Seorang teman saya yang suka memakai kebaya bahkan tidak terasa rimas berkejar-kejaran dalam tugasannya cukup bangga apabila pakaian tradisional itu termaktub dalam Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) 2024.
Saya dapat bayangkan semakin banyak kebaya bermacam warna yang akan dibeli untuk mengisi almari pakaiannya yang dah ‘minta ampun’ sebab terlalu sarat dengan busana untuknya gayakan.
Pencalonan kebaya sebagai khazanah warisan yang harus dipelihara dari generasi ke generasi mendatang ini diusahakan Singapura, Malaysia, Indonesia, Brunei dan Thailand.
Apa yang menarik buat saya ialah kebaya penyatu kaum. Bukan sahaja orang Melayu memakainya, kaum Cina khususnya golongan Peranakan, India dan Serani turut menggayakannya semasa keramaian gah penuh gemilang atau pada musim perayaan apabila mereka saling berkunjung.
Dalam era yang menyaksikan wanita ingin ringkas bergaya, saya gembira melihat kebaya masih lagi dipakai dengan bermacam usaha beberapa pihak memupuk kesedaran mengenai sejarah, proses penghasilan serta keterangan lanjut mengenai fabrik serta corak yang diterapkan pada kebaya.
Tidak semua orang berasa dirinya itu anggun apabila berkebaya. Mereka yang bertubuh gempal kadangkala takut memakai kebaya kerana bimbang ia kelihatan terlalu ketat dan tidak menyelesakan.
Bagaimanapun, dalam pemerhatian saya kali ini, saya ingin keluar daripada setakat membincangkan kebaya kerana saya tertarik melihat bermacam lagi perkara, barangan atau adat istiadat yang tersenarai dalam ICH Unesco ini, merangkumi warisan negara lain.
Apa yang tergolong dalam senarai ICH adalah amalan, ilmu pengetahuan dan luahan rasa sesebuah masyarakat yang menganggapnya sebahagian identiti budaya.
Kadangkala, ia dikaitkan dengan barangan dan ruang. Disebarkan atau diwarisi menerusi generasi zaman berzaman, khazanah ini disesuaikan mengikut keperluan zaman lantas memperkukuh identiti sesebuah masyarakat dan menggambarkan rasa hormat pada kerencaman budaya dunia.
Selain kebaya, kopi Arab yang melambangkan sikap murah hati masyarakat Arab terhadap tetamu yang datang ke rumah atau pejabat mereka juga disenaraikan Unesco sebagai ICH 2024.
Yang mencalonkannya ialah perwakilan dari Amiriah Arab Bersatu (UAE), Oman, Qatar, Arab Saudi dan Jordan.
Kopi Arab adalah minuman harian bagi masyarakat Arab dan turut dihidangkan di majlis kahwin dan perhimpunan khas di peringkat puak atau suku kaum Arab tertentu ketika mereka ingin duduk berbincang mengenai penghuraian konflik.
Biasanya, orang lebih berusia dan tetamu diberikan secawan kopi terlebih dahulu dengan tuan rumah menuang kopi dengan menggunakan tangan kanan.
Adat minum kopi pula memerlukan seorang tamu menggoyangkan cawannya sebagai isyarat kopi itu sudah habis diminum.
Kopi diminum dalam suasana mereka berbalas sajak, berbincang atau mengenang nostalgia bersama.
Selain lambang murah hati dan rasa hormat si tuan rumah, kopi Arab turut penggalak keamanan dan dialog untuk mencapai keharmonian.
Budaya bersarapan di Malaysia dalam masyarakat berbilang kaum turut termaktub dalam Senarai ICH Unesco.
Jangan sangka tiada pengertian apa-apa tatkala nasi lemak, roti canai dan teh tarik disajikan di atas meja sarapan.
Memang santai-santai sahaja tetapi perwakilan warisan di Malaysia menegaskan bahawa meluangkan masa bersama pada awal pagi dengan bersarapan itu merupakan budaya yang harus dikekalkan oleh keluarga dan sahabat handai.
Dalam kesibukan ibu bapa dan anak berkerjaya kini, ada yang tak sempat nak bersarapan bersama sedangkan ia boleh menjadi ruang untuk saling memberi kata-kata motivasi untuk memulakan hari, baik di pejabat atau sekolah.
Lebih menyeronokkan, kalau kita dapat lihat rakan sekerja Melayu, Cina, India dan Serani makan bersama sajian tradisional pelbagai kaum.
Ada orang Melayu yang paling suka bersarapan roti canai manakala ada juga orang Cina pula begitu terbuka selera kalau makan nasi lemak yang disediakan orang Melayu.
Semua orang, tak kira kaum, pun suka minum secangkir teh tarik.
Di Azerbaijan, tradisi membuat roti dan membakarnya dengan menggunakan ketuhar tembikar juga merupakan warisan yang ingin dipelihara di negara itu dan disisipkan dalam Senarai ICH Unesco.
Masyarakat Azerbaijan mempercayai bahawa roti yang dibakar dalam ketuhar tembikar itu akan menjamin kehidupan yang berkat dan panjang umur.
Ini kerana roti itu boleh disimpan lama dan dimakan bagi beberapa hari selepas ia disiapkan.
Penduduk Azerbaijan menganggapnya sebagai makanan tradisi yang menyelerakan lagi menggalak perpaduan.
Sesiapa yang mahir dalam seni memasak dengan menggunakan ketuhar tembikar dianggap bertuah.
Ilmu membakar roti juga diwarisi melalui komunikasi lisan dan arahan daripada moyang kepada cucu-cicit mereka.
Kebanyakan masa, ibu bapa seronok berkongsi ilmu, kepercayaan dan cerita rakyat tentang proses menyiapkan roti itu bersama anak-anak mereka.
Menyajikan roti ‘tandir’ kepada tetamu khususnya kanak-kanak dikatakan membawa berkat kepada tuan rumah di samping kemakmuran buat keluarga berkenaan.
Seronok juga saya membaca satu per satu halaman senarai kegiatan, kepercayaan atau adat istiadat yang dianggap ICH oleh Unesco di laman pertubuhan itu.
Mengapa kerja menyiapkan zink rumah dan bangunan mengikut cara tradisi jurubina di Paris, Perancis, dianggap tugas mulia?
Apakah sebab tradisi membuat sabun ‘Aleppo Ghar’ daripada minyak zaitun dan buah-buahan segar di rimba Syria pada musim sejuk dianggap warisan bermakna?
Semuanya dikongsi Unesco untuk sesiapa sahaja yang ingin menghadam hasil peninggalan warisan pelbagai kaum di merata dunia.
Memang apa yang cuba dipertahankan dan tersenarai dalam Senarai ICH Unesco ini kadangkala kelihatannya leceh dari segi proses dan makan masa lama dalam kita sibuk bergegas dengan tuntutan seharian, tetapi kalau dibiarkan pupus ditelan zaman, hilanglah segala keunikan yang menjadi identiti dan penyatu sesebuah masyarakat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg