Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jejaka segak bertanjak, wanita Melayu ayu berbaju kurung di Switzerland

Pelajar ITE teruja selami jati diri bak Duta Budaya di rantauan
Jul 16, 2023 | 5:30 AM
JATI DIRI DIPERKUKUH DI RANTAUAN: Cik Nurul Izzah Mohamed Faisal (empat dari kanan) dan rakan-rakan wisatanya yang berkunjung kawasan permatang berbatu Gornegrat di Switzerland bergambar dengan pelancong Amerika yang tertarik dengan busana Melayu mereka.
JATI DIRI DIPERKUKUH DI RANTAUAN: Cik Nurul Izzah Mohamed Faisal (empat dari kanan) dan rakan-rakan wisatanya yang berkunjung kawasan permatang berbatu Gornegrat di Switzerland bergambar dengan pelancong Amerika yang tertarik dengan busana Melayu mereka. - Foto ihsan NURUL IZZAH MOHAMED FAISAL

NURUL IZZAH MOHAMED FAISAL

Berbaju kurung bagaikan menyambut Hari Raya penuh meriah di kawasan permatang berbatu Gornegrat sekitar pergunungan Pennine Alps di Switzerland.

Sambil bergambar, saujana mata memandang Gunung Matterhorn yang bentuknya nampak seperti gigi bergerigi.

Tidak cukup dengan bergambar, kami sempat merakam video kami beramai-ramai menari mengikut rentak lagu ‘viral’ nyanyian asal Roslan Madun, Lemak Manis, dengan gerak tari yang menjadi ikutan di aplikasi TikTok.

Pakaian tradisional anak Melayu kebanggaan kami juga turut digayakan di kota Zermatt yang menjadi tarikan pelancong kerana resort gunung dan kemudahan meluncur salji yang tersedia di situ.

Boleh dikatakan kerana busana kami yang berwarna-warni dengan rakan kumpulan wisata lelaki turut bertanjak dan bersamping, kami persis Duta Budaya Melayu di rantauan apabila turut dikerumuni pelancong asing dari Amerika dan Jerman yang ingin bergambar dengan kami.

Penduduk tempatan juga hadir kerana terpaut pada gelagat kami dan fesyen tradisional yang kami paparkan khusus untuk satu hari lawatan kami ke Switzerland.

Bagi saya, itulah antara tarikan kunjungan saya ke Switzerland selama 12 hari antara 7 dengan 18 Jun lalu bersama agensi pelancongan milik anak Melayu Singapura, Mid-Dawn Travels. Ejen pelancongan itu mengkhususkan satu hari berpakaian tradisional di sesi wisata lain ke Turkey dan Pakistan.

Saya berkunjung ke Switzerland bersama ibu saya, Cik Elna Hussin, ibu dan bapa saudara serta sepupu saya.

Sebagai anak muda yang terdedah kepada dunia serba canggih dan moden di Singapura dengan sebilangan teman sebaya lebih cenderung berbahasa Inggeris, saya bersyukur dapat ikut serta dalam wisata bersama Mid-Dawn Travels ini.

Sebabnya, walau sehari diminta mengenakan baju kurung, ia cukup bagi mengingatkan saya tentang keindahan dan kekayaan budaya Melayu serta jati diri saya sebagai anak Melayu.

Ke mana saya pergi, saya tetap bangga dengan budaya dan adat resam orang Melayu yang saling menghormati, penuh adab dan kelembutan. Muafakat itu penting. Begitu juga ukhuwah yang menyatukan kita.

Selain itu, kunjungan ke Switzerland membawa saya ke tempat seperti Zurich, Rhine Falls, Gunung Pilatus, Murren Lauterbrunnen, Grindelwald, Brig, Sonogno, Locarno, Zermatt, Interlaken, Blausen (Tasik Blausee), Gruyeres, Bern, Montreux dan Gstaad.

RHINE FALLS: Air terjun ikonik di Switzerland ini antara tempat yang menjadi tarikan pelancong.
RHINE FALLS: Air terjun ikonik di Switzerland ini antara tempat yang menjadi tarikan pelancong. - Foto PIXABAY

Apa yang menggembirakan kami adalah wujud kejutan manis dalam jadual perjalanan kami di mana Mid-Dawn Travels berupaya memberi kami peluang singgah ke kota lama kebangkitan seni Colmar di Perancis.

Jalan berbatu di sini dan bangunan era Zaman Pertengahan atau ‘medieval’ banyak kelihatan.

KEJUTAN MANIS: Penulis dan rakan wisatanya tidak menduga lawatan ke Switzerland turut membawa mereka singgah ke kota lama Perancis, Colmar, dengan bangunan seni bina ‘Medieval’ yang mempesona.
KEJUTAN MANIS: Penulis dan rakan wisatanya tidak menduga lawatan ke Switzerland turut membawa mereka singgah ke kota lama Perancis, Colmar, dengan bangunan seni bina ‘Medieval’ yang mempesona. - Foto PIXABAY

Tentunya seronok apabila kami dapat kunjungi kota yang menjadi sebutan ramai kerana keindahan seni bina dan ruangnya yang cukup nostalgik.

Awalnya, kunjungan ke Perancis tiada dalam jadual. Lantaran itu, kami gembira apabila kaki kami mampu menjejak negara itu meskipun seketika.

Penulis yang berusia 18 tahun adalah pembaca Berita Minggu yang menyumbangkan rencana ini kepada kami. Beliau adalah pelajar jurusan kembara dan pelancongan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej West.

BAGAI BERAYA DI TURKEY: Sekumpulan pelancong Singapura diberi peluang agensi pelancong Mid-Dawn Travels untuk berbaju kurung di kawasan Lautan Hitam (Black Sea) di Turkey.
BAGAI BERAYA DI TURKEY: Sekumpulan pelancong Singapura diberi peluang agensi pelancong Mid-Dawn Travels untuk berbaju kurung di kawasan Lautan Hitam (Black Sea) di Turkey. - Foto MID-DAWN TRAVELS
DUTA BUDAYA MELAYU DI PAKISTAN: Rombongan pelancong Singapura yang berkunjung ke Pakistan turut menggayakan busana Melayu kebanggaan mereka.
DUTA BUDAYA MELAYU DI PAKISTAN: Rombongan pelancong Singapura yang berkunjung ke Pakistan turut menggayakan busana Melayu kebanggaan mereka. - Foto MID-DAWN TRAVELS
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg