Topic followed successfully
Go to BHkuKalau ada jodoh, Erra Fazira ingin suami dengan hala tuju serupa
Kalau ada jodoh, Erra Fazira ingin suami dengan hala tuju serupa
Kalau ada jodoh, Erra Fazira ingin suami dengan hala tuju serupa
Pelakon dan penyanyi jelita, Erra Fazira, 51 tahun, terima seandainya jika ditakdirkan bertemu jodoh buat kali ketiga.
Bagaimanapun, pelakon filem Hingga Hujung Nyawa itu juga reda seandainya hidup sendiri hingga akhir hayat memandangkan pernah dua kali mengalami kegagalan rumah tangga.
“Andai Allah kata ada jodoh, saya terima. Jika tiada pun saya terima. Saya rasa tiada manusia nak hidup keseorangan dan kesunyian.
“Sekiranya tidak ada jodoh, saya berdoa Allah sentiasa cukupkan rasa kasih sayang daripada ibu atau rakan-rakan.
“Jika hidup seorang, tapi sunyi, sepi dan kemurungan pun tak bagus juga. Apa pun aturan Allah, asalkan dapat berdamai dengan takdir,” katanya dalam siaran podcast, Ruang Cerita Zayan, bersama Faizal Ismail dan Nana Mahzan.
Erra berkata beliau mahu biarlah perkahwinan ketiga menjadi terakhir buatnya jika bertemu jodoh lagi.
“Tiada pasangan inginkan perceraian, tetapi saya sentiasa percaya kepada aturan Allah.
“Siapa sahaja melangkah kaki ke alam rumah tangga pastinya mengharapkan itu adalah jodoh terakhir, paling bahagia dan segala yang indah-indah.
“Begitu juga saya, andainya melangkah ke gerbang perkahwinan sekali lagi, biarlah ini yang terindah dan membawa hingga ke akhir hayat.
“Tiada siapa menyasarkan untuk berkahwin dua tiga kali. Namun, kita juga kena percaya kepada takdir,” tambahnya.
Menurut Erra, beliau mencari pasangan yang mempunyai hala tuju yang sama.
Kalau boleh, tidak mahu seseorang yang masih lagi mengejar dunia, sebaliknya mahu belajar bersamanya menuju ke arah kebaikan.
“Saya tidak harapkan dia adalah pemimpin yang hebat, cukup sekadar seorang insan sederhana, tetapi mendamaikan,” katanya yang kini dikatakan sedang mengenali hati budi seorang jejaka yang juga usahawan, Ezwan Zain.
Sebelum ini, Erra pernah berkahwin dengan penyanyi dan pengarah, Datuk Yusry Abdul Halim, pada 2003, namun bercerai pada 2006. Mereka tidak dikurniakan cahaya mata.
Kemudian, beliau bertemu jodoh buat kali kedua bersama usahawan, Engku Emran Engku Zainal Abidin, pada 25 Oktober 2007, namun berpisah pada 18 Februari 2014.
Hasil perkahwinan kedua, beliau dikurniakan cahaya mata perempuan, Engku Aleesya Engku Emran, yang kini berusia 16 tahun.

