Kaki Jalan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lawatan Studio Harry Potter pertama di China bakal dibuka di Shanghai

Feb 13, 2025 | 3:50 PM
Lawatan Studio Harry Potter di China yang akan dibuka, juga mempunyai lokasi di London dan Tokyo.
Lawatan Studio Harry Potter di China yang akan dibuka, juga mempunyai lokasi di London dan Tokyo. - Foto AFP

Lawatan Studio Harry Potter rasmi pertama di China dirancang untuk dibuka di Shanghai pada 2027, kata syarikat gergasi hiburan Amerika Syarikat Warner Bros Discovery pada 12 Februari.

Syarikat itu turut mengumumkan perjanjian tersebut bersama kumpulan hotel dan pelancongan tempatan.

Francais fantasi itu sangat popular di China. Ibu kota Beijing sudah mempunyai tarikan bertema Harry Potter berskala besar di resort Universal Studios.

Lawatan studio itu, yang juga mempunyai lokasi di London dan Tokyo membawa pengunjung ke belakang tabir, memaparkan set, pakaian dan prop daripada siri filem.

“Ini kemasukan pertama Lawatan Studio Harry Potter di China,” kata Warner Bros Discovery dalam satu hantaran di wadah media sosial China WeChat, sambil menambah bahawa tarikan itu “dijangka buka pada 2027”.

Projek itu sedang dilaksanakan dengan kerjasama bersama Jinjiang International, sebuah konglomerat pelancongan dan hotel yang berpangkalan di Shanghai.

Kenyataan itu juga menambah bahawa perjanjian usaha bersama itu masih dalam proses mendapatkan kelulusan kawal selia.

Dalam kenyataannya sendiri pada 12 Februari, Jinjiang International berkata tarikan Harry Potter baru itu akan membawa pengunjung dalam penerokaan di sebalik tabir serta pelbagai pengalaman interaktif.

Tarikan itu akan terletak di taman permainan sedia ada di Shanghai – Jinjiang Action Park – yang ditutup untuk kerja ubah suai pada 26 Januari dan tidak dijangka dibuka semula hingga pelancaran pada 2027 itu, menurut kenyataan tersebut.

Tapak itu dijangka seluas kira-kira 53,000 meter persegi, kata Warner Bros Discovery, sambil menambah bahawa seluruh kunjungan akan mengambil masa dalam setengah hari. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg