Wajah pelakon tampan Hollywood, Brad Pitt, sering menjadi igauan wanita.
Namun, bekas rakan sebiliknya, pelakon Jason Priestley, berkongsi dalam program sembang, Live With Kelly And Mark, tentang perangai Pitt, kini 60 tahun, yang menjengkelkan kerana boleh tahan tidak mandi selama berhari-hari lamanya.
Priestley, 54 tahun, muncul dalam program sembang itu untuk berkongsi tentang siri televisyen, Wild Cards, yang dijayakannya serta beberapa kenangan yang tidak dapat dilupakan sewaktu tinggal serumah dengan Pitt.
Menurut Priestley, yang namanya dikenali setelah menjayakan drama belia, Beverly Hills 90210:
“Saya dan Brad memang pernah tinggal di bawah satu bumbung untuk satu tempoh yang agak singkat.
“Kami menyewa apartmen dua bilik di Los Angeles tetapi ada tiga orang yang menetap di situ.
“Brad tidak seteruk seorang lagi teman saya yang berkongsi apartmen bersama kami berdua tapi ada perkara yang kelakar.
“Brad akan menyahut cabaran untuk tidak mandi selama berhari-hari. Isy! Bau busuk tubuhnya memang tak boleh tahan! Tapi dia selamba sahaja hanya untuk menang satu pertaruhan yang kami bertiga buat.
“Kebiasaannya dialah orang yang sanggup tak mandi selama berhari-hari lamanya.”
Kisah Pitt yang sanggup tak mandi itu pernah dikongsi Priestley dalam buku riwayatnya pada 2014, Jason Priestley: A Memoir.
Selain itu, beliau turut menceritakan tentang kali pertama mereka bertemu iaitu tatkala teman mereka itu membenarkan Pitt tidur atas katil Priestley sewaktu Priestley tiada di rumah kerana berada di set penggambaran.
“Kami cuma makan mi ramen dan minum minuman segera dalam tin. Kami cuma beli rokok murah... Kami memang tiada duit.
“Semua ini berlaku sebelum Pitt jadi terkenal dalam filem 1991, Thelma and Louise. Saya pula dikenali dalam Beverly Hills 90210 untuk bermusim lamanya,” tambah Priestley.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg