Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sukar bawa watak Tok Dalang, Fattah kecewa filem ‘Kulit Wayang’ kurang sambutan

May 22, 2025 | 9:29 PM
Malaysia, Fattah Amin, Kulit Wayang
Pelakon Fattah Amin menyifatkan watak Tok Dalang, Pak Lee bukan mudah kerana perlu berdialog dalam bahasa Kelantan dan bermain wayang kulit. - Foto INSTAGRAM FATTAHAMINZ

KUALA LUMPUR: Pelakon Fattah Amin tidak menolak wujud perasaan kecewa apabila filem Kulit Wayang lakonannya gagal mendapat sambutan sejak ditayangkan di pawagam awal Mei.

Sama seperti mana-mana pelakon lain, Fattah, atau nama sebenar, Abdul Fattah Mohd Amin, 35 tahun, mengharapkan hasil lakonannya mendapat perhatian dan ditonton ramai memandangkan banyak pengorbanan serta komitmen besar dicurahkan sepanjang penggambaran filem itu.

“Sudah tentu ada rasa kecewa sebab kalau boleh nak ramai menonton setiap karya yang dibawakan. Kali pertama tonton lakonan saya dalam filem ini pun, saya sendiri bersyukur kerana segala penat lelah dan komitmen diberikan berjaya diterjemahkan dengan sebaiknya.

“Watak Tok Dalang yang saya bawakan bukan mudah kerana perlu berdialog dalam bahasa Kelantan dan bermain wayang kulit.

“Tapi, saya rasa mungkin penerbit atau pengarah ada strategi tersendiri, mungkin mereka mahu menghantar filem ke festival filem, bukan sasarkan kutipan box office,” katanya kepada BH Online.

Ditanya punca kenapa filem sukar meraih perhatian penonton, pemenang trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 3.0 itu berkata salah satu faktor utama mungkin disebabkan genre serta persepsi awal penonton terhadap tema diketengahkan.

“Saya rasa mungkin sebab genre apabila ramai yang beranggapan filem ini hanya berkisarkan wayang kulit, jadi ada yang skeptikal (ragu-ragu).

“Selain itu, ada juga yang fikir filem ini hanya untuk orang Pantai Timur, tapi sebenarnya bila mereka tonton, kebanyakannya beri pujian dan sedar filem ini bukan untuk Pantai Timur atau penggemar wayang kulit semata-mata.

“Tapi, saya tak menolak faktor persaingan dengan filem lain juga antara punca. Kalau cakap soal waktu tayangan, itu bukan keputusan saya. Cuma, bila banyak filem tempatan ditayangkan pada bulan sama, ia satu persaingan yang sihat.

“Saya sebenarnya gembira banyak filem tempatan berada di pawagam kerana kita pernah melalui satu fasa tiada karya baru. Jadi, sekarang bila filem tempatan makin rancak, itu satu perkembangan sangat baik,” ujar Fattah.

Sebelum ini, pelakon Pekin Ibrahim pernah meluahkan kekecewaan yang sama apabila filem mendapat sentuhan sutradara Dain Said itu tidak berjaya mendapat kutipan pecah panggung seperti filem tempatan lain.

Berlatarbelakangkan kampung terpencil sekitar 1980-an, Kulit Wayang mengisahkan tok dalang terkenal, Pak Lee, yang hidupnya berubah sepenuhnya selepas kehilangan tragis anak perempuannya, Ayu.

Sebelum ini, kehidupannya dipenuhi seni dan budaya kini dihantui trauma dan misteri.

Selain Fattah dan Pekin, naskhah bergenre fantasi dan seram itu turut dibintangi Jenna Kamaratih, Reynavenzka Deyandra dan Amanda Ang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg