Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jiwai watak agar sesi cerita buat anak boleh jadi ‘pementasan teater’

Ibu bapa fahami jalan cerita buku terlebih dahulu, pilih buku sesuai, tidak terlalu banyak teks
Jun 26, 2025 | 5:30 AM
Siti Nur Hikmatul Qadriah Mohamed Arifin, Raudhah Alias, Nur Mustiqah Mohamed Mustafah
Guru prasekolah, (dari kiri) Cik Siti Nur Hikmatul Qadriah Mohamed Arifin, Cik Raudhah Alias dan Cik Siti Nur Mustiqah Mohamed Mustafah, berkongsi beberapa cara ibu bapa boleh menjadikan sesi bercerita di rumah lebih interaktif dan menyeronokkan. - Foto BH oleh KHALID BABA

Sebagai guru prasekolah, Cik Raudhah Alias, adakala memberi anak muridnya buku untuk dibaca di rumah bersama ibu bapa.

Tapi maklum balas yang diterima daripada ibu bapa selalu mencuit hatinya.

“Ibu bapa ini berkongsi dengan saya: ‘Cikgu, dia kata tak sama macam cikgu baca’. Disebabkan itu, saya adakan bengkel ini untuk tunjukkan kepada ibu bapa bagaimana saya membaca buku cerita kepada anak murid,” kongsi Cik Raudhah, 45 tahun.

Beliau dan dua lagi guru prasekolah, Cik Siti Nur Hikmatul Qadriah Mohamed Arifin dan Cik Siti Nur Mustiqah Mohamed Mustafah, telah mengadakan bengkel Memupuk Minat Membaca Melalui Penceritaan pada 21 Jun sempena Pesta Buku Kanak-Kanak Singapura (SCBF) 2025.

Dalam sesi itu, mereka berkongsi pelbagai pendekatan membaca yang digunakan di prasekolah, serta menunjukkan cara menjadikan penceritaan lebih bersifat interaktif, menyeronokkan dan bermakna.

Manfaat bercerita dengan anak

Berkongsi manfaat sesi bercerita bagi si kecil, Cik Siti Nur Mustiqah berkata ia dapat membina kemahiran mendengar dalam diri kanak-kanak sekecil bayi.

Setelah kanak-kanak sudah dapat mendengar dengan kefahaman, ia akan membina kemahiran bertutur, dan seterusnya membaca dan menulis.

Sedang sesi bercerita diadakan hampir setiap hari di prasekolah, Cik Siti Nur Mustiqah berkata sesi bercerita oleh ibu bapa dapat memastikan pembelajaran dapat diteruskan di rumah.

“Melalui sesi bercerita, ibu bapa boleh memperkukuhkan lagi hubungan emosi bersama anak-anak.

“Sesi bercerita juga penting dilakukan di rumah kerana ia boleh menjadi peluang untuk ibu bapa menggunakan bahasa Melayu di rumah.

“Ini akan meningkatkan pendedahan anak-anak kepada bahasa Melayu dan muncul pula minat dan rasa cinta terhadap bahasa itu,” katanya.

Namun ada ibu bapa yang keberatan mengadakan sesi bercerita di rumah atas beberapa sebab termasuk rasa kurang yakin untuk bercerita kerana tidak dilengkapi teknik yang diperlukan, serta kurang fasih bertutur dalam bahasa Melayu.

“Sebenarnya sesi bercerita ini boleh terjadi pada bila-bila masa sahaja dalam satu hari.

“Ia boleh dilakukan semasa waktu rutin, atau waktu sebelum anak-anak tidur, atau semasa dalam kenderaan menuju ke satu-satu tempat,” kongsi Cik Siti Nur Mustiqah, yang berpengalaman mengajar selama 10 tahun.

“Sesi bercerita tidak perlu secara formal atau menggunakan masa yang panjang. Membaca selama lima minit sahaja, atau satu muka surat sahaja pun sudah mencukupi.

“Yang penting, semasa bercerita, mereka bukan sahaja membaca dari teks, tetapi adakan juga perbualan yang bermakna melalui gambar yang ada dalam buku itu,” tambahnya.

Pilih buku sesuai

Berkongsi tentang tema buku yang sesuai untuk kanak-kanak berumur tiga tahun dan ke bawah, Cik Siti Nur Hikmatul Qadriah, 28 tahun, menyarankan agar ibu bapa memilih buku bertema haiwan atau rutin seperti rutin waktu mandi atau rutin ke sekolah.

Mengenai jenis buku, beliau menyarankan agar buku yang dipilih mempunyai satu gambar utama dalam satu muka surat.

Teksnya juga tidak boleh terlalu banyak, dan sebaik-baiknya mempunyai perkataan berulang. Ibu bapa boleh memilih buku berkulit keras dan bertekstur.

Bagi kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun, guru prasekolah berpengalaman lapan tahun itu menyarankan agar buku yang tidak mengandungi terlalu banyak teks dan mempunyai gambar lebih besar dan berwarna-warni digunakan.

Menyentuh pula tentang buku yang perlu dielakkan, Cik Siti Nur Hikmatul Qadriah berkata ini termasuk buku yang mempunyai kandungan abstrak, ada terlalu banyak teks serta mempunyai gambar yang sedikit.

Dalam memilih buku, ibu bapa boleh mempertimbangkan minat anak-anak mereka, seperti berkaitan kenderaan atau haiwan dan sebagainya.

“Selalunya, kalau kanak-kanak minat pada sesuatu buku, mereka akan meminta ia dibaca berulang kali.

“Kalau mereka bosan, mereka akan minta buku itu ditukar. Mereka akan tunjukkan buku apa yang mereka mahukan,” kata Cik Siti Nur Hikmatul Qadriah.

“Sekiranya anak-anak mahu membaca buku itu, ibu bapa boleh memberi laluan kepada mereka untuk sambung membaca.

“Itu adalah salah satu cara untuk menarik minat anak-anak kepada buku itu dengan lebih mendalam dan mengeratkan hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak,” katanya.

Beliau menyarankan buku untuk kanak-kanak kecil daripada siri Bulat karya Azimah Muhamad.

Untuk kanak-kanak lebih besar, beliau menyarankan buku dwibahasa daripada siri Ally karya Norlin Samat.

Buku dalam siri Bulat karya Azimah Muhamad.
Buku dalam siri Bulat karya Azimah Muhamad. - Foto BULAT BOOKS
 Buku dwibahasa dalam siri Ally karya Norlin Samat. 
 Buku dwibahasa dalam siri Ally karya Norlin Samat.  - Foto POPPET

Buku lain yang beliau sarankan termasuk Kotak Misteri yang ditulis Cik Raudhah, Pokok Saga Istimewa, karya Maria Mahat dan Hadiah Istimewa, oleh Nur-El-Hudaa Jaffar.

Jadikan sesi cerita lebih interaktif

Ketika bercerita, Cik Raudhah menggalakkan ibu bapa agar menggunakan intonasi suara yang naik dan turun, serta ekspresi muka yang menunjukkan pembaca menjiwai watak dalam buku.

“Anak-anak akan rasa teruja. Sesi bercerita ini menjadi satu pementasan. Ceritanya menjadi hidup,” katanya.

Ibu bapa juga boleh melibatkan anak-anak dalam sesi bercerita itu.

Ada anak-anak yang suka mendengar sahaja, tetapi ada juga yang mahu terlibat dalam penceritaan itu.

“Apabila ibu bapa berinteraksi dengan anak-anak, itu yang menjadikan penceritaan itu menyeronokkan,” kongsinya.

Selain ibu bapa cuba menjiwai watak-watak dalam buku, mereka juga boleh meminta anak-anak cuba membaca berdasarkan perasaan watak tertentu, seperti menggunakan suara marah, sedih atau gembira.

Ini dapat mewujudkan penglibatan dua hala antara ibu bapa dengan anak-anak.

Cik Raudhah, yang telah mengajar selama 24 tahun, menyarankan agar ibu bapa sebaik-baiknya membaca dahulu buku cerita yang dibeli atau dipinjam dari perpustakaan sebelum membacakannya kepada anak-anak.

“Ini kerana anak-anak suka bertanya tentang perkara yang dilihat atau didengar dari sesi penceritaan itu dan jika ibu bapa tidak tahu jalan cerita, agak sukar untuk mereka menjawab soalan anak-anak mereka itu,” kata Cik Raudhah.

“Selain itu, bank kosa kata dalam diri anak-anak masih sedikit. Jadi mereka mendapat kosa kata daripada jawapan yang mereka terima kepada soalan yang mereka tanya,” tambahnya.

Mengenai ‘prop’, Cik Raudhah berkata ibu bapa boleh membuat boneka (puppet) menggunakan stoking, atau melukis dan melekatkan lukisan mereka itu pada lidi dan menggunakannya bagi menghidupkan lagi sesi penceritaan.

“Ia boleh dilakukan semasa waktu rutin, atau waktu sebelum anak-anak tidur, atau semasa dalam kenderaan menuju ke satu-satu tempat. Sesi bercerita tidak perlu secara formal atau menggunakan masa yang panjang. Membaca selama lima minit sahaja, atau satu muka surat sahaja pun sudah mencukupi. Yang penting, semasa bercerita, mereka bukan sahaja membaca dari teks, tetapi adakan juga perbualan yang bermakna melalui gambar yang ada dalam buku itu.”
Cik Siti Nur Mustiqah Mohamed Mustafah, guru prasekolah dengan 10 tahun pengalaman.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg