Pantai dan pulau di Malaysia lebih daripada sekadar tempat percutian bahkan ia juga merupakan tempat bagi penggemar sukan air beraksi.
Sama ada anda melambung mengikut arus ombak di atas papan layang (flyboard) atau mendayung melalui perairan yang tenang di atas papan dayung (paddleboard), aktiviti ini merupakan cara terbaik untuk menikmati pantai Malaysia yang indah.
Berikut beberapa kegiatan air untuk dicuba bagi percutian anda yang seterusnya.
Bayangkan diri anda melungsur di atas permukaan air dengan papan anda dijulang ke atas oleh tekanan pancutan jet air.
Papan layang sememangnya sukan menarik yang anda boleh lakukan di beberapa tempat di Malaysia seperti di Langkawi (Kedah) dan Port Dickson (Negeri Sembilan).
Sukan itu juga boleh dinikmati di Marina Putrajaya, lapor The Star.
Usah risau jika anda tidak pernah melakukannya kerana jurulatih akan berada bersama untuk membimbing anda sepanjang waktu.
Pernah lakukan kegiatan ‘paragliding’ atau luncur layar?
‘Parasailing’ agak serupa tetapi bezanya di laut.
Kegiatan ini membawa anda terbang jauh di atas, menawarkan pemandangan panorama kawasan di bawah dan kadangkala – jika anda berjaya berada di paras cukup tinggi – jauh melebihi itu.
Anda diikat ke payung terjun, ditarik oleh bot laju yang membawa anda terbang semakin tinggi.
Ini adalah perjalanan yang membawa ketenangan, dan sesuai buat mereka yang mahu mula berjinak-jinak.
Antara tempat untuk menikmati kegiatan ini ialah Pantai Cenang di Langkawi, Batu Ferringhi di Pulau Pinang, dan Pulau Tioman di Pahang.
‘Wakeboarding’ menggabungkan kegiatan meluncur dengan papan selaju (skateboard), yang dilakukan sambil anda ditarik melintasi air menggunakan bot berkelajuan tinggi.
Ia adalah sukan yang sangat menyeronokkan, tetapi memerlukan sedikit kemahiran untuk mengawal pergerakan papan.
Anda mungkin ingin mencubanya di tasik seperti di Putrajaya atau Seri Kembangan di Selangor dahulu sebelum mencuba di pantai atau pulau, dengan ombak yang lebih kuat akan menambah kepada cabarannya!
Jika anda suka kegiatan kayak, mungkin dayung berdiri akan menjadi sesuatu yang mudah bagi anda. Dalam sukan ini, anda perlu melutut atau berdiri di atas papan yang lebar seperti papan luncur dan mendayung merentasi air.
Walaupun melakukan kegiatan ini di perairan tenang seperti tasik adalah lebih mudah, kebanyakan orang menuju ke pantai untuk mendayung dengan ombak.
Banyak pantai di Malaysia kini menawarkan aktiviti dayung berdiri dan kebanyakan syarikat akan mempunyai jurulatih untuk mengajar mereka yang kali pertama melakukan kegiatan itu.
Jika anda sudah selesa melakukannya sendiri, sesetengah syarikat juga membenarkan anda menyewa papan mereka.
Untuk sesuatu yang lebih santai (atau mungkin mencabar bagi sesetengah orang), cuba yoga papan dayung, yang boleh didapati di beberapa tempat di seluruh Malaysia.
Layang-layang ialah sukan air yang mendebarkan, dengan anda menaiki papan merentasi laut sambil memegang layang-layang besar yang sudah tentu dikawal oleh tiupan angin.
Beberapa tempat terbaik untuk melakukan sukan tersebut adalah di sepanjang pantai timur Semenanjung Malaysia, terutamanya di Cherating dan Balok, Pahang.
Mereka yang pada tahap permulaan perlu mempelajari asasnya terlebih dahulu daripada sekolah atau jurulatih ‘kitesurfing’, sebelum beransur-ansur melakukannya sendiri.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg