Karyawan keselamatan dan penganjur acara, Encik Halil Nasil, sanggup bertunggu tangga antara dua hingga empat jam di depan komputer riba untuk menempah tiket konsert Coldplay dan Taylor Swift.
Beliau menganggap dirinya cukup bernasib baik kerana kebiasaannya berjaya menempah tiket untuk menyaksikan bintang idaman dan tidak pernah terbiar kecewa.
Kalau orang sangka hanya remaja dan wanita sahaja yang boleh timbul stres gara-gara ingin berebut mendapatkan tiket yang laris dijual, ia sama sekali tanggapan yang tidak benar kerana Encik Halil, 39 tahun, adalah antara golongan unik yang akan mengikuti trend muzik semasa bahkan tidak terlepas daripada berasakan bahang setiap konsert berskala besar.
Sesudah pandemik Covid-19 berlalu pergi, Encik Halil sudah menyaksikan hampir 10 konsert. Ia termasuk Westlife, TLC, Black Eyed Peas pada perlumbaan Formula 1 (F1) tahun lalu di samping.Backstreet Boys, Ne-Yo, Blackpink dan juga IVE.
Ketika dihubungi Berita Harian, Encik Halil berkata:
“Saya tak tahu bagaimana saya boleh bernasib baik setiap kali tempah konsert yang memerlukan penantian dan kesabaran. Risiko akhirnya gagal dapat tiket memang wujud.
“Mungkin sudah menjadi rezeki saya. Sewaktu menempah tiket prajualan Taylor Swift, nombor giliran saya atau ‘queue number’ saya adalah 100,000. Saya dah reda kalau tak dapat tiket. Akhirnya selepas dua jam menunggu, saya dapat membelinya.
“Bagaimanapun, pengalaman paling lengit ialah ketika saya menempah tiket Coldplay. Saya hanya dapat tiket yang ditunggu-tunggu empat jam selepas menunggu. Saya sudah sampai ke halaman membayar tetapi tertera pada sistem pula bahawa tiket sudah habis.
“Jadi saya terpaksa cuba dan cuba lagi dengan menekan beberapa kali alamat laman tersebut untuk fungsi ‘refresh’ halaman. Saya meminati Coldplay sejak album pertama mereka, Parachutes.
“Mereka mempunyai karisma yang berbeza daripada artis lain. Konsert mereka mempunyai aura yang membuat peminat dibawa ke zon lain yang menimbulkan rasa sangat gembira yang sukar digambarkan dengan kata-kata.”
Ditanya tentang Taylor Swift pula, beliau menyatakan dirinya pernah menghadiri konsert jelajah Red Tour pada 2014 dan mendapati penyanyi itu adalah penghibur mantap dan interaktif dengan sajian lagu jatuh cinta dan putus cinta yang mudah dikaitkan dengan kehidupan orang ramai.
“Saya adalah peminat muzik yang sudah lebih 15 tahun menempah tiket dalam talian. Saya tidak ada strategi tertentu untuk pastikan saya mesti dapat tiket yang diinginkan.
“Mungkin anda boleh dapatkan seberapa ramai kawan atau saudara-mara anda untuk membantu ‘beratur’ dalam talian sejam sebelum tiket mula dijual.
“Pastikan rangkaian Internet anda kuat, komputer riba anda boleh berfungsi dengan baik tanpa ada masalah... selebihnya serahkan pada rezeki dan nasib anda.
“Setakat ini, semua tiket konsert saya dapat,” tambahnya yang berasakan Singapura memiliki daya tarikan untuk penonton antarabangsa di samping ekonomi kukuh untuk menarik promoter konsert menganjurkan acara.
Tidakkah beliau penat menghadiri satu demi satu konsert?
“Saya tak letih sebab saya memang suka muzik dan masih boleh tahan ke sana ke mari. Yang tak boleh tahan adalah apabila melihat dompet kehabisan wang!” selorohnya.
Beliau berharap lebih ramai artis yang mempunyai lautan peminat seperti Christina Aguilera, Bruno Mars, Usher, Beyonce, Aerosmith dan Rolling Stones akan ke Singapura.
“
Saya adalah peminat muzik yang sudah lebih 15 tahun menempah tiket dalam talian. Saya tidak ada strategi tertentu untuk pastikan saya mesti dapat tiket yang diinginkan. Mungkin anda boleh dapatkan seberapa ramai kawan atau saudara-mara anda untuk membantu ‘beratur’ dalam talian sejam sebelum tiket mula dijual. Pastikan rangkaian Internet anda kuat, komputer riba anda boleh berfungsi dengan baik tanpa ada masalah... selebihnya serahkan pada rezeki dan nasib anda. Setakat ini, semua tiket konsert saya dapat.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg