Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Johan Mentor Milenia dan Stariser, Elica Paujin, kini juara Big Stage 2022

Mar 28, 2022 | 12:11 AM



SATU lagi gelaran juara berada dalam tangan penyanyi kelahiran Tambunan, Sabah, Elica Paujin.



Setelah dua minggu berturut-turut berada di tiga tangga terbawah peraduan di peringkat suku akhir dan separuh akhir, Elica bangkit sebagai juara Big Stage 2022 (Musim 4) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad (27 Mac).



Sebelum ini, penyanyi dengan nama sebenar Angelica Paujin, 22 tahun, merupakan juara Mentor Milenia 2017 dan juara Stariser: Mencari Bintang Nusantara pada 2020.



Pada Ahad, Elica mempertaruhkan lagu seorang lagi penyanyi dari suku kaum Sabah, Marsha Milan Londoh,Cinta, yang merupakan naib juara Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-36 yang baru berlalu.



Dalam segmen duet, beliau bersama Hael Husaini pula mendendangkan lagu Imagine Dragons, Believer.



Elica meraih markah keseluruhan 78.93 peratus. Markah keseluruhan juri adalah 66.22 peratus manakala undian dalam talian yang diraih pula adalah 12.71 peratus.



Beliau yang mempunyai beberapa single dalam lagu suku kaum Sabah dan satu lagu Melayu, Hilang, membawa pulang piala Big Stage dan RM100,000 ($32,252).



Di tangga kedua dengan markah 72.62 peratus pula adalah seorang lagi artis muda Sabah, Danial Chuer, 20 tahun. Danial menyanyikan lagu Once Mekel, Hilang Naluri.



Beliau juga berduet dengan Shila Amzah menerusi lagu Korea dendangan asal Lee Hong Gi dan Yoo Hwe Seung, Still Love You.



Danial membawa pulang RM50,000 dan piala Big Stage.



Di tempat ketiga adalah peserta yang sebelum ini disebut-sebut sebagai juara, Aisha Retno, 21 tahun.



Aisha menerima markah 71.04 peratus dan membawa pulang RM25,000 serta piala Big Stage.



Beliau menyanyikan lagu Alicia Keys, Fallin' dan berduet dengan Jaclyn Victor dalam lagu 3 Diva, Semua Jadi Satu.



Di tempat keempat adalah penyanyi Malaysia berketurunan Filipina, Yazmin Aziz, 20 tahun.Beliau menyuntik tenaga di pentas dengan lagu Seksis, dendangan asal Anita Sarawak dan berduet dengan Syamel dalam lagu band rok Search, Pawana.



Yazmin membawa pulang RM15,000 dan piala Big Stage. Beliau mendapat markah 59.35 peratus.



Di tangga kelima adalah peserta Indonesia, Tegar Septian, 20 tahun.



Beliau mendapat markah 59.13 peratus. Tegar yang membawa pulang RM10,000 menyanyikan lagu Kaleb J, It's Only Me dan berduet dengan Sufi Rashid menerusi lagu Wali Band, Ada Gajah Dibalik Batu. 



Selain Ajai dan Datuk Seri Siti Nurhaliza yang hadir selaku juri tetap, juara Gegar Vaganza 8, Aliff Aziz, mengisi tempat Juri Juara.



Presiden Netizen bagi lapan minggu disandang oleh Datuk Seri Vida manakala Juri Pedas di peringkat akhir adalah Kak :Lina Pom Pom atau Elly Mazlein. 



Aina Abdul hadir sebagai juri undangan yang turut memukau perhatian penonton apabila berpadu suara dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza.



Mereka saling bertukar lagu. Aina menyanyikan lagu Purnama Merindu manakala Siti pula mendendangkan lagu Semalam.



Mengulas kejayaannya di sidang media menyusuli pengumuman kemenangannya, Elica berkata:



"Saya bersyukur di atas segala tunjuk ajar juri dan sokongan yang diberi peminat dan rakan-rakan Big Stage 2022.



"Sememangnya ia kejayaan yang tidak diduga. Kami semua hanya memberi yang terbaik."



Danial pula menambah beliau menemui keluarga baru dalam kalangan pesera Big Stage 2022.



"Kami berlima amat akrab dan berkata walau apa pun keputusannya, siapa jadi juara...kita akan saling menyokong. Anggap kita berlima sudah menjadi juara dengan layak ke peringkat akhir," jelasnya.



Aisha yang mendapat pesanan daripada Siti dan Aina agar terus mewarnai industri ini dengan kreativitinya dan karya yang hebat tanpa mengira kedudukan keputusan akhir pula berkata:



"Aisha rasa bersyukur dan bertuah ditempatkan dalam kalangan rakan-rakan Big Stage yang merupakan artis yang hebat dengan kekuatan sendiri.



"Aisha seronok membuat persembahan setiap minggu dan kami masing-masing telah memberi yang terbaik dan banyak mencedok ilmu daripada maklum balas juri dan tenaga pengajar," katanya.



Ajai pula berkata mutu peserta Big Stage 2022 mengagumkan dan ia merupakan bukti bahawa industri muzik Malaysia tidak ketandusan bakat yang berpotensi besar.



Siti pula menambah: "Saya cuma berharap adik-adik saya di Big Stage tidak akan berhenti berkarya dan memberi yang terbaik lagi selepas keluar dari Big Stage. Jangan setakat dalam pertandingan sahaja memberi yang terbaik.



"Selepas ini, harap berbekal pengalaman, anda akan menghasilkan karya yang baik dan tidak sepikan diri."



 



 



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >