Bilangan mahasiswa yang memilih pengkhususan dalam jurusan Sastera dan Sains Kemasyarakatan di Universiti Nasional Singapura (NUS) kian berkurangan, dengan pendaftaran di fakulti tersebut merosot hampir satu pertiga sejak 2019.
Menurut rekod pendaftaran di laman web universiti itu, fakulti tersebut mempunyai sekitar 6,400 mahasiswa dan merupakan yang terbesar di NUS pada tahun akademik 2019/2020.
Jumlah itu merosot kepada sekitar 4,400 orang pada 2024.
Bilangan itu agak stabil sepanjang enam tahun sebelumnya, dengan peningkatan secara berterusan daripada kurang 6,000 orang pada 2014 menjadi sekitar 6,400 orang pada 2020, sebelum ia mulai merosot.
The Straits Times (ST) melaporkan, pelajar, pakar dan kakitangan NUS berkata kemerosotan pendaftaran Fakulti Sastera dan Sains Kemasyarakatan (Fass) mungkin disebabkan oleh perubahan permintaan pelajar, tekanan untuk mengejar jurusan yang boleh membawa kepada gaji dan kemajuan kerjaya yang lebih baik, selain kriteria kemasukan yang lebih tinggi.
Kemerosotan pendaftaran di Fass kebetulan serentak dengan peningkatan jumlah pendaftaran di Fakulti Sains (FOS).
Sejak 2020, pendaftaran mahasiswa FOS meningkat daripada kira-kira 4,100 pelajar kepada hampir 5,300 pelajar, satu peningkatan sekitar 24 peratus.
Kedua-dua fakulti itu telah disatukan sejak Disember 2020 di bawah badan pentadbiran baru yang dikenali sebagai Kolej Kemanusiaan dan Sains (CHS).
Pelajar CHS berkongsi kurikulum teras yang sama di kedua-dua fakulti, dan boleh, dengan beberapa pengecualian, bertukar jurusan antara fakulti dengan mengambil modul daripada kedua-duanya.
Secara keseluruhan, jumlah pendaftaran di NUS untuk pelajar sepenuh masa telah meningkat, daripada 26,797 orang pada 2014 kepada 31,827 orang pada 2024.
Menjawab pertanyaan ST, NUS berkata terdapat minat yang meningkat terhadap program seperti pengkomputeran, kecerdasan buatan (AI), sains dan analisis data.
Pendaftaran tahun pertama dalam program di NUS meningkat sekitar 20 peratus dari 2021 hingga 2023, katanya.
NUS turut menambah bahawa lebih ramai pelajar daripada disiplin lain mengikuti kursus sastera dan sains kemasyarakatan sebagai jurusan yang berbeza, kerana ia meningkatkan pembelajaran fleksibel dan antara disiplin.
“Bilangan jurusan kedua dalam sastera dan sains kemasyarakatan meningkat kira-kira 20 peratus dalam kalangan pelajar yang menamatkan pengajian dari 2022 hingga 2024,” katanya.
Trend kemerosotan itu kelihatan hanya berlaku di NUS.
Perangkaan daripada Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Universiti Pengurusan Singapura (SMU) pula menunjukkan bilangan mahasiswa mereka bagi jurusan sastera dan sains kemasyarakatan kelihatan stabil bagi tempoh masa yang sama.
Rata-rata, NTU mempunyai sekitar 4,600 pelajar setiap tahun dalam tempoh lima tahun lalu, manakala SMU pula mempunyai 1,000 pelajar dalam kedua-dua program ijazah sains kemasyarakatan dan ekonomi dalam setiap 10 tahun yang lalu, berdasarkan data daripada laman web kedua-dua universiti.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg