Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

SPEKTRA SENI

Kalau terlebih sensasi, hanya tambah ‘toksin’ dunia hiburan

Seni harus jadi penawar bukan penghambat semangat, pencetus murung artis
Aug 21, 2023 | 05:30 AM



Apa erti dunia hiburan kalau kurang sensasi, tidak menggemparkan dan semuanya baik-baik sahaja tanpa ada perkara yang memeranjatkan?

Mungkin inilah yang sering timbul di fikiran ramai apabila berbicara tentang arena hiburan di mana-mana sahaja, baik di Singapura, seberang Tambak, Indonesia, K-Wood (Korea), Bollywood (India) atau Hollywood.

Namun, dengan adanya pelbagai wadah media sosial seperti TikTok, Instagram dan Facebook, kalau ada berita tak baik atau komen ‘buas’ lagi ‘laser’ mula tular sehingga meracuni pemikiran ramai, ia dianggap ‘toksin’ yang mampu membinasakan artis terbabit dan industri hiburan secara menyeluruh.

Jika hiburan, baik nyanyian, sajian muzik atau lakonan selama ini menjadi penawar yang menenangkan orang ramai lebih-lebih lagi tatkala persada seni bangkit semula sesudah pandemik Covid-19, mengapa ia harus dibiar sarat ‘toksin’ (dalam bentuk kecaman dan berita negatif) yang memburukkan lagi dunia yang kian lelah kerana banyak kontroversi yang tidak perlu berlaku dan tersebar?

Baru-baru ini, video Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam konsert jelajah Asia, David Foster & Friends Asia Tour, di Teater The Star, dikongsi di Facebook dan Instagram Berita Harian. Dalam lautan yang memuji suara Tok Ti merdu mendendangkan lagu The Power of Love dengan lontaran suara bertenaga persis Celine Dion, ada juga kelompok ‘haters’ atau pembenci yang tidak putus-putus ‘menyerang’ nyanyian dan busananya.


Ada yang kata sebutan bahasa Inggeris Tok Ti tidak jelas dan kekampungan. Yang kutuk busananya konon ketinggalan zaman dan merimaskan pun ada. Yang menyatakan David Foster harus panggil penyanyi lain yang jauh lebih baik penguasaan bahasa Inggerisnya pun tak kurang. Pendek kata, ada sahaja yang tidak kena.

Saya pernah bertanyakan soalan apakah Tok Ti tidak tersinggung dengan komen sebegini? Beliau berpendirian kerana sudah lama dalam industri, komen yang tidak membina dan tidak perlu ini diabaikan sahaja lantas tidak perlu pening-peningkan kepala memikirkannya.

Bagaimanapun, kalau komen sudah keterlaluan dan tidak berasas, rasanya Tok Ti berhak mengulas sebagaimana yang berlaku sewaktu dua warganet mengutuk rekaan kulit muka album terkini Tok Ti, Sitism.


Bengang dengan kecaman dua individu yang didakwa mempersendakan kulit album terbarunya itu, Tok Ti bertindak mendedahkan nama akaun dua individu itu dalam Instagram (IG) story miliknya. Menerusi hantaran yang sama, Tok Ti turut ‘tag’ akaun IG rasmi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk membuat siasatan bagi memberi pengajaran kepada pemilik dua akaun berkenaan.


Ramai juga artis yang saya lihat kian berani mengambil tindakan apabila warganet mula melampau. Pelawak dan penyampai radio, Shuib, nekad dengan keputusan meneruskan saman terhadap pemilik akaun, Johan Dihani, yang mengaitkannya dengan Pertubuhan Freemason.

Datuk Aishah juga pernah menegur beberapa warganet yang cuma-cuma memberi komen tidak membantu malahan merendahkan keupayaannya sebagai artis lama dalam industri hiburan. Bak kata orang, jangan dijolok sarang tebuan. Baik-baik artis berdiam dan tidak mengambil tindakan, jangan sampai bak peribahasa Inggeris, ‘do not awaken the sleeping lion” (jangan dikejut singa yang sedang tidur), artis bangkit menyerang kembali. Sebab kalau didiamkan, boleh naik kepala.warganet yang tidak bertanggungjawab dan bermaharajalela sebagai keyboard warrior atau ‘pahlawan papan kekunci’.


Apa yang saya rasakan amat perlu kini adalah sajian berita artis yang mencetus inspirasi meskipun ada yang menganggapnya membosankan dan kurang menghiburkan. Misalnya, kisah artis yang pada usia emas masih lagi melengkapi diri dengan ilmu digital dan pandai menyunting video serta menjadi YouTuber macam Datin Effa Rizan.

Mungkin juga kisah artis yang membantu artis lain dalam kesusahan dan kesempitan juga boleh jadi perangsang di kala kita semua sedang meninggalkan fasa ‘terkurung’ sewaktu pandemik untuk memburu perkembangan baru seperti kecerdasan buatan (AI) dalam penjanaan karya seni.

Saya rasa itu lebih bermakna daripada wartawan, blogger dan vlogger pula sibuk ‘mengintai’ artis mana yang tidak lagi berhijab atau artis mana yang sudah menampakkan ‘baby bump’ (perut membesar kerana hamil) dan bakal menimang cahaya mata mahupun cuba menghidu pasangan mana yang tidak jadi kahwin atau berantakan retak menanti belah rumah tangganya.


Apabila zaman sudah pesat berubah dan media sosial menjadi wadah utama anak-anak kita membaca (seperti yang kita sedia maklum, generasi muda kurang membaca media tradisional seperti akhbar cetak), kita khuatir jika generasi mendatang disajikan dengan berita-berita remeh yang lebih sensasi daripada berisi.

Banyak kisah artis murung kerana tidak tahan dengan tekanan dunia siber. Sebab dunia hiburan yang negatif boleh membawa pada kesan yang tidak diinginkan. Beberapa laman hiburan Korea sempat menyorot kesan populariti artis dan juga sikap terlalu menilai warganet yang membawa pada kes bunuh diri.

Jeong Da Bin menggantung dirinya di tandas rumah pada usia 26 tahun sekitar 2007 apabila popularitinya merudum dan beliau dikecam ramai dalam talian kerana cuba mengubah penampilannya. Choi Jin Sil yang memenangi anugerah lakonan pula menamatkan nyawanya kerana terkesan dengan komen warganet tentang statusnya sebagai ibu tunggal dan didakwa merupakan orang ketiga dalam satu perhubungan dengan tokoh hiburan ternama.

Justeru, jangan sangka komen maya tidak berbahaya dan suka-suka sahaja. Awas, jika kata-kata yang dilontar di alam siber mampu bertukar menjadi racun yang membinasakan hidup artis dan dunia hiburan secara keseluruhan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >