangsa menerusi konsert khas, Boney M 50th Anniversary Tour, sempena ulang tahun ke-50 kumpulan itu.
Williams, 73 tahun, sebagai satu-satunya penyanyi asal Boney M dalam konsert jelajah yang dibawakan oleh penganjur acara, Frontrow Asia, akan menghiburkan anda di Arena@Expo (Dewan 7) pada 15 Januari 2025, mulai 8 malam.
Tidak banyak, bagaimanapun, diketahui mengenai tiga penyanyi lain yang mengiringinya dalam konsert jelajah ini.
Dalam setiap ulasan konsert mereka dalam talian, tidak disebut pula mengenai anggota baru Boney M berkenaan.
Dalam satu wawancara laman The Edge bersama Williams, yang asalnya merupakan seorang peragawati dan penari, bintang itu berkata masa depan Boney M dalam era canggih kini kelihatan sangat cerah.
“Saya rasa bersyukur masih lagi sibuk seperti era 1970-an. Terima kasih kepada peminat Boney M. Kerana mereka, saya masih lagi dapat mengadakan konsert jelajah dan menikmati nyala rasa saya dalam dunia nyanyian.
“Boney M berjaya menjual lebih 150 juta rekod dalam masa 50 tahun. Ia adalah perasaan yang menyejukkan hati saya melihat pencapaian kami.
“Awalnya apabila kami menjadi sebahagian daripada kumpulan ini, kami memang tak sangka kami boleh bertahan sebagai satu jenama besar pada masa sekarang.
“Kami hanya menikmati apa yang kami suka, menyanyi dan membuat persembahan di khalayak ramai. Suatu ketika, kami tersedar Boney M adalah juara carta muzik dengan banyak lagu hit. Seronok bukan?” ujar Williams.
Dalam satu wawancara berasingan bersama laman Indulge yang berpangkalan di India, Williams menjelaskan bahawa beliau juga teruja muzik Boney M yang penuh nostalgia ini dapat memenuhi cita rasa golongan muda.
“Segalanya adalah pemberian Tuhan, sejujurnya dan sebenarnya. Muzik Boney M adalah yang sesuai dinikmati semua orang, baik tua atau muda.
“Setiap orang pastinya mempunyai lagu kegemaran nyanyian Boney M. Melodi lagu kami sesuai dinyanyikan atau ditarikan di majlis kahwin, ulang tahun perkahwinan atau gig. Sesiapa sahaja boleh kaitkan diri mereka dengan lagu kami,” kongsinya.
Sungguhpun begitu, Williams dapat rasakan bahawa tugas artis sekarang lebih sukar untuk menonjol dan melahirkan karya seni malar segar kerana munculnya ramai bakat baru daripada program realiti atau media sosial.
“Terdapat banyak peraduan mencari bakat baru. Ramai yang menang dan berjaya tetapi kerap kali mereka terbiar sampaikan tiada apa yang menjadi dalam kerjaya seni mereka.
“Bagaimanapun, ada anak seni seperti Ed Sheeran yang sangat berjaya. Ada ramai penulis lirik dan pencipta irama yang baik.
“Saya rasa industri muzik hari ini sudah jauh beza dan lebih sulit daripada zaman Boney M. Buktinya, nak ingat satu lagu daripada artis tertentu pun payah.
“Sekejapan sahaja lagu hit dah mula dilupakan,” kongsinya.
Tiket konsert jelajah ‘Boney M 50th Anniversary Tour’ berharga antara $150 dengan $250 boleh ditempah di laman web, Sistic (www.sistic.com.sg).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg