Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kera jarang ditemui bakal muncul kali pertama di S’pura

Nov 7, 2024 | 4:12 PM
Di kawasan The Karsts di  di taman hidupan liar Rainforest Wild Asia  yang bakal dibuka pada Mac 2025, pengunjung boleh menyaksikan lotong Francois berayun dan melompat di kanopi yang mempunyai pembentukan batu kapur.
Di kawasan The Karsts di di taman hidupan liar Rainforest Wild Asia yang bakal dibuka pada Mac 2025, pengunjung boleh menyaksikan lotong Francois berayun dan melompat di kanopi yang mempunyai pembentukan batu kapur. - Foto MANDAI WILDLIFE GROUP

Pencinta hidupan liar akan dapat melihat monyet antara yang paling jarang ditemui di dunia – lotong Francois (Francois langur) – di Singapura buat kali pertama tidak lama lagi.

Kera ekor panjang itu akan ditempatkan di taman hidupan liar Rainforest Wild Asia, yang bakal dibuka pada Mac 2025.

Kera dari China dan Vietnam itu diklasifikasikan sebagai terancam dalam Senarai Merah Spesies Terancam yang disusun oleh kumpulan pemuliharaan Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi.

Menurut satu laporan BBC pada 2024, hanya sekitar 2,000 kera itu yang masih terdapat di alam liar. 

Mandai Wildlife Group berkata pada 7 November bahawa Rainforest Wild Asia akan menjadi rumah baru bagi lotong Francois dan rusa tompok Filipina yang terancam. Mereka antara 29 spesies haiwan di taman itu, lapor The Straits Times.

Taman hidupan liar kelima di bawah kumpulan itu juga akan mempunyai 7,000 pokok dan pokok renek Asia Tenggara yang ditanam untuk menambah kepada kawasan hutan hujan sedia ada yang dilindungi.

Saiz taman tersebut sebesar 32 padang bola sepak dan akan membolehkan harimau, beruang matahari, tapir dan lotong untuk bebas berjalan di habitat seperti hutan hujan dan gua.

Ketua Eksekutif Mandai Wildlife Group, Encik Mike Barclay, berkata terdapat 10 zon berbeza di taman itu yang akan menawarkan pengunjung tahap pengembaraan berbeza.

Mereka boleh bersiar-siar di laluan mesra kerusi roda, meneroka denai hutan, atau naik lebih tinggi berhampiran kanopi di mana mereka boleh memanjat, melompat dan turun dari kanopi menggunakan tali pinggang keselamatan.

“Reka bentuk mengasyikkan ini memberi peluang kepada tetamu melihat bagaimana pelbagai haiwan hidup dalam persekitaran hutan hujan yang unik. Yang lebih penting, kami berharap dapat mencipta hubungan kuat dengan alam semula jadi dan semangat untuk memelihara planet kita,” tambahnya.

Di kawasan The Karsts di taman itu, pengunjung boleh menyaksikan lotong Francois berayun dan melompat di kanopi yang mempunyai pembentukan batu kapur.

Pengunjung juga boleh melihat harimau Malaya di Rock Cascade, dan lotong Jawa (Javan langur) serta lotong betis merah (red-shanked douc langur) di The Canopy.

Taman itu juga akan menampilkan ‘gua’ yang dipanggil The Cavern yang diilhamkan daripada tapak Warisan Dunia Unesco gua Mulu di Sarawak.

Pengunjung boleh memilih antara laluan pejalan kaki bawah tanah atau laluan untuk melihat ular pelumba dan kala jengking hitam gergasi.

Selain Rainforest Wild Asia, sebuah resort eko yang diberi nama Mandai Rainforest Resort akan dibuka pada separuh pertama 2025.

Kumpulan itu berkata fasa seterusnya akan menyaksikan pembukaan Rainforest Wild Africa pada tahun-tahun akan datang, yang diilhamkan daripada landskap rantau Afro-Tropical dan Madagascar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg