Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lakonan, intonasi berbeza jadikan sesi cerita lebih seronok

Jun 26, 2025 | 5:30 AM
baca buku, kanak-kanak bersama, sebelum tidur
Anak-anak penulis, Munawwarah Mohammad Hanafi (kiri) dan Hamzah Mohammad Hanafi, membaca buku bersama-sama sebelum tidur. - Foto BH oleh NUR DHUHA ESOOF

Saya dan anak-anak mempunyai amalan membaca buku setiap malam sebelum tidur.

Ia bukan tabiat yang saya pupuk atau tegaskan, namun berlaku secara tidak sengaja kerana ia sangat mudah dilakukan.

Anak-anak memilih beberapa buku, kami duduk atau baring di atas katil, saya bacakan buku-buku itu dan mereka dengar.

Kemudian kami letak buku di atas lantai, matikan lampu dan tidur.

Saya dapati membaca buku sebelum tidur membantu anak-anak menenangkan diri.

Untuk saya pula, kegiatan itu tidak memerlukan banyak perancangan atau tenaga.

Biasanya kami membaca buku bahasa Inggeris dan Melayu yang saya beli atau pinjam di perpustakaan.

Buat masa ini, anak-anak sukakan buku berjudul, Here Comes The Crocodile, yang mengisahkan seekor buaya yang lapar dan ingin memakan beberapa haiwan yang ditemuinya.

Tetapi setiap haiwan itu memberi alasan agar buaya tidak memakan mereka dan buaya pula mempercayai helah mereka hingga ia terpaksa berlapar.

Buku itu lucu dan menggunakan banyak perkataan deskriptif seperti “rumbled, gurgled and grumbled” bagi menggambarkan pelbagai bunyi dari perut buaya yang kebulur itu.

Buku Melayu yang kami suka baca pula termasuk buku dwibahasa tempatan dalam siri, Our Feelings/Perasaan Kita yang membantu kanak-kanak memahami dan mengawal perasaan yang dialami.

Tidak sekadar menghiburkan dan menenangkan, sesi bercerita mempunyai pelbagai manfaat untuk kanak-kanak.

Ahli fizik, Albert Einstein, malah pernah berkata: “Kalau nak anak pandai, berceritalah. Jika anda mahu mereka menjadi cemerlang, beritahu mereka lebih banyak cerita.”

Menurut laman web, Medium, sesi bercerita menggalak kanak-kanak untuk berbual, bukan sahaja tentang cerita yang didengar, bahkan tentang pelbagai perkara yang berkait atau tidak.

Ia menimbulkan minat dan semangat untuk membaca teks – bagi mendapatkan cerita dan membacanya semula.

Ia juga menggalak kanak-kanak belajar menulis kerana mereka tidak sabar untuk mengarang dan menyampaikan cerita-cerita mereka.

Sesi bercerita mengajar tentang pelbagai gaya hidup dan budaya. Ia juga meningkatkan kemahiran mendengar dan memperkenalkan kanak-kanak kepada banyak kosa kata baru.

“Di rumah, ahli keluarga berkomunikasi dengan bilangan perkataan yang terhad. Tetapi cerita mempunyai kosa kata peringkat akademik dan banyak perkataan baru untuk dipelajari oleh kanak-kanak.

“Adalah mudah untuk mengajar makna perkataan kerana kanak-kanak belajar lebih cepat daripada konteks cerita,” kata laman web itu.

Ibu bapa boleh meningkatkan keupayaan ingatan anak-anak dengan meminta mereka menyingkap cerita yang telah dibacakan sebelum itu.

Ibu bapa juga boleh bertanya kepada anak-anak tentang muka surat terakhir yang mereka baca pada sesi bercerita sebelumnya.

Selain itu, ibu bapa boleh meminta anak-anak menyumbang kepada cerita yang disampaikan itu.

Ini boleh dilakukan dengan menggalakkan si kecil menghasilkan cerita baru menggunakan watak yang sama dalam sesebuah cerita itu.

Namun laman tersebut menekankan bahawa untuk membantu anak-anak mendengar dan memahami cerita, ibu bapa perlu membaca cerita dengan penuh emosi.

Ini bermakna mengubah nada dan intonasi suara mengikut perasaan dan emosi yang dipaparkan dalam sesebuah cerita itu.

Ibu bapa boleh menggunakan pergerakan tubuh yang sesuai dalam penceritaan mereka.

Pendek kata, membaca cerita serupa berlakon.

Buat masa ini, saya lega anak-anak menerima dan terhibur dengan lakonan saya yang tidak seberapa ini.

Adakala mereka mencuba nasib dan meminta saya membaca lebih banyak buku.

Hmm... mungkin mereka sengaja mencari helah untuk tidak perlu cepat masuk tidur.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg