Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jerih payah buru cita-cita corak semangat waja Francissca Peter

Pelantun lagu ‘Sekadar Di Pinggiran’ warnai ‘Konsert Diskorama!’ di Esplanade sempena Tahun Baru 2025
Dec 22, 2024 | 5:30 AM
Datuk Francissca Peter hargai segala pengorbanan keluarganya di samping sokongan peminat yang menjadikannya penuh kesyukuran bergelar anak seni.
Datuk Francissca Peter hargai segala pengorbanan keluarganya di samping sokongan peminat yang menjadikannya penuh kesyukuran bergelar anak seni. - Foto ESPLANADE

Mengharungi jerih payah kehidupan sewaktu meniti usia remaja tidak dianggap sebagai penghambat semangat mahupun tragedi bagi penyanyi legenda Malaysia, Datuk Francissca Peter, yang pernah mencipta nama menerusi lagu hit, Sekadar Di Pinggiran dan Aku Hanya Pendatang.

Bintang dengan darah kacukan Ceylon-Scotland dan Cina itu menjelaskan: “Kalau kita miskin, ia bukan sesuatu yang tidak baik. Mungkin ia meremuk-redamkan hati, menggores jiwa, menyedihkan dan kadangkala wujud rasa marah apabila kita tidak dapat menikmati kehidupan selesa seperti orang lain.

“Nak bayar bil api air pun sulit... kadang terasa kempunan sebab tak dapat makan ayam dan daging setiap hari. Tapi pengalaman itu mencorak kita jadi insan yang bijak berfikir, membuat pilihan dan pandai mengurus kewangan kita dan diri kita. Tak ada banyak duit tetapi sekurang-kurangnya cukup untuk hidup sederhana dengan makan pakai yang asas.”

Francissca, 63 tahun, yang dilahirkan pada 6 September 1961, di Klang Selangor, merupakan anak kedua dalam empat beradik.

Bapanya merupakan bekas tentera British dan kemudian wartawan, manakala ibunya pula menjalankan pelbagai tugas seperti mengambil upah memasak dan membasuh pakaian untuk jiran dan orang lain tatkala menjalani hidup sebagai ibu tunggal.

Selingkar kisah hidup silam Francissca, yang mesra dengan panggilan Fran, ini dikongsi bersama Berita Minggu (BM) dalam wawancara eksklusif di ambang konsert Tahun Baru Esplanade, Konsert Diskorama! di Teater Esplanade pada 1 Januari 2025.

Konsert sejam setengah Orkestra Melayu Singapura (OMS) itu bermula 8 malam dan fokus pada warna-warni irama disko era 1970-an.

Ia turut menampilkan Jatt Ali, Alia D, Izat Ibrahim, Siti Khalijah Zainal dan Syaz Smooth.

Bagi Fran, tiada penyesalan yang dirasakan apabila bergelar anak seni, tekad dalam hati yang awalnya dipasang untuk membantu meringankan bebanan kewangan keluarga.

Malahan, beliau bersyukur bahawa perjalanan seni yang awalnya menimbulkan kebimbangan ibu bapa dan neneknya yang khuatir beliau terjerumus dalam pengaruh buruk dunia hiburan seperti penyalahgunaan dadah dan ketagihan arak, menjadikannya insan yang lebih menghargai kehidupan dan persahabatan serta cekap menilai tulus atau tidaknya orang sekeliling.

GAGAHKAN SEMANGAT MENYANYI WALAU DIPERAH EJEN TAMAK

Beliau meninggalkan bangku sekolah selepas menengah tiga, mengambil kursus setiausaha dan bekerja sebagai seorang jurujual sebelum mengambil keputusan menyanyi sepenuh masa.

“Kerana ibu saya risau sangat sebab usia saya baru 17 atau 18 tahun, kami sama-sama membelek surat khabar untuk mencari ejen yang boleh mengurus kerjaya nyanyian saya. Kami temui seseorang di Hotel Federal Kuala Lumpur.

“Kami naiki dua bas untuk sampai ke destinasi bagi sesi uji bakat itu. Ejen berkenaan kata saya berpotensi besar dan mempunyai suara yang lunak dan dilahirkan semula jadi untuk menyanyi.

“Sejak itu, saya menyanyi di beberapa pub tetapi saya kemudian tidak meneruskan bersama ejen berkenaan kerana menyedari dia mengambil kesempatan bikin duit daripada bakat saya.

“Itulah masalahnya apabila sesetengah ejen tamak sampai tergamak menipu bakat muda seperti saya.

“Dalam dunia hiburan ini, ada pengurus yang baik dan ada pula yang hanya ingin memerah anda. Mujurlah, saya diurus adik saya kini, yang pastikan dia dapat perjuangkan hak saya.

“Cuma kadangkala dia lupa dia jauh lebih muda daripada saya sehinggakan saya tanyakan kepadanya, ‘Mengapa awak ni berbual dengan saya macam mak cik-mak cik atau nenek-nenek yang membebel? Awak ni, adik tau!” seloroh Fran sambil tertawa.

KENANG JASA IBU BERSEMANGAT WAJA

Nada suaranya sebak apabila memikirkan tentang pengorbanan ibunya dalam memastikan anak-anaknya dapat hidup selesa.

“Semasa kecil, memanglah kita budak-budak ni hanya tahu merungut sahaja dan bising sebab tak dapat itu dan ini seperti teman lain.

“Sewaktu bapa saya tiada bersama kami untuk tempoh yang lama, kehidupan kami sekeluarga memang perit. Mak saya kerja siang malam, ambil upah masak dan berjualan dalam mangkuk tingkat dan basuh pakaian.

“Selalu nampak beberapa wanita datang untuk ambil lauk-pauk mereka. Setiap kali ke pasar, ibu akan pergi lewat untuk dapatkan bekalan sayur yang dijual murah kerana penjual dah nak tutup kedai dan perlu habiskan bekalan.

“Mak tak nak kami ketinggalan makan sajian berkhasiat. Nak beli telur pun bukan senang. Abang saya pula kerap sakit sewaktu kecil. Jadi mak akan beri abang dua telur manakala kami yang lain dapat satu sahaja sebab mak kata telur baik untuk daya tahan imun abang.

“Perkara ini kadangkala buatkan saya rasa tak puas hati sebab perlu berkorban untuk abang. Begitulah susahnya hidup. Tapi apabila dewasa dan mempunyai anak-anak angkat, saya faham mengapa ibu perlu buat begitu,” ceritanya.

Menurutnya, ibunya beruntung sebab mempunyai beberapa jiran dan teman sejati yang tidak pernah melupakan mereka yang kesusahan.

“Kalau main sinoman, mereka selalu beri peluang ibu ambil bahagian wangnya dahulu kerana kasihan, Dari mereka, saya belajar erti persahabatan yang ikhlas, penuh kesabaran dan kejujuran serta kepercayaan,” ceritanya.

HORMATI, KAGUM DENGAN KEWIBAWAAN PENYANYI LAMA

Satu perkara yang Fran tidak lupa adalah bagaimana citarasanya pada muzik dengan lirik untuk orang dewasa menimbulkan tanda tanya ibunya, Alice Peter, yang kini berusia 80-an tahun.

Minat pada lagu Melayu dari bangku sekolah juga perkara yang membuatnya ingin terus menyumbang pada persada muzik Melayu di Nusantara walaupun bukan berbangsa Melayu.

“Sejak di bangku sekolah, saya suka dengar lagu Kak Pah (Datuk Sharifah Aini), Datuk Khadijah Ibrahim dan Kak Uji Rashid.

“Saya pun minat Barbra Streisand dan Dionne Warwick sampaikan mak saya terfikir, mengapa budak ni suka lagu orang lebih dewasa? Tak boleh ke dia dengar lagu penyanyi sebaya dengan dia?

“Kalau ada Bintang RTM, sayalah yang seronok tonton di kaca televisyen hitam putih. Saya terpaku tonton penyanyi hebat macam Zain Azman dan pemain dram handalan, Gary Gideon. Pengaruh muzik jaz menebal dalam lagu dendangan Zain.

“Saya nak sangat jadi macam mereka. Saya juga terkesima dengan mahakarya Puan Sri Saloma dan Tan Sri P. Ramlee. Yang menarik bagi saya adalah mereka turut menyanyi lagu Inggeris, dengan penguasaan dan sebutan bahasa Inggeris yang baik.

“Penyanyi dulu memang bertaraf antarabangsa. Dah ada lagu Melayu hit, ada pula lagu Inggeris yang sama-sama terkenal. Pada masa itu pun, artis Melayu turut rakam lagu ‘cover’ karya yang meletup di carta dunia dan dialih bahasakan pada bahasa Melayu,” sambung Fran.

SUDIRMAN SELALU DI HATI

“Kalau tiada arwah Datuk Sudirman Haji Arshad, tiadalah Roy & Fran di dalam industri rakaman. Saya tidak jemu mengulangi cerita bagaimana beliau menemukan saya dan Royston Sta Maria (rakan duet Fran).

“Saya pernah terlibat dalam beberapa band seperti The Delta. Selepas band bubar, saya teruskan minat menyanyi dan bekerja di Hotel Merlin (kini Hotel Concorde).

“Ketika menyanyi bersama Roy di ‘coffee house’ (kafe hotel), saya ternampak Sudirman datang. Tertanya-tanya mengapa bintang terkenal macam dia selalu singgah makan di sini?

“Setiap kali saya nyanyi, dia akan panggil saya dan memuji suara merdu saya. Dia suka tulis nota untuk minta saya nyanyi lagu Connie Francis, Frankie. Itulah antara lagu kegemaran mak saya.

“Suatu hari, Sudirman bawa bosnya dari label rakaman EMI untuk berbincang dengan saya dan Roy tentang kontrak rakaman Roy & Fran. Kerana itu, saya takkan lupa jasa Sudirman yang sentiasa penuh kelembutan,” jelasnya.

ERA DISKO DAN ‘CITY POP’

Memandang ke depan, Fran sangat teruja setiap kali diundang ke Singapura untuk bertemu peminatnya. Malahan, beliau berharap akan ada rezeki dan kesempatan baginya mendapat penaja untuk mengusahakan konsert solonya di negara ini.

“Saya sebenarnya teruja apabila diundang bagi Konsert Diskorama! Saya teringat band-band Melayu lama seperti Carefree dan Discovery yang memperjuangkan irama disko.

“Anak muda sekarang akan perjuangkan genre ‘city pop’ yang sebenarnya merupakan irama disko baru. Album solo pertama saya, Komputer Muzik pada 1984 dikategorikan sebagai genre ‘city pop’.

“Semasa menghasilkannya dahulu, alamak orang susah nak hadam sebab ia lebih pada muzik bandar. Mereka tetap mahukan Fran nyanyi lagu balada.

“Tapi saya mahukan kesegaran. Mungkin album itu terlalu canggih buat era 1980-an tetapi nampaknya sekarang orang boleh terima malahan minta saya bikin ‘gig’ khusus dengan lagu-lagu dalam album Komputer Muzik,” sambungnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg