Hampir sedekad, Julie Bakes mula dikenali dalam masyarakat Melayu dengan keknya.
Perjalanan pemilik Julie Bakes, Cik Juliana Jahayer, 52 tahun, dalam industri ini bermula dengan perniagaan dari rumah yang sederhana semasa beliau bekerja dalam industri logistik.
“Saya telah diberhentikan pada 2015 dan ingin membantu menambah pendapatan keluarga. Saya mengambil risiko dengan membuka kedai kerana terdapat sekatan berniaga di rumah,” kongsinya.
Cawangan pertamanya dibuka di Baghdad Street pada 2015 sebelum berpindah ke 28 Bussorah Street pada November 2022.
Keputusan untuk membuka kedai itu disokong oleh keluarganya.
“Saya anak bongsu dalam tujuh beradik. Jadi, saya menarik adik beradik saya yang lain ke dalam perniagaan ini kerana mereka juga mahir membuat roti di rumah,” katanya yang turut merebut peluang itu untuk mengeratkan silaturahim antara satu sama lain.
Kini, Julie Bakes beroperasi dengan bantuan anggota keluarga termasuk, kakak, kakak ipar, suaminya, anak perempuan dan anak lelaki Cik Juliana.
Julie Bakes pada mulanya memberi tumpuan pada kek cawan, tetapi sedang permintaan pasaran berkembang, begitu juga jenis produk yang ditawarkan.
“Selepas setahun, permintaan kek cawan berkurangan. Saya perlu melakukan sesuatu untuk mengekalkan diri saya dalam industri,” jelasnya.
“Oleh itu, saya menjual kek yang dipotong dan juga kek sebiji berperisa tradisional. Kami juga menjual epok-epok dan kuih Melayu, tetapi hanya pada hujung minggu.”
Julie Bakes terkenal dengan pelbagai perisa kek seperti onde-onde, putu piring, serawa durian dan juga perisa coklat seperti ‘Triple Chocolate’.
Bagi Cik Juliana, Julie Bakes dapat bertahan ekoran beberapa faktor utama.
“Sokongan keluarga yang benar-benar membantu saya pada waktu sukar. Saya juga mencari peluang untuk menjual kek di luar kedai seperti penjualan ‘bake sales’ di sekolah,” ujarnya.
Selain itu, doa dan berbekal tawakal menjadi perkara paling utama dalam perniagaan, katanya.
“Jangan terlalu mudah berputus asa dan pastikan kakitangan semua dibayar tepat pada masanya.
“Meskipun mereka merupakan anggota keluarga saya sendiri, ia adalah amanah. Bayaran tepat pada masanya juga memastikan semangat kakitangan tidak turun,” ujarnya.
Mengimbas perubahan dalam industri membuat kek dan kuih sepanjang dekad lalu, Cik Juliana menekankan kepentingan untuk mengikuti perkembangan trend.
“Selain mengekalkan mutu dan standard kek klasik, kami juga cuba mengikuti trend,” katanya.
Salah satu inovasi terbaru mereka, Kek Kunafe Pistasio yang berharga $9.70, diilhamkan oleh coklat kunafe yang tular baru-baru ini di Dubai.
“Kek itu diperbuat daripada kek span berperisa coklat, coklat susu sebagai bahan tambahan (toping) dan kunafe pistasio yang dibuat sendiri,” tambah Cik Juliana.
Beliau menghadapi pelbagai cabaran sebagai usahawan wanita, tetapi akur menerima sokongan daripada ramai pihak, termasuk pelanggan.
“Walaupun saya seorang usahawan wanita, saya tidak menghadapi sebarang keraguan dalam perniagaan dan ramai yang sangat menyokong.
“Pelanggan saya juga mempunyai hubungan rapat dengan saya dan menyampaikan pesanan mereka secara peribadi kepada saya. Saya suka mempunyai sentuhan peribadi...” tambahnya.
Selaku usahawan, beliau akur perlu mengimbangi masa dengan sebaik-baiknya.
“Walaupun perjalanan keusahawanan adalah aspek penting dalam hidup saya, saya akan sentiasa mengutamakan keluarga.
“Saya memulakan hari dengan memasak untuk anak-anak supaya adanya sentuhan ibu.
“Walaupun saya mempunyai pembantu, beliau hanya membantu dari segi kerja pembersihan dan bantuan tambahan. Sama seperti perniagaan, saya suka melibatkan diri dalam melakukan sesuatu untuk keluarga saya,” ujarnya.
Memandang ke depan, Cik Juliana berharap untuk terus mengekalkan Julie Bakes.
“Pelanggan mungkin tidak tahu bahawa ada masa kita sedang menghadapi cabaran untuk mengekalkan perniagaan. Selepas pemutus litar berakhir, perniagaan benar-benar terjejas kerana ramai yang pilih untuk menjamu selera di luar negara.
“Terdapat satu ketika di mana Arab Street adalah seperti ‘ghost town’. Alhamdulillah, perniagaan kini perlahan-lahan pulih,” luahnya.
Buat masa ini, Cik Juliana tidak merancang untuk membuka cawangan lain, dan komited untuk meneroka cita rasa baru demi mengekalkan sentuhan peribadi dalam perniagaanya.
Alamat: 28 Bussorah Street, Singapura 199446
Waktu Operasi: Selasa hingga Sabtu, 12 tengah hari hingga 8 malam; Ahad, 12 tengah hari hingga 7 malam.
Harga: Kek Putu Piring, $9.20; Kek Strawberi Pistasio, $9.20; Kek ‘Kunafe’ Coklat Pistasio, $9.70; dan Kroisan ‘Kunafe’ Pistasio, $9.70.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg