Dunia hiburan Melayu 2024 memang penuh warna-warni, asam garam dan masam manisnya.
Seorang teman penjana kandungan digital di seberang Tambak menjelaskan betapa beliau sibuk berkejar ke sana sini hampir setiap hari kerana banyak perkembangan artis yang menggembirakan, menyedihkan, bikin naik darah mahupun mencemaskan yang berlaku.
Di sebalik semua itu, saya selalu berpesan kepadanya: “Laporkan perkara yang bermanfaat dan bukan seperti sesetengah penjana kandungan, penulis blog atau penghasil vlog yang hanya sibuk menjejak ‘baby bump’ (artis hamil) atau artis ‘tudung terbang’, yang tidak lagi berhijab. Hal terlalu peribadi, tak perlu rasanya nak disibuk-sibukkan.”
Mengimbas semula 2024, saya memilih tiga perkara dalam dunia hiburan untuk dikupas.
Saya adalah peminat kerja seni pengarah filem dan drama Singapura, M. Raihan Halim, sebagaimana saya juga suka semua filem arahan Syafiq Yusof, dari yang lama seperti SAM: Saya Amat Mencintaimu, Desolasi, Abang Long Fadil dan Misteri Dilaila hinggalah yang terkini, Polis Evo 3 dan Sheriff: Narko Integriti.
Kededuanya mampu membuatkan saya terpaku pada layar pawagam atau televisyen. Anehnya, saudara-mara dan teman-teman yang jarang menonton filem Melayu pun akan rasa terpaut dek kelainan kerja seni Raihan dan Syafiq.
Lantaran itu, saya begitu teruja mendapat berita bahawa filem arahan Raihan, La Luna, yang dibintangi Shaheizy Sam, Sharifah Amani dan Hisyam Hamid, mewakili Singapura ke Anugerah Academy ke-97 bagi 2025, dalam kategori Filem Ceritera Antarabangsa Terbaik.
Filem yang mengisahkan kesan pembukaan sebuah kedai pakaian dalam di desa terpencil yang kuat berpegang pada budaya lelaki menguasai dan menerajui segalanya berbanding wanita yang payah diperkasa dan dihalang melakukan banyak perkara banyak membuka minda kita untuk bertanya tentang hak wanita dan juga prinsip hidup sesetengah golongan penunggang agama.
Walaupun ada yang mempersoal mengapa La Luna yang diterbitkan bersama dua syarikat penerbitan Singapura, Clover Films dan Papahan Films, dengan kerjasama syarikat penerbitan Malaysia, ACT 2 Pictures dan One Cool Film, mewakili Singapura, sedangkan ada penglibatan pihak Malaysia, saya kira ia satu titik tolak baru.
Kita pastinya ingin melihat lebih banyak filem bermutu terhasil daripada idea kreatif karyawan seni Singapura dan Malaysia sebab kita serumpun bangsa.
Berbanding La Luna, sambutan bagi filem seram pertama, Raihan, Ibu, pula bagai suam-suam kuku.
Belum sempat saya usahakan sebarang wawancara atau menonton filem itu, ia sudah tidak lagi ditayangkan di pawagam setempat. Tidak kelihatan pemasaran yang intensif di media sosial.
Ibu menggandingkan pelakon Malaysia, Alicia Amin, (yang namanya sedang naik kerana drama ‘berhantu’, Andai Tiada Dia) dan pelakon Singapura, Sabrina Nasir.
Saya mengamati nama pemenang Festival Filem Malaysia (FFM) dari awal ia diperkenalkan Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia pada 1979 hingga kini, dan ia diselaras dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi edisi ke-33.
Festival ini tidak diadakan secara tahunan pada awalnya.
Apa yang saya dapati ialah kemenangan FFM biasanya didominasi karyawan seni Melayu, dalam kategori pelakon, pengarah atau kru belakang tabir. Ada ketikanya filem Cina atau Tamil juga tidak dinilai.
Tapi nampaknya, kita lihat kehadiran kategori khusus untuk kerja seni terbaik karya Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris kini.
Pada 2024 juga, kita lihat pelakon bukan Melayu, Susan Lankester, menjulang piala Pelakon Wanita Terbaik bagi Rain Town, kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dimenangi Jack Tan, bagi Abang Adik; Elizabeth Tan menerima kejutan manis bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik untuk Sheriff: Narko Integriti dan Jin Ong memenangi Anugerah Pengarah Harapan bagi Abang Adik.
Bagi saya, ini menjadikan persada hiburan masyarakat majmuk seperti Malaysia ini lebih berdaya saing dan rencam.
Ada yang kata Elizabeth Tan boleh menjadi pelakon Cina pelapis dalam dunia filem Melayu seperti pelakon veteran, Nancie Foo.
Pada FFM Kedua, Foo bahkan menerima Anugerah Bintang Harapan (Aktres).
Tahun 2024 juga sarat dengan kisah artis bercerai-berai atau terbabit dengan skandal.
Kadangkala sampai dah penat dan jenuh membacanya, selain hanya mampu mendoakan yang baik-baik sahaja buat mereka.
Sebab kita tidak dalam kedudukan mereka, jadi tak perlulah menambah beban dosa dengan mengecam atau menokok tambah tentang kes cerai artis.
Antara kes cerai yang menjadi buah mulut netizen ialah Hisyam Hamid dan Rosmawati Hanafi; Aliff Aziz dan Bella Astillah; Nora Danish dan Nedim Nazari; Harith Iskander dan Dr Jezamine Lim; Syamsul Yusof dan Ira Kazar; Fazura dan Fattah Amin; Datuk Fazley Yaakob dan Azrene Soraya serta Emma Maembong dan Muhd Shazli Azhar serta kes gantung tidak bertali, Farid Kamil dan Diana Danielle.
Dalam pada itu, saya tertarik membaca laporan The Straits Times (ST), ‘M’sia influencers flex lavish lifestyle but deep in the red’.
Antara lain, ia mengisahkan tentang masalah yang melanda golongan yang menayangkan gaya hidup mewah tetapi didapati bermasalah seperti usahawan fesyen Vivy Yusof, usahawan Datuk Seri Vida dan pelakon Rozita Che Wan.
Bertahun lamanya usahawan tudung mewah jenama dUCk yang terkenal di Nusantara, Vivy dan suami, Fadzarudin Shah Anuar, memancing perhatian ramai kerana tanggapan tentang kejayaan yang mereka kecapi pada usia muda.
Sayangnya, pada 5 Disember, mereka diheret ke mahkamah kerana tuduhan pecah amanah dana pelaburan awam dalam FashionValet, bernilai RM8 juta ($2.4 juta) pada 2018.
Presiden Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia, Dr Joel Low, yang dihubungi ST memberi amaran tentang bahaya netizen mengikuti contoh gaya hidup pempengaruh yang sanggup berhutang atau berhabis-habisan belanja sehingga suatu ketika menimbulkan kemurungan.
Akhir kata, dalam menyambut 2025, moga yang baik pada 2024 dijadikan teladan manakala yang tidak dijadikan sempadan.
Di sebalik segalanya, moga dunia hiburan Melayu kita lebih disuntik dengan semangat positif dan tidak tenggelam dalam kesuraman sikap saling menjatuhkan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg