Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Isteri penyanyi Ibnor Riza sedih lihat keadaan suami, doa keadaan kian pulih susuli pembedahan

Dec 3, 2023 | 1:24 PM
MASIH DITIDURKAN: Penyanyi popular era 1980-an, Ibnor Riza, 62 tahun, yang ditidurkan untuk menjalani pembedahan membuang air pada kepala, pada 2 Disember (Sabtu malam), dilaporkan dalam keadaan baik, dengan diletakkan di bawah pemantauan ketat doktor.
MASIH DITIDURKAN: Penyanyi popular era 1980-an, Ibnor Riza, 62 tahun, yang ditidurkan untuk menjalani pembedahan membuang air pada kepala, pada 2 Disember (Sabtu malam), dilaporkan dalam keadaan baik, dengan diletakkan di bawah pemantauan ketat doktor. - Foto FAIL

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular era 1980-an, Ibnor Riza, 62 tahun, yang ditidurkan untuk menjalani pembedahan membuang air pada kepala, pada 2 Disember (Sabtu malam), dilaporkan dalam keadaan baik, dengan diletakkan di bawah pemantauan ketat doktor.

Ibnor yang diuji penyakit barah limfoma tahap empat sejak Mac lalu, bagaimanapun, masih ditidurkan, berdasarkan maklumat dikongsi isterinya, Sarimah Sulaiman, 51 tahun.

Sarimah berkata, pembedahan itu dibuat selepas Ibnor mengalami demam berpanjangan sebaik selesai menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 10 November lalu.

“Pembedahan sudah selesai, tapi abang Ibnor masih ditidurkan. Dalam tempoh ini masih tak dibenarkan untuk datang melawat termasuk keluarga sendiri. Abang Ibnor juga masih dipantau rapi doktor.

“Sebenarnya, abang Ibnor dimasukkan ke wad HUKM sejak 7 November lalu untuk menjalani rawatan kemoterapi. Selepas selesai kemoterapi pada 10 November lalu, abang Ibnor terus demam dan berlarutan sampailah sebelum dia menjalani pembedahan, malam tadi.

“Kalau diikutkan rawatan itu ada dua sesi, tetapi tak dapat teruskan sebab dia sudah mula demam. Demam itu disebabkan jangkitan kuman ditambah pula dengan abang Ibnor yang sudah lama menghidap barah limfoma, jadi kuman itu sudah mula merebak ke kepala,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).

Pada 2 Disember, berita mengenai pembedahan Ibnor yang diuji penyakit barah limfoma tahap empat sejak Mac lalu itu dimaklumkan penyanyi Nizam Laksaman menerusi perkongsian dimuat naik di Facebook (FB).

Melalui hantaran itu Nizam menulis:

“Kawan-kawan yang dikasihi. Saudara kita, Ibnor Riza ditidurkan bagi tujuan pembedahan di kepala. Ini dibuat bagi mengeluarkan air yang ada di kepala di mana ia beri tekanan dan kesakitan yang amat,” katanya.

Sarimah mengaku tergamam berikutan pembedahan yang perlu dijalani suami berlaku secara mengejut. Bagaimanapun, Sarimah bersyukur apabila dimaklumkan doktor bahawa suaminya dalam keadaan baik.

Justeru, Sarimah memohon doa orang ramai agar suaminya diberi kesembuhan dan kuat dalam menempuhi ujian kesihatan.

“Kalau diikutkan, pembedahan itu berlaku secara tiba-tiba sebab tahap kesihatan dia menurun secara mendadak dan memerlukan pembedahan segera.

“Air dekat kepala dia juga sudah banyak, jadi disebabkan itu perlu dibedah.

“Alhamdulillah, pembedahan berjaya, jadi saya minta doa sahaja daripada orang ramai supaya abang Ibnor diberikan kesembuhan.

“Saya sedih bila tengok keadaan dia sekarang. Abang Ibnor juga tidak banyak bercakap dalam tempoh ini, dia hanya banyak berehat.

“Doktor juga maklumkan keadaannya baik tiada apa-apa masalah. Cuma sekarang ini perlu bergantung kepada kekuatan abang Ibnor.

“Kalau sudah semakin baik, baru doktor akan cabut tiub. Keadaannya juga kalau diikutkan sudah kritikal, tapi kalau ada keajaiban, kami bersyukur,” katanya.

Mengulas rawatan kemoterapi yang perlu dijalani Ibnor, Sarimah berkata, proses itu memberi perkembangan positif terhadap tahap kesihatan suami, namun, kembali merosot selepas dijangkiti kuman.

“Rawatan kemoterapi itu berjaya sebab nampak ada perubahan dan bengkaknya juga sudah mula susut. Tapi apabila jangkitan itu semakin teruk, jadi, badannya lemah semula.

“Sekarang abang Ibnor muntah-muntah dan perlu pakai lampin pakai buang, malah, tahap kesihatannya turun mendadak,” katanya.

Pada 19 Februari lalu, Ibnor dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Port Dickson selepas pengsan di rumah.

Sebelum itu, Ibnor diserang pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, tahap kolesterol tinggi, buasir, darah tinggi dan migrain teruk termasuk disahkan menghidap ‘Vocal Cord Palsy’ yang membuatkan dirinya sukar bercakap akibat bengkak dialami pada leher.

Setakat ini, Ibnor yang popular dengan lagu Meneka Dalam Kesamaran dilaporkan sudah melalui proses kemoterapi sebanyak sembilan kali.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg