LOS ANGELES: Dalam drama jenayah sebenar, The Order, Jude Law melakonkan watak ejen Amerika Syarikat yang berusaha menangkap kumpulan ketuanan kulit putih yang mengganas di Pacific Northwest pada 1980-an.
Namun, pelakon berusia 52 tahun itu pada awalnya takut untuk menerima peranan tersebut kerana ragu-ragu sama ada beliau, sebagai warga Britain, dapat membawakan watak seorang veteran Biro Siasatan Federal (FBI) yang tegas.
“Tetapi kadang-kadang, ketakutan terhadap cabaran sesebuah peranan adalah apa yang menarik minat saya,” tambah bintang tersebut.
Kini di Prime Video dan berdasarkan kisah benar, The Order, mengisahkan ejen FBI Terry Husk (Law) yang menyiasat rompakan bank dan jenayah yang dikaitkan dengan kumpulan neo-Nazi, ‘The Order’, yang diketuai oleh Bob Mathews (Nicholas Hoult), lapor The Straits Times (ST).
Husk percaya Mathews merancang pemberontakan bersenjata terhadap pemerintah.
Law, yang turut menerbitkan filem ini, melihat potensi besar dalam cerita yang diadaptasi daripada buku, The Silent Brotherhood: The Chilling Inside Story Of America’s Violent, Anti-Government Militia Movement (1989).
Law dan pengarah Justin Kurzel – pengarah filem Australia berusia 50 tahun yang juga mengarah Macbeth (2015) dan Assassin’s Creed (2016) – mahu filem itu lebih daripada sekadar kisah jenayah.
Law berkata: “Justin ialah pengarah yang kami tahu mampu mencipta sesuatu yang menarik untuk watak Husk.”
Filem ini ditulis oleh penulis skrip Amerika, Zach Baylin, yang menemui kisah ini ketika meneliti kumpulan neo-Nazi di Amerika, termasuk The Proud Boys.
“Kumpulan The Proud Boys dan pengganas domestik lain muncul antara 2016 dengan 2017, dan kami mahu mencari kisah yang menjelaskan mengapa ini berlaku,” kata Baylin yang dicalonkan untuk Anugerah Oscar Skrip Asal Terbaik menerusi King Richard (2021).
Walaupun kisah ini benar, watak Husk adalah gabungan beberapa pegawai penguat kuasa undang-undang yang terlibat dalam penyiasatan.
Ini membolehkan filem ini menunjukkan perbezaan menarik antara Husk dengan sasaran utamanya, Mathews.
Walaupun Mathews mempunyai kepercayaan neo-Nazi, beliau “seorang lelaki yang karismatik, dan disenangi ramai dan mempunyai keluarga yang besar”.
“Berbanding dengan Husk, yang tiada keluarga dan hancur dengan obsesinya,” kata Law.
Beliau mempunyai dua anak kecil dengan isteri, Cik Philippa Coan, dan lima anak lagi daripada hubungan sebelum ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg