Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perubahan tingkah laku anak ‘petunjuk’ penting bagi ibu bapa

Jul 3, 2025 | 5:30 AM
khalid, dibuli
Penulis mengambil keputusan mendaftarkan anaknya, Khalid, yang menjadi mangsa buli dalam bas sekolah, untuk mengikuti kelas seni mempertahankan diri seperti karate. Ia bukan untuk membalas dendam, tetapi untuk meningkatkan keyakinan dan melindungi diri anaknya jika perlu. - Foto BH oleh RUBIAH MOHD

Dalam kehidupan seharian, kita sering berhadapan dengan individu yang suka memperkecilkan orang lain, bergurauan yang melampaui batas hingga menyakiti perasaan.

Di sekolah, perlakuan seperti ini boleh dikategorikan sebagai pembulian – sama ada disedari atau tidak – dan boleh membawa kepada pergaduhan, malah kecederaan fizikal dan emosi.

Beberapa tahun lalu, anak lelaki saya yang ketika itu berusia kira-kira sembilan tahun, mula menunjukkan perubahan sikap yang ketara.

Dia sering pulang dari sekolah dalam keadaan marah dan gelisah.

Pada awalnya, saya beranggapan mungkin dia hanya keletihan setelah seharian di sekolah.

Namun lama-kelamaan, saya mula menyedari kesannya terhadap prestasi akademik dan cara interaksinya bersama guru dan rakan-rakan lain.

Hampir setiap minggu saya dipanggil ke sekolah dan dimaklumkan bahawa anak saya sukar memberi tumpuan di dalam kelas, murung dan tidak mendengar arahan.

Sebagai ibu, reaksi spontan saya adalah menyalahkannya – mungkin dia gagal menyesuaikan diri.

Tetapi apabila saya mula menyelidik lebih mendalam, kebenaran yang pahit akhirnya tersingkap.

Anak saya menjadi mangsa buli – bukan di dalam kelas, tetapi sepanjang perjalanan pergi dan balik dari sekolah dengan menaiki bas sekolah.

Ketika itu, dia bersekolah di sebuah sekolah antarabangsa di Sharjah, ketika kami tinggal di Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Majoriti pelajar sekolah tersebut datang dari negara Arab seperti Syria, Mesir, Jordan dan Lebanon.

Walaupun anak saya berketurunan Mesir – kerana bapanya orang Timur Tengah, namun, dia tidak fasih berbahasa Arab, dan berdarah campuran Melayu.

Hal itu menjadikannya sasaran ejekan.

“Saya dibuli dalam bas. Mereka ambil beg saya, buang buku saya, dan mengejek saya. Saya tak mampu buat apa-apa,” katanya dengan linangan air mata.

Walaupun sebagai seorang anak lelaki, dia cuba menahan diri daripada menunjukkan kelemahan, tekanan yang dialaminya akhirnya meletus dalam bentuk kemurungan dan sikap antisosial.

Sebagai ibu, saya tahu saya tidak mampu melindunginya sepanjang masa, apatah lagi apabila kebanyakan masanya dihabiskan di sekolah.

Saya kemudian mengambil keputusan mendaftarkannya ke kelas seni mempertahankan diri seperti karate – bukan untuk dia membalas dendam, tetapi supaya dia dapat melindungi dirinya jika perlu.

Perkara paling penting yang saya pelajari daripada pengalaman ini ialah keperluan untuk sentiasa peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak.

Mereka mungkin tidak tahu bagaimana hendak meluahkan tekanan yang dihadapi – dan sebagai orang dewasa, kita perlu menyediakan ruang selamat untuk mereka berkongsi apa yang terbuku di hati.

Pembulian bukan isu remeh.

Menurut laporan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) bertajuk, Di Sebalik Angka: Mengakhiri Keganasan dan Pembulian di Sekolah (2019), hampir seorang daripada tiga pelajar di seluruh dunia berumur 12 hingga 17 tahun mengakui pernah dibuli sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh sebulan.

Pembulian boleh berlaku secara fizikal, verbal, sosial atau dalam bentuk siber, dan kesannya boleh berpanjangan hingga ke dewasa – termasuk kemurungan, rendah diri dan kecenderungan untuk mengasingkan diri.

Justeru, penting bagi ibu bapa, guru dan anggota masyarakat bekerjasama dalam mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat dan saling menyokong.

Pendidikan awal tentang empati, hormat-menghormati dan keberanian untuk melaporkan kejadian buli harus ditekankan.

Hanya dengan pendekatan menyeluruh, barulah kita dapat membasmi budaya buli yang menghantui ramai kanak-kanak dan remaja hari ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg