Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jelajah alam misteri drama ‘Stranger Things’ dalam pameran interaktif

Jul 12, 2023 | 5:30 AM
KEMBARA KE ALAM FANTASI: Pameran siri drama Netflix, Stranger Things, menawarkan pengembaraan unik bak meneroka lokasi set drama berkenaan yang dibawa ke pusat beli-belah Bugis+.
KEMBARA KE ALAM FANTASI: Pameran siri drama Netflix, Stranger Things, menawarkan pengembaraan unik bak meneroka lokasi set drama berkenaan yang dibawa ke pusat beli-belah Bugis+. - Foto ST

Jika anda penggemar drama kegemaran ramai di Netflix tentang kaitan antara kuasa ghaib dengan pendedahan mengenai rahsia pemerintah, Stranger Things, anda boleh berkunjung ke pameran interaktif Stranger Things The Encounter: Singapore yang kini berlangsung di pusat beli-belah Bugis+ hingga 1 Oktober 2023.

Buat julung-julung kalinya, kedai mainan dan barangan koleksi seni dalam talian yang berpangkalan di Singapura, Mighty Jaxx Group dan Netflix, menawarkan peluang untuk orang ramai menjelajah pameran merangkumi enam bilik yang membuatkan anda terasa bagaikan berada di lokasi drama Stranger Things, yang telah empat musim bersiaran sejak 2016.

Pameran yang pertama dibuka di Asia ini persis ruang ngeri lagi menakutkan yang dipanggil ‘The Upside Down’ di mana peminat dapat meneroka dan mengharungi sendiri babak ikonik dalam siri itu.

Stranger Things berlatarbelakangkan kisah sekumpulan belia pada tahun 1980-an yang mencari jawapan bagi pelbagai misteri yang sukar dirumuskan. Ia dibintangi Millie Bobby Brown, Finn Wolfhard dan Noah Schnapp.

Kata pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mighty Jaxx, Encik Jackson Aw :

“Drama Stranger Things telah memukau penonton serata dunia dan menjadi salah satu francais yang paling disayangi Netflix. Kami di Mighty Jaxx teruja membawa perjalanan peminat ke tahap yang lebih tinggi melalui pengalaman sulung meninjau, menjamu selera atau membeli-belah dalam ruang pameran Stranger Things The Encounter: Singapore.

“Teknologi canggih yang diusahakan Mighty Jaxx dan kreativiti tidak terbatas memberi pengunjung satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

“Dalam pada itu, dengan kami bekerjasama dengan kepakaran dan kemahiran rakan kongsi kami Lucid Entertainment dan Dezign Format yang unggul ini, peminat boleh menjangkakan pengembaraan yang tiada tandingan, merentasi kededua alam fizikal dan digital.”

Ketika Berita Harian mengunjungi sesi media bagi pelancaran pameran itu baru-baru ini, tempat pendaftaran diadakan di tingkat dua dan ini adalah permulaan bagi memulakan kembara ke alam Stranger Things.

Tempat pendaftaran direka bentuk seperti kawasan arked seperti yang ditayangkan dalam siri tersebut, Palace Arcade. Biliknya berlampu kebiru-biruan dan terdapat juga mesin permainan dan kedai cendera mata bagi pengunjung. Pengunjung kemudian akan dibawa ke tingkat tujuh untuk pameran selanjutnya.

HELLFIRE CLUB: Permainan papan fantasi Dungeons and Dragons yang interaktif.
HELLFIRE CLUB: Permainan papan fantasi Dungeons and Dragons yang interaktif. - Foto ST

Pengembaraannya bermula di sebuah bilik gelap di mana watak-watak drama itu yang menyertai kumpulan Hellfire Club (kelab permainan fantasi sekolah Hawkins High), sering kali bermain permainan papan fantasi Dungeons and Dragons. Bilik ini mempunyai seorang pelakon yang akan menceritakan tentang pengembaraan yang bakal anda harungi.

RAKAM KENANGAN: Ruang tamu Joyce Boyers menjadi ruang bagi anda merakam gambar.
RAKAM KENANGAN: Ruang tamu Joyce Boyers menjadi ruang bagi anda merakam gambar. - Foto ST

Kemudian, sila masuk ke ruang tamu Joyce Byers, di mana peminat dapat menikmati cahaya lampu Krismas yang asyik berkerdipan. Ini juga salah satu adegan popular dalam siri itu.

ANTAGONIS MENJELMA: Watak jahat, Vecna, muncul di bilik terakhir dan anda harus melawannya.
ANTAGONIS MENJELMA: Watak jahat, Vecna, muncul di bilik terakhir dan anda harus melawannya. - Foto ST

Peminat siri ini juga boleh meninjau sebuah makmal yang merupakan tempat di mana anda akan ditarik ke dalam dimensi asing ,‘The Upside Down’, yang memaparkan rumah ngeri, ‘Creel House’, dan menjelmanya watak jahat, Vecna, yang menantikan ketibaan anda.

Menurut Pengarah Runcit Dan Makan Lembaga Pelancongan Singapura (STB), Cik Guo Teyi, beliau gembira menyokong jenama tempatan Mighty Jaxx dalam kerjasama dengan Netflix.

“Kerjasama seperti yang terpapar dalam pameran Stranger Things The Encounter: Singapore mewujudkan tawaran runcit unik yang menambah kepelbagaian kepada pengalaman membeli-belah yang Singapura tawarkan kepada kedua-dua pelawat tempatan dan antarabangsa,” jelasnya.

Pameran interaktif ini berlangsung hingga 1 Oktober 2023 dan dibuka setiap hari dari 2 petang hingga 7 malam. Tiket berharga $15 hingga $109.

Layari laman strangerthingsencounter.com untuk maklumat lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg