Subuh
5:58
Syuruk
7:15
Zuhur
1:19
Asar
4:33
Maghrib
7:21
Isyak
8:30
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

KAKI JALAN

Kembara solo, beraya dengan umat Islam di Argentina

Jurutera IT kongsi pengalaman tinjau bangunan klasik, lukisan jalanan dan bertamu di kelab bola sepak Boca Juniors
Jul 02, 2023 | 05:30 AM



Jauh daripada pandangan sebilangan orang bahawa adalah berbahaya untuk mengembara secara solo ke Argentina, lebih-lebih lagi jika anda seorang wanita, saya bersyukur kerana kunjungan saya ke sana pada Hari Raya Aidilfitri lalu, cukup tenang dan membahagiakan.

Saya sering mengembara seorang diri bagi menikmati keindahan alam dan bangunan lama atau klasik yang tersergam indah di kota-kota sekitar Indonesia, Korea dan Australia.

Saya memilih untuk beraya pada hari pertama di Buenos Aires, Argentina, kerana saya tinggal dengan adik lelaki sahaja memandangkan ibu bapa kami sudah tiada. Adik saya merestui keputusan saya untuk melancong tanpa ditemani sesiapa.

Buenos Aires menjadi pilihan kerana bangunannya klasik dengan seni bina yang dipanggil budaya ‘baroque’ atau ala struktur bangunan Eropah pada abad ke-17 dan 18. Terdapat banyak tempat menarik dan lukisan jalanan pada tembok awam yang boleh saya lihat.







Saya juga peminat pasukan bola sepak Argentina. Maka, saya ingin tinjau sendiri kelab bola sepak handalan seperti Boca Juniors.

Seminggu lamanya saya luangkan masa di sana. Inilah kali pertama saya meyambut Hari Raya di rantauan pada hari pertama Lebaran diraikan.

Saya ingin rasakan sendiri pengalaman beraya di rantauan di samping bertemu orang Islam Argentina yang sebilangannya merupakan mualaf. Bilangan mereka di sana agak ramai. Ia turut memberi saya gambaran Argentina adalah negara yang toleran terhadap kerencaman budaya dan agama.

Saya telah ke sebuah masjid terbesar di Amerika Selatan, iaitu Mezquita Rey Fahd, pada Hari Raya pertama. Saya menemui warga Indonesia yang telah lama menetap atau bermaustatin di Buenos Aires.

Ketika itu, saya amat rindu dengan lauk-pauk Raya.

Sayangnya, saya tidak berpeluang mengunjungi rumah orang Muslim di sana kerana kesuntukan masa. 

Penduduk asal Indonesia yang saya temui kebanyakannya telah berumah tangga dengan warga Argentina dan ada juga yang bekerja di Kedutaan Indonesia di Buenos Aires. 

Di sana juga terdapat ramai warga Islam keturunan Afrika dan Arab. Mereka juga bersama-sama bersolat Hari Raya di masjid yang saya kunjungi.







Sememangnya sukar mencari makanan halal di Argentina. Di daerah Palermo, hanya terdapat satu atau dua restoran halal yang menyajikan makanan Arab Lubnan.

Saya telah ke sebuah restoran milik seorang bangsa Arab asal Lubnan. Nama restorannya adalah Al-Rawshe di Av. Sante Fe, Buenos Aires. 

Kerana saya merupakan kaki bola, saya berkunjung ke kejiranan kelas pekerja La Boca, di mana kelab bola sepak terkenal Argentina, Boca Juniors, berpangkalan.

Di situ juga terdapat banyak bangunan berwarna-warni seperti La Caminito Dan serta restoran-restoran yang menyediakan makanan Asado, iaitu stik daging lembu yang terkenal di Argentina.







Pada Ahad pula, saya telah ke San Telmo, di mana terletaknya pasar atau Mercado. Saya juga sempat ke pasar malam di mana terdapat banyak gerai yang menjual cenderahati lebih murah dibandingkan di La Boca.

Sepanjang seminggu di sana, saya mendapati warga Argentina ramah dan berdisiplin. Kebanyakan mereka akan beratur untuk menaiki bas awam.

Saya juga telah menemui seorang pempengaruh YouTube atau ‘YouTuber’ yang amat membantu saya bersiar-siar di Buenos Aires. Seakan-akan saya warga Argentina atau porteño, beliau membawa saya melawat tempat-tempat yang jarang dikunjungi pelancong.

Pesan saya kepada wanita yang ingin mengembara ‘sendirian berhad’ ke mana-mana, mereka harus mematuhi peraturan di tempat yang ingin di kunjungi.

Anda harus sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling, berwaspada dan menjaga barang anda. Dapatkan nombor telefon polis setempat atau Kedutaan Singapura sebagai persiapan sekiranya sesuatu yang tidak diingini berlaku.

Ketika melawat tempat-tempat yang tidak terjamin keselamatannya, usah berkelakuan tidak sopan seperti tidak menghormati budaya dan adat resam setempat serta memakai pakaian, beg atau jam tangan yang mahal.

Jika ada rezeki, insya-Allah, saya akan ke Argentina lagi sebab saya masih rindukan bandar Buenos Aires yang menarik.

Saya seolah-olah berada di Paris, Perancis melihatkannya. Ke mana arah tuju saya selanjutnya? Tahun depan, saya akan ke Eropah dan merancang juga untuk ke Bosnia dan Croatia. 







Penulis ialah pembaca ‘Berita Minggu’ yang bertugas sebagai jurutera teknologi maklumat (IT) dan berusia 45 tahun.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >