Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Isteri komposer Pak Ngah Suhaimi, Mak Ngah, meninggal dunia

Jul 2, 2024 | 3:41 PM
Allahyarhamha Datin Sharifah Mahani Syed Kassim, meninggal dunia pada 1 Julai kerana barah.
Allahyarhamha Datin Sharifah Mahani Syed Kassim, meninggal dunia pada 1 Julai kerana barah. - Foto INSTAGRAM MYCREATIVEVENTURES

Isteri kepada pencipta lagu irama Melayu tradisional, Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah, iaitu Datin Sharifah Mahani Syed Kassim, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya pada 1 Julai.

Sharifah Mahani, yang lebih dikenali sebagai Mak Ngah, meninggal dunia sekitar tengah hari kerana barah.

Berita itu dimaklumkan oleh pelakon Che Kem, atau nama sebenarnya, Mohd Kamarulzaman Taib, ketika dihubungi Berita Harian Malaysia (BHM).

“Pemergian Allahyarhamha Sharifah Mahani dimaklumkan oleh anaknya, Siti Syafrina Suhaimi, menerusi aplikasi WhatsApp sekitar 12 tengah hari. Arwah meninggal dunia akibat barah.

“Saya tak pasti jenis barah yang dihidapinya. Namun, beliau meninggal dunia di rumahnya,” jelas Che Kem.

Menurutnya lagi, arwah Sharifah Mahani baru mengetahui beliau menghidap barah pada penghujung 2023.

“Saya rasa barah tahap empat, tapi saya tak dapat nak sahkan perkara ini,” ujarnya.

Che Kem turut memaklumkan jenazah Allahyarhamha Sharifah Mahani diuruskan di Masjid Kampung Baru.

BHM cuba menghubungi Siti Syafrina, namun panggilan tidak berjawab.

Selain Siti Syafrina, Allahyarhamha Sharifah Mahani dan Allahyarham Pak Ngah turut memiliki seorang lagi cahaya mata, Megat Mohd Syahraini.

Terdahulu, Allahyarham Pak Ngah meninggal dunia akibat serangan jantung di Tanjung Pinang, Batam, Indonesia pada 25 September 2018.

Siti Syafrina mengesahkan bapanya meninggal dunia kerana beberapa penyakit iaitu komplikasi jantung, paru-paru berair, kencing manis dan darah tinggi.

Antara bakat Singapura yang mengirim ucapan takziah buat keluarga Allahyarhamha ialah penyanyi Elfee Ismail, yang menulis di Facebook:

“Sungguh sedih mendengar kita kehilangan insan yang begitu baik seperti Allahyarham suaminya (Pak Ngah). Semoga Mak Ngah tenang di sana.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg