Hanya kerana menyebut perkataan ‘perempuan gila’ didakwa ditujukan kepada Nur Fazura, artis serba boleh, Janna Nick, menuai kontroversi atas keterlanjuran lidahnya itu.
Menerusi sesi audio siar bersama pelakon Fattah Amin, Janna selaku hos didakwa mengeluarkan ‘perkataan sensitif’ itu ketika bertanya mengenai perasaan pelakon tinggi lampai itu selepas bergelar duda.
Selepas teruk diserang netizen, pemilik nama lengkap Nurul Jannah Muner akhirnya tampil menjelaskan istilah ‘perempuan gila’ yang digunakannya dalam sesi temu bual bersama Fattah adalah untuk situasi umum sebagai lelaki, bukannya menyindir bekas isterinya itu.
“Saya tanya soalan berdasarkan situasi. Untuk yang tak faham dan kata saya hina perempuan bercerai, hello, saya pun datang daripada keluarga berantakan.
“Saya sekadar mahu mendapatkan perspektif jujur daripada seorang lelaki yang sudah bercerai.
“Saya sangat faham perasaan perempuan ditinggalkan atau meninggalkan. Saya tidak akan, malah mustahil menghina seorang wanita dan ibu,” katanya kepada Berita Harian Malaysia.
Janna berkata beliau terima dengan hati terbuka bila pada awalnya ada orang tidak faham konteks perbualan.
“Saya rasa adalah perkara normal untuk berbeza pendapat dan menerima mengikut perspektif masing-masing. Mungkin pemahaman kami tidak sama. Cuma, bila ada yang mula serang media sosial dan kaitkan dengan soal zuriat, saya tidaklah marah.
“Saya dalam fasa reda. Kalau dahulu orang kaitkan pasal lambat dapat zuriat dan persendakan, saya sedih, tapi sekarang saya pasrah sahaja. Saya hanya ucap Alhamdulillah. Melenting tidak, meroyan pun tidak,” katanya.
Mengulas bila ada yang melabelkannya sebagai pengacara provokasi, Janna berkata kadang-kadang kena faham tanggungjawab seseorang pengacara.
“Kalau mengacarakan program ilmiah yakni menyampaikan informasi, tak perlu ada sentimen provokasi. Tapi, kalau mengendalikan program hiburan berkonsepkan gosip, begitulah pendekatannya.
“Kita kena cungkil segala kontroversi, kalau boleh korek sedalam-dalamnya. Memang saya adalah pengacara provokasi, tetapi mengikut kehendak program,” katanya.
Tambah Janna, beliau bukan pengacara bermulut jahat, tidak sama sekali.
“Selalunya, yang minta saya bermulut jahat adalah penerbit program. Untuk pengetahuan, kalau saya dapat sesuatu ‘job’ dan ketika mesyuarat atau taklimat produksi, saya memang akan disuruh untuk bermulut lancang ketika bertanyakan soalan.
“Kalau tiba-tiba masa ‘rehearsal’ program, saya jadi baik, lepas habis sesi produser akan tegur dan minta kembali menjadi jahat,” katanya.
Menjawab persoalan ingin dikenali sebagai pengacara yang bagaimana, Janna berkata kena tengok juga program yang bakal dikendalikan.
“Kalau saya mengacarakan program Melodi, saya kenalah ikut acuan disediakan. Kalau penerbit nak saya tukar gaya pengacaraan seperti program Nona, saya kenalah tukar watak jadi wanita ayu, bermulut manis dan lemah lembut.
“Saya nak jadi pengacara yang ‘versatile’,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg