Menjejakkan kaki ke Small Batch rasanya seakan-akan bercuti di Bali.
Maklum, kafe itu memiliki reka bentuk berkonsep terbuka di tengah-tengah kehijauan taman dan dihiasi perabot kayu.
Terletak di dalam persekitaran tenang di Taman Kanak-Kanak Jacob Ballas di Kebun Bunga Singapura, kafe Small Batch merupakan usaha terkini oleh syarikat, The Black Hole Group, yang menampilkan konsep menarik dalam dunia makanan dan minuman (F&B).
Kafe itu memperkenalkan konsep sajian yang lain daripada lain, dengan memberi peluang kepada pelanggan untuk menyusun dan memilih ‘brunch boards’, atau makan tengah hari yang dihidangkan di atas papan sajian mereka sendiri.
“Kami telah dijemput oleh Lembaga Taman Negara (NParks) untuk mengambil alih ruang ini di Taman Jacob Ballas.
“Saya menghasilkan konsep yang dikaitkan dengan Jacob Ballas itu, dan bagi kami, ia harus sesuai untuk kanak-kanak,” dedah Ketua Pegawai Produk, The Black Hole Group, Encik Sufi Hassan, yang menguruskan beberapa jenama F&B lain seperti Éla, Working Title Riverside, Working Title Lasalle, Afterwit, Tipo Pasta Bar dan The Great Mischief.
“Semasa saya ke Bali, saya menemui konsep makan tengah hari dengan membuat pilihan secara sendiri. Saya menyedari ini tiada di sini dan adalah jurang dalam pasaran Singapura, dan ia sejajar dengan konsep The Black Hole Group.
“Kami mempunyai pusat pengeluaran kami sendiri untuk menghasilkan roti dan pasta, jadi kami sudah mempunyai asas untuk mencipta konsep ini. Memadankannya dengan tema Jacob Ballas sangat sesuai”, jelas beliau.
Harga bagi ‘brunch boards’ bermula daripada $15.90++ untuk tiga hidangan dan $24.90++ untuk lima hidangan.
Pelanggan diberikan pilihan daripada menu yang luas ketika menyusun papan makanan mereka sendiri dan berpeluang memilih hidangan yang mereka inginkan atau sesuai mengikut selera pada hari itu.
Daripada hidangan roti dan pastri pula, pelanggan boleh membuat pilihan seperti roti sourdough, focaccia, skon keju dan daun bawang, serta kroisan mentega.
Sarapan lewat pagi tentunya tidak akan lengkap tanpa hidangan telur, justeru beraneka sajian berasaskan bahan tersebut ditawarkan di kafe itu.
Misalnya, pelanggan boleh menikmati telur goreng dengan kucai dan minyak paprika; telur scrambled yang dimasak hancur dengan keju Feta dan maskarpon yang lembut; atau telur rebus dengan bawang rangup dan furikake, sejenis perasa Jepun yang biasanya mengandungi rumpai laut kering yang dihancurkan dan biji bijan.
Sajian tenusu yang boleh dipilih termasuk burrata, iaitu sejenis keju lembut dan dihidang dengan tomato segar, atau keju Feta goreng seiring mentega madu dengan rasa pedas.
Antara pilihan protein lain yang ditawarkan termasuk ikan salmon salai, sosej ayam, rosti, iaitu lempeng yang diperbuat daripada kentang dan daging lembu, serta roti ban kecil, breakfast roll.
Bagi yang gemarkan sajian manisan, mereka boleh memilih hidangan seperti roti bakar Perancis dengan krim vanila atau kek lobak merah.
Apabila ditanya tentang hiasan di sebalik Small Batch, Encik Sufi berkata:
“Proses reka bentuk untuk Small Batch adalah pantas tetapi mempunyai ciri yang dipertimbangkan, dengan setiap perincian disusun untuk meningkatkan pengalaman.
“Hiasan yang dilihat di Small Batch adalah disengajakan, daripada gaya tulisan yang memberikannya rasa kekanak-kanakan, kepada warna kuning terang yang menonjol dari kehijauan taman itu.”
Warna kuning menjadi warna tema Small Batch bagi melambangkan keceriaan yang ingin disuntik dalam ruang kafe itu.
Sambutan daripada pelanggan yang pelbagai sangat positif semasa pembukaan kafe tersebut.
“Kami telah melihat pelanggan dari semua peringkat umur dan latar belakang berbeza datang ke Small Batch dan melihat minat sedemikan sangat menggembirakan.
“Kami bukan hanya mahu menyediakan khidmat untuk pelanggan Muslim (dengan menyajikan hidangan halal), malah kami mahu mencipta sesuatu yang menarik minat semua orang.
“Pada hujung minggu, kami agak sibuk, dengan waktu menunggu sehingga dua jam, tetapi ia memberi kami semangat melihat begitu ramai orang tidak sabar-sabar untuk menikmati apa yang kami cipta,” kata Encik Sufi.
Menu Small Batch direka dengan memastikan ada sesuatu yang baru agar pengunjung kembali lagi.
Jika pengunjung kembali, mereka boleh memilih hidangan yang berbeza dan ia memberikan pengalaman yang lain setiap kali berkunjung ke Small Batch.
“Berdekatan dengan Small Batch terdapat ladang di taman... kanak-kanak boleh belajar tentang tumbuhan yang berbeza dan kami sedang berusaha untuk memasukkan elemen tersebut ke dalam menu,” ujar Encik Sufi.
Small Batch juga sedang bekerjasama dengan sebuah gerai pencuci mulut gelato untuk menghasilkan perisa gelato nanas panggang.
“Disebabkan nanas ditanam di taman ini, kami ingin menampilkan perisa yang sama.”
Kafe itu menampilkan 46 tempat duduk dan menawarkan suasana selesa dan nyaman.
“Ia adalah tempat kita boleh meraikan taman-taman indah Singapura, memberikan pengalaman makan yang unik yang melengkapkan persekitaran semula jadi.
“Kami sentiasa menambah baik dan berharap untuk terus mengejutkan pelanggan kami dengan tawaran baru dan menarik,” tambah beliau.
Memandang ke hadapan, Encik Sufi berharap untuk menerapkan konsep Small Batch di Kebun Bunga Singapura ke taman-taman lain di sekitar negara.
Alamat: 1H Cluny Road, #01-K1, Taman Kanak-Kanak Jacob Ballas, Singapura 259604
Waktu Operasi: Selasa hingga Jumaat, 9 pagi hingga 6 petang; dan Sabtu hingga Ahad 8 pagi hingga 6 petang
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg