Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Filem ‘Anora’ menang besar di Oscar 2025

Menang 5 kategori temasuk filem dan pengarah terbaik
Mar 3, 2025 | 6:17 PM
Pengarah Sean Baker, yang digelar sebagai raja filem ‘indie’, mencipta sejarah sebagai individu pertama memenangi empat piala Oscar dalam satu filem termasuk anugerah Pengarah Terbaik, Skrip Asal Terbaik, Penyuntingan Filem Terbaik dan Filem Terbaik menerusi filem, Anora.
Pengarah Sean Baker, yang digelar sebagai raja filem ‘indie’, mencipta sejarah sebagai individu pertama memenangi empat piala Oscar dalam satu filem termasuk anugerah Pengarah Terbaik, Skrip Asal Terbaik, Penyuntingan Filem Terbaik dan Filem Terbaik menerusi filem, Anora. - – Foto-foto REUTERS

Anugerah Academy ke-97 yang berlangsung pada 3 Mac di Teater Dolby, Los Angeles, menutup tirai bagi musim anugerah yang sedikit tercemar ekoran tragedi kebakaran hutan yang dahsyat serta kontroversi melibatkan beberapa filem yang dicalonkan.

Bagaimanapun, kehangatan isu berkenaan tidak sepenuhnya meredupkan keindahan permaidani merah pada acara berprestij itu, yang menyaksikan bintang Hollywood tampil memikat dengan busana anggun lagi menawan.

Dalam acara penuh gilang-gemilang itu, filem Anora arahan Sean Bakar merupakan pemenang besar dengan membawa pulang sebanyak lima piala Oscar.

Baker, 54 tahun, yang digelar sebagai raja filem indie, mencipta sejarah apabila menjadi individu pertama yang memenangi empat pencalonan dalam satu filem.

Baker selaku pengarah bagi filem komedi romantik, Anora, telah meraih piala Oscar dalam kategori Pengarah Terbaik, Skrip Asal Terbaik sekali gus Penyuntingan Filem Terbaik. 

Filem arahannya yang menyelami secara mendalam tentang kerumitan hubungan dua insan sambil meneroka tema kuasa, cinta, identiti serta pandangan masyarakat terhadap pelacur itu turut memenangi anugerah Filem Terbaik 2025.

Selain itu, pelakon Mikey Madison, 25 tahun, memenangi Piala Oscar dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi wataknya sebagai pekerja seks di Brooklyn, New York, yang menjalin hubungan cinta dengan anak seorang oligarki Russia dalam filem, Anora.

Pelakon muda yang dibesarkan di San Fernando Valley berhampiran Los Angeles itu berjaya mengalahkan pesaing hebat seperti Demi Moore dalam filem, The Substance; pelakon asal Brazil, Fernanda Torres dalam filem I’m Still Here; Cynthia Erivo bagi filem muzikal Wicked; dan Karla Sofia Gascon, bagi filem Emilia Perez

“Ini seakan-akan mimpi buat saya.

“Saya membesar di Los Angeles, tetapi Hollywood selalu terasa sangat jauh dari saya. 

“Jadi, untuk berada di sini hari ini (3 Mac) dan berdiri di ruangan ini merupakan pengalaman yang sangat luar biasa,” ujar Madison dalam ucapan kemenangannya.

Sejak berusia 16 tahun, beliau mendapat peranan dalam siri televisyen, FX Better Things, dari 2016 hingga 2022. 

Beliau juga tampil sebagai watak kecil dalam filem arahan Quentin Tarantino berjudul, Once Upon A Time In Hollywood (2019), dan membintangi filem seram, Scream V (2022), lapor The Straits Times.

Pemenang utama lain dalam Anugerah Academy ke-97 termasuk Adrien Brody, 51 tahun, yang meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem, The Brutalist.

Buat kali kedua, beliau mengukuhkan kedudukannya di puncak senarai pelakon ‘A’ Hollywood dengan memenangi Piala Oscar Pelakon Lelaki Terbaik.

Kemenangan itu merupakan hasil lakonannya sebagai seorang jurubina dari Hungary yang berhijrah ke Amerika selepas perang dunia kedua .

Kededua anugerah yang dimenangi Brody dalam Anugerah Academy berkaitan dengan filem bertemakan Holocaust.

Beliau pertama kali memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada 2003 menerusi, The Pianist, arahan Roman Polanski, menjadikannya lelaki termuda yang meraih kemenangan dalam kategori tersebut pada usia 29 tahun.  

Kali ini, Brody berjaya menandingi Timothee Chalamet dalam filem biopik Bob Dylan, A Complete Unknown; Ralph Fiennes dalam filem thriller papal, Conclave; Sebastian Stan sebagai Donald Trump muda dalam filem, The Apprentice; dan Colman Domingo dalam filem, Sing Sing.

Lebih menarik lagi, pelakon Zoe Saldana, 46 tahun, memenangi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik buat kali pertama bagi filem Emilia Perez.

Beliau memerankan watak sebagai Rita Mora Castro, seorang peguam asal Mexico dalam filem berkonsep drama jenayah dan muzikal itu.

Terdahulu, beliau telah memenangi beberapa anugerah seperti Golden Globes, Anugerah Kesenian Academy Filem dan Televisyen British (Bafta) dan Screen Actors Guild bagi watak yang sama.

Antara lain, Kieran Culkin, 42 tahun, turut membawa pulang Piala Oscar Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik bagi filem, A Real Pain.

Ketika menerima anugerah di atas pentas, beliau berkata: “Saya tidak tahu bagaimana saya sampai di sini.

“Saya telah berlakon sepanjang hidup saya, tetapi saya tidak pernah membayangkan untuk berada di laluan ini.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg