Mereka yang gemarkan kegiatan lasak dan kehidupan liar tidak lama lagi boleh menikmati kededuanya sekali apabila Rainforest Wild Asia – taman haiwan kelima Singapura yang terletak di kawasan Mandai – membuka pintunya secara rasmi pada 12 Mac.
Tidak kiralah sama ada pengunjung mengambil jalan lebih mudah menerusi laluan luas atau mencabar diri dalam trek hutan seperti melintasi balak dan anak sungai, mereka tentu akan dapat melihat secebis kehidupan spesies utama Asia Tenggara dan meneroka ‘hutan’ tersebut.
Berdasarkan laluan yang diambil, pengunjung berpeluang terserempak dengan Harimau Malaya dalam perjalanan atau bertentang mata dengan spesies seperti Beruang Matahari Malaya – pada jarak selamat.
Bagi yang dahagakan kegiatan lasak yang memberi pecutan adrenalina, mereka boleh menyertai pelbagai kegiatan antaranya aksi terjun dari platform setinggi 13 meter (m) atau 20m, dan merentasi terowong gua sepanjang 60m yang gelap.
Tiket ke Rainforest Wild Asia kini dijual di laman webnya, dengan diskaun diberi kepada penduduk tempatan sehingga 31 Mac bagi merai pembukaannya, kata Mandai Wildlife Group dalam kenyataan medianya.
Harga tiket yang diberi diskaun ialah $33 bagi warga dewasa dan $21 bagi kanak-kanak berusia tiga tahun hingga 12 tahun.
Harga penuh bagi bayaran masuk ke taman tersebut ialah $43 bagi dewasa, $31 bagi kanak-kanak berusia tiga tahun hingga 12 tahun, dan $20 bagi warga emas.
Taman tersebut dibuka setiap hari dari 9 pagi hingga 6 petang, dengan kemasukan terakhir pada 5 petang.
Sebesar 13 hektar, Rainforest Wild Asia merupakan fasa pertama taman haiwan kelima Singapura, menyusuli Taman Haiwan Singapura, Night Safari, River Wonders dan Bird Paradise.
Fasa seterusnya akan melibatkan pembukaan Rainforest Wild Africa, yang diilhamkan daripada landskap pelbagai rantau Afro-Tropika dan Madagascar.
Rainforest Wild Asia menempatkan sebanyak 36 spesies termasuk spesies baru kepada Singapura seperti rusa bertompok Filipina dan kera Francois’ langur yang terancam.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mandai Wildlife Group, Encik Mike Barclay berkata:
“Kita tinggal di salah satu kawasan yang paling pelbagai dari segi biologi di dunia, tetapi banyak spesies di rantau ini terancam akibat kehilangan habitat liar dan kesan negatif pencemaran.
“Dengan kepercayaan bahawa anda tidak boleh melindungi perkara yang anda tidak tahu, kami ingin meningkatkan kesedaran tentang spesies hidupan liar yang luar biasa di rantau ini dengan memberi mereka perhatian dalam taman ini.”
Pengunjung juga akan dapat mendengar perkongsian renjer yang diadakan di zon utama taman seperti The Karsts, Forest Floor, dan Watering Hole, supaya mereka dapat memahami dengan lebih mendalam tentang fauna yang hidup di dalam hutan hujan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg