Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kajian MIT: Penerbangan udara makin selamat

Aug 13, 2024 | 6:07 PM
Satu kajian baru yang diterbitkan penyelidik dari Institut Teknologi Massachusetts (MIT) pada Ogos 2024 mendapati, perjalanan udara komersial semakin selamat, dengan risiko kematian berkurangan sebanyak separuh setiap dekad.
Satu kajian baru yang diterbitkan penyelidik dari Institut Teknologi Massachusetts (MIT) pada Ogos 2024 mendapati, perjalanan udara komersial semakin selamat, dengan risiko kematian berkurangan sebanyak separuh setiap dekad. - Foto AFP

Menaiki pesawat boleh menjadi pengalaman yang menimbulkan keresahan buat ramai orang, tetapi satu kajian baru yang diterbitkan pada Ogos ini mendapati penerbangan udara komersial semakin selamat, dengan risiko kematian berkurangan sebanyak separuh setiap dekad.

Kadar kematian jatuh ke satu dalam setiap 13.7 juta kemasukan penumpang ke pesawat secara global dalam tempoh 2018 hingga 2022, satu peningkatan besar berbanding satu dalam 7.9 juta kemasukan penumpang pada 2008 hingga 2017, menurut satu kajian yang dihasilkan penyelidik dari Institut Teknologi Massachusetts (MIT).

Ia juga jauh berbeza berbanding tempoh awal perjalanan udara komersial, kematian bagi setiap penumpang adalah satu dalam 350,000 kemasukan dari 1968 hingga 1977.

“Keselamatan penerbangan terus bertambah baik,” kata Profesor MIT, Dr Arnold Barnett, penulis bersama kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Pengurusan Pengangkutan Udara, sambil menambah kebarangkalian seseorang penumpang meninggal dunia “terus merosot sebanyak separuh setiap dekad”.

Beliau membandingkan trend itu dengan Undang-Undang Moore, ramalan terkenal oleh pengasas Intel Gordon Moore, bahawa kuasa cip pengkomputeran naik berganda kira-kira setiap 18 bulan.

Dari 1978 hingga 1987, risiko kematian adalah satu dalam 750,000 penumpang yang naik pesawat.

Dari 1988 hingga 1997, ia adalah satu dalam 1.3 juta.

Manakala antara 1998 dengan 2007 pula, satu dalam 2.7 juta.

Nahas yang terkini melibatkan syarikat penerbangan komersial paling besar di Amerika Syarikat ialah pada 2009, apabila penerbangan 3407 Colgan Air terhempas, mengorbankan 50 nyawa.

Namun, Dr Barnett memberi amaran kemajuan yang sedia ada tidak terjamin. Baru-baru ini, pertembungan yang hampir berlaku di landasan Amerika pada 2024 telah menjadi tajuk utama, sementara penyiasat persekutuan telah mendesak Boeing menjelaskan sebab palam pintu pesawat 737 MAX 9 tanggal di tengah-tengah penerbangan bagi pesawat Alaskan Airlines pada Januari tahun ini.

Jumlah nahas udara yang menarik perhatian umum bagaimanapun menyelindung jurang global yang besar berhubung keselamatan udara, dengan kajian tersebut membahagikan lokasi kepada tiga peringkat berdasarkan rekod keselamatan.

Peringkat teratas termasuk Amerika Syarikat, negara Kesatuan Eropah dan negara Eropah lain termasuk Montenegro, Norway, Switzerland, dan United Kingdom.

Australia, Canada, China, Israel, Jepun dan New Zealand melengkapkan kumpulan ini.

Peringkat kedua terdiri daripada Bahrain, Bosnia, Brazil, Brunei, Chile, Hong Kong – dikira secara berasingan dari China – India, Jordan, Kuwait, Malaysia, Mexico, Filipina, Qatar, Singapura, Afrika Selatan, Korea Selatan, Taiwan, Thailand, Turkey dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Negara lain di dunia dirangkumkan dalam peringkat tiga.

Apa yang menggalakkan adalah walaupun risiko kematian jauh lebih tinggi di negara-negara ini, kematian perjalanan udara bagi setiap kemasukan ke pesawat juga berkurangan sebanyak separuh sewaktu tempoh 2018 hingga 2022. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg