SEOUL: Pemerintah Korea Selatan pada 24 Februari mengumumkan bahawa pengunjung yang masuk ke negara tersebut kini boleh menyerahkan kad ketibaan dalam talian seawal tiga hari.
Sebelum itu, pengunjung asing diperlukan untuk mengisi kad ketibaan berbentuk kertas di lapangan terbang dan pegawai imigresen perlu mengimbas setiap satu daripadanya secara individu.
Kementerian Kehakiman memutuskan untuk melaksanakan penggunaan kad ketibaan elektronik untuk mempercepat pemprosesan di meja imigresen dan menjadikan ia lebih mudah untuk pengunjung.
“Kad ketibaan dalam talian dijangka membolehkan pemerintah mengurus data pengunjung asing dengan lebih sistematik.
“Ia bukan sahaja akan mengurangkan kesesakan di lapangan terbang, tetapi juga menyokong usaha untuk menarik lebih ramai pengunjung asing,” jelas kementerian itu.
Kad ketibaan diperlukan bagi warga asing yang berkunjung ke Korea Selatan selama 90 hari dan ke bawah.
Kedua-dua kad ketibaan kertas dan dalam talian akan diterima sehingga akhir 2025 untuk mengurangkan kekeliruan pada tahap awal sistem baru itu.
Kad ketibaan elektronik itu boleh diakses dan diserahkan di www.e-arrivalcard.go.kr, sehingga tiga hari sebelum ketibaan.
Laman web itu boleh dilungsuri dalam tujuh bahasa: Korea, Inggeris, Cina, Jepun, Thai, Vietnam dan Russia.
Kad akan luput sekiranya seseorang tidak memasuki Korea dalam tempoh 72 jam setelah menyerahkannya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg