Sebut sahaja kegiatan melancong, golongan pelancong lazimnya sibuk memikirkan barang yang perlu dibawa dan teliti dalam melakar jadual perjalanan mereka.
Namun sebahagian mungkin terlupa satu perkara sehinggalah saat-saat akhir: insurans perjalanan.
Walau tampak seperti perkara remeh, mendapatkan perlindungan insurans penting supaya dapat memberi jaminan kepada golongan pelancong bahawa mereka dilindung sekiranya perkara yang tidak dijangkakan menimpa, menyebabkan percutian impian mereka menjadi huru-hara.
Pakar industri insurans yang dihubungi Berita Minggu (BM) menggesa para pelancong membeli pakej insurans seawal mungkin lebih-lebih lagi dengan landskap pelancongan yang semakin tidak menentu.
“Kami menyaksikan semakin banyak laporan perubahan iklim yang menyebabkan peristiwa cuaca ekstrem di serata dunia, dan bagaimana ini menyebabkan gangguan perjalanan, kecederaan dan korban jiwa,” kata jurucakap Persatuan Insurance Umum (GIA) Singapura.
Pengunjung digesa membeli insurans perjalanan awal atau sebaik sahaja mengesahkan rancangan perjalanan mereka kerana ini memberi mereka perlindungan daripada sebarang keadaan yang boleh menjejas perjalanan yang dirancang seperti pembatalan dan penangguhan, tambahnya.
“Ia penting untuk memastikan anda terlindung daripada kerugian bernilai tinggi seperti rawatan perubatan luar negara atau penghantaran pulang kecemasan kerana perbelanjaan sedemikian, apabila ditanggung, boleh mencecah sehingga enam angka.
“Kami menggalakkan semua pelancong membeli insurans perjalanan walaupun ia perjalanan singkat ke negara jiran supaya dapat ketenangan minda apabila melancong sekiranya berlaku keadaan yang tidak diduga,” kata jurucakap GIA.
Pada November 2024, sekurang-kurangnya 29 penerbangan antara Singapura dengan Korea Selatan ditangguh atau dibatalkan setelah negara itu dilanda salji lebat.
Beberapa penerbangan antara Singapura dengan Taipei, ibu kota Taiwan, terjejas pada 31 Oktober 2024 apabila Taufan ‘Kong-rey’ melanda pantai timur Taiwan.
Menurut tinjauan Klook Protect, yang menangani insurans bagi syarikat Klook, 38 peratus pengunjung di Asia inginkan insurans perjalanan yang merangkumi risiko moden seperti isu iklim dan penipuan perjalanan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Klook Protect, Encik C.S. Soong, cuaca teruk merupakan antara sebab yang biasanya ditukil pelanggan yang membuat tuntutan bagi produk perlindungan Klook, ‘No-show Refund’, yang memberi fleksibiliti tambahan untuk membatalkan rancangan mereka.
Beliau menambah bahawa mereka telah melihat peningkatan bagi perlindungan tersebut disebabkan monsun musim sejuk akhir tahun dan cuaca sejuk sejak kebelakangan ini.
Data daripada Income Insurance menunjukkan bahawa ramai pelancong Singapura membeli insurans perjalanan hanya tiga hari sebelum berangkat atau selalunya terlupa membeli insurans sama sekali.
Namun, Naib Presiden dan Ketua Akaun Utama dan Pengagihan Bahagian Insurans Peribadi, Income Insurance Limited, Cik Annie Chua, berkata syarikat seperti Income Insurance membolehkan pelanggan membeli insurans seawal 180 hari sebelum tarikh perjalanan supaya mereka terlindung sekiranya perjalanan itu dibatalkan atau ditangguh daripada waktu membeli pelan tersebut sehingga tarikh keberangkatan.
“Bagi mereka yang kerap mengembara, ia menjimatkan kos jika mempertimbang dalam mengambil pelan insurans perjalanan tahunan, berbanding dengan membeli beberapa (pelan) perjalanan tunggal (bergantung kepada destinasi yang dituju).
“Ia juga dapat menyelamatkan mereka daripada bersusah payah mengingati diri membeli insurans sebelum melakukan perjalanan yang telah dirancang,” jelas Cik Chua.
Jurucakap GIA menggesa agar pengunjung mempertimbang keperluan mereka apabila membeli pelan insurans supaya polisi tersebut melindungi mereka.
Ini termasuk jika mereka berusia 70 tahun ke atas, sudah mempunyai penyakit sedia ada, berkunjung ke negara yang dikecualikan daripada perlindungan, mahu melakukan kegiatan lasak seperti bermain ski, mendaki gunung dan menyelam atau memandu kenderaan sewa.
Terma dan syarat polisi insurans perjalanan mungkin merangkumi bahagian mengenai ‘peristiwa yang diketahui’ atau known events.
Ia merujuk kepada kejadian atau keadaan yang boleh mengancam keselamatan, kesihatan pengunjung atau mengganggu perjalanan mereka seperti rusuhan, bencana alam atau pandemik.
‘Peristiwa yang diketahui’ diumumkan kepada awam atau dilaporkan media.
Penguasa asing atau setempat yang relevan mungkin juga mengeluarkan nasihat perjalanan bagi peristiwa demikian.
Menukil contoh undang-undang tentera di Korea Selatan baru-baru ini pada 3 Disember, Cik Chua berkata ia menjadi peristiwa yang diketahui setelah dilaporkan media.
Polisi yang dibeli sebelum laporan itu masih memberi perlindungan namun ia tidak dilanjutkan kepada mereka yang membelinya setelah itu, menurut Cik Chua.
Kini dengan pengembaraan lasak menjadi pilihan yang semakin popular, Encik Soong juga mengingatkan pengunjung supaya kekal fleksibel kerana kejadian yang tidak diduga boleh menyebabkan mereka kerugian deposit atau perbelanjaan yang sudah dibayar awal.
“Pada akhirnya, untuk menikmati sepenuhnya dan memanfaatkan percutian anda sepenuhnya, adalah penting meluangkan masa tanpa rasa bimbang, dan mempunyai perlindungan dan insurans perjalanan yang betul serta memberikan anda ketenangan minda,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg