Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jangan sesekali ‘hiking’ semata-mata nak ikut trend: Pemuda yang tawan 113 air terjun

Aug 17, 2025 | 5:30 AM
Encik Muhammad Muttaqin Ahmad Razman berkunjung ke air terjun di Sungai Charok Juan, Kedah.
Encik Muhammad Muttaqin Ahmad Razman berkunjung ke air terjun di Sungai Charok Juan, Kedah. - Foto ihsan MUHAMMAD MUTTAQIN AHMAD RAZMAN

Apabila beliau mula meneroka air terjun pertamanya pada usia 19 tahun di Sungai Perdik yang terletak di Hulu Langat, Selangor, Encik Muhammad Muttaqin Ahmad Razman, menganggap ia sebagai kegiatan suka-suka sahaja bersama rakan-rakannya.

Namun, kegiatan itu lama-kelamaan menjadi hobi buat pemuda itu untuk mengurangkan tekanan diri dan mengumpulkan semula ketenangan dalam dirinya.

Kini pada usia 26 tahun, Encik Muttaqin telah menawan 133 air terjun di serata Semenanjung Malaysia termasuk di Seremban, Selangor, Pahang, Kedah, Terengganu dan Perak.

“Setiap air terjun yang saya kunjungi ada keunikan tersendiri – dari segi bentuk geografi, ketinggian, sampai jatuhan air pun lain-lain.

“Itu yang buat saya rasa teruja setiap kali nak teroka tempat baru. Selain itu, aktiviti ini juga buat saya rasa lebih dekat dengan alam,” ujar pengurus itu yang tinggal di Shah Alam, Selangor.

Dihubungi Berita Minggu (BM) Encik Muttaqin berkata didorong misinya untuk menjejakkan kaki di lebih 200 air terjun, Encik Muttaqin kerap ke air terjun berbeza, kadangkala dua minggu sekali, dan di lain masa, selang sebulan.

Ditanya air terjun mana yang paling digemari, beliau berkata ia adalah di Sungai Belanga, Terengganu.

“Air terjunnya sangat tinggi, tak deras dan ada kolam di bawah yang airnya warna hijau, cantik sangat,” jelasnya.

Beliau turut berkongsi antara cabaran yang dihadapi iaitu kebanyakan lokasi air terjun di kawasan hutan menjadi habitat haiwan liar dan buas.

Justeru, beliau perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan mengutamakan keselamatan diri.

Selain itu, ada juga air terjun yang diteroka terletak di dalam kawasan orang Asli yang memerlukan kebenaran Tok Batin di kampung itu.

Ada sesetengah Tok Batin yang membenarkan dan ada juga yang melarang beliau dan rakan-rakannya meneroka sungai di kampung mereka.

“Kadang-kadang, kami terpaksa pulang dengan tangan kosong atau mengubah rancangan,” kata anak keempat dalam enam adik beradik itu.

Bagi yang ingin berjinak-jinak memburu air terjun, Encik Muttaqin menasihati agar mereka menitikberatkan keselamatan.

Selain memastikan diri dilengkapi perlengkapan ‘hiking’ yang sesuai dan mencukupi termasuk pakaian, kasut, dan peralatan asas lain, mereka disarankan pilih lokasi yang mudah dahulu sebelum beralih ke trek lebih mencabar.

Bagi yang tidak yakin untuk pergi sendiri, lebih baik jika mereka ikut jurupandu atau pergi dalam kumpulan yang terdiri daripada mereka yang berpengalaman, ujarnya.

“Jangan sesekali ‘hiking’ semata-mata nak ikut trend, sebab keselamatan diri lebih utama. Dan satu perkara yang tak boleh dilupakan iaitu jaga alam sekitar.

“Bawa balik semula sampah dan jangan cemarkan keindahan semula jadi yang kita datang nak nikmati,” tambah beliau.

10 air terjun kegemaran yang dikongsi Encik Muttaqin:

1. Sungai Belanga, Terengganu

2. Sungai Beraham, Perak

3. Sungai Lata Puteh, Perak

4. Sungai Beremban, Perak

5. Sungai Charok Juan, Kedah

6. Sungai Sangkut, Perak

7. Sungai Rasau, Terengganu

8. Sungai Rening, Selangor

9. Sungai Meraung, Pahang

10. Sungai Pandan, Pahang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg