Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Karyawan kemahiran tinggi hadapi risiko lebih tinggi dek penularan AI: Kajian

Nov 01, 2023 | 05:26 PM



Golongan pekerja profesional mahir di hab digital utama, termasuk Singapura, menghadapi risiko paling terjejas oleh penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas, menurut kajian sekumpulan penyelidik dalam bidang tersebut.

Bagi menangani cabaran ini, usaha semua pihak – awam, swasta dan individu – diperlukan untuk melakar strategi digital, mereka semula pekerjaan dan meningkatkan kemahiran pekerja di semua peringkat.

Penemuan ini telah diumumkan di Sidang Global Kerja Masa Depan Digital 2023, yang diadakan dari 1 hingga 3 November 2023, anjuran Institut Pembelajaran Dewasa (IAL).

Menurut kenyataan IAL, kajian menyeluruh ini, yang terdiri daripada lebih daripada 500 temu bual mendalam dan analisis kuantitatif, meneroka corak penggunaan AI di lebih daripada sepuluh hab global, termasuk Silicon Valley, Singapura dan London.

Bertentangan dengan jangkaan bahawa AI akan banyak menjejas pekerjaan berkemahiran rendah dan sederhana, penemuan global ini menunjukkan bahawa inovasi korporat dipacu AI tertumpu pada kerja profesional berkemahiran tinggi.

Tugas seperti membuat keputusan serta kemahiran domain seperti perundingan dan pemasaran, kini sedang dijalankan melalui proses “penangkapan kognitif” yang dilaksanakan oleh platform digital.

Cabaran AI Bagi Masa Depan Kerja

Hala tuju inovasi korporat ini menjadikan pekerjaan berkemahiran tinggi paling berisiko, yang berpotensi menimbulkan cabaran kepada ekonomi dalam menambah pekerjaan yang meningkatkan mobiliti sosial.

Oleh itu, pemimpin mempunyai peranan penting membentuk penggunaan teknologi AI ke arah kemakmuran bersama.

“Kami telah mengkaji arah aliran AI dalam syarikat global terkemuka untuk memahami hala tujunya,” kata Profesor Phillip Brown, Profesor Penyelidikan Cemerlang, Universiti Cardiff dan Pengarah, Program Penyelidikan Kerja Masa Depan Digital.

“Bertentangan dengan kepercayaan bahawa AI akan mencipta pekerjaan yang lebih baik, data kami mencadangkan ia sering memecah-belah tugas profesional untuk menjimatkan kos, langsung memberi kesan kepada aspirasi kelas pertengahan. Dapatan kami menunjukkan kesannya sudah dirasai, walaupun ia tidak kelihatan jelas dari sudut statistik.

Oleh itu, pemimpin masyarakat perlu mencari huraian bagi persoalan penting tentang AI dan masa depan kerja dan membuat penyesuaian sewajarnya,” kata Profesor Brown.

Tidak semua kegiatan inovasi AI membawa kepada pemecahan kerja berilmu.

Hab digital seperti Helsinki dan Berlin, serta sebahagian kecil firma di hab digital lain, menumpukan teknologi AI sebagai teknologi bantuan untuk mengekalkan kerja profesional dan meningkatkan pekerjaan berkemahiran rendah dan sederhana.

Firma yang terlibat dalam aktiviti sedemikian berpendapat bahawa strategi tersebut adalah strategi pengembangan sempadan yang akan mencipta nilai baru.

Sebaliknya, strategi penangkapan kognitif didorong oleh pendekatan yang dipacu kecekapan dan mengurangkan kos yang tidak akan menghasilkan penciptaan nilai yang mampan.

Pakar teknologi juga berpendapat AI mempunyai potensi besar meningkatkan keupayaan manusia. Perspektif ini membuka peluang kepada pemimpin masyarakat membentuk penggunaan teknologi AI demi meningkatkan produktiviti dan kemakmuran bersama.

Penemuan Utama di Singapura

Di Singapura, temu bual mendalam dengan lebih 80 pemimpin perniagaan dan teknologi daripada 60 firma terkemuka menunjukkan hasil yang serupa.

Inovasi korporat digunakan bagi pekerjaan profesional yang memerlukan tahap pendidikan dan latihan yang tinggi, pengalaman dan pertimbangan profesional.

Ini termasuk membuat keputusan berhubung kredit, perkhidmatan kejuruteraan di lapangan, reka bentuk kurikulum dan perkhidmatan perundingan.

Tugas-tugas ini sedang dijalankan melalui proses automasi, penyeragaman dan pengagihan semula – yang membahagikan tugas rumit merentasi ekonomi melalui platform berkemahiran tinggi dan/atau kerja jarak jauh.

Terdapat risiko proses penangkapan kognitif akan mengurangkan permintaan keseluruhan untuk tenaga kerja profesional dan mengecilkan kerja profesional bagi tugas kurang kompleks.

Selain itu, analisis kuantitatif kesan perubahan teknologi ke atas pekerjaan di Singapura juga dijalankan menggunakan data daripada Tinjauan Kemahiran dan Pembelajaran Singapura.

Dijalankan antara 2021 dan 2022, tinjauan itu termasuk soalan yang meminta responden menyatakan tugas digital yang mereka lakukan di tempat kerja dan kesan perubahan teknologi pada kerja mereka, termasuk tetapi tidak terhad kepada teknologi AI.

Data daripada 4,218 pemegang pekerjaan pemastautin telah dianalisis, dan dapatan yang diraih menunjukkan bahawa walaupun perubahan teknologi memberi manfaat terutamanya kepada peranan pengurusan, ia menimbulkan risiko bagi tugas profesional dan mempunyai kesan minimum terhadap mutu kerja pekerja lain.

Walaupun semua kategori pekerja sama-sama berisiko kehilangan pekerjaan akibat kemajuan teknologi, bilangan pekerjaan profesional kurang berkemungkinan akan berkembang.

Guna AI Ganti Pekerja Profesional Demi Jimat Kos?

Penolong Pengarah (Penyelidikan) IAL, Cik Sahara Sadik, pula berkata temu bual dengan syarikat terkemuka Singapura memberi penyelidik pandangan lanjutan tentang keutamaan perniagaan mereka apabila melibatkan inovasi AI.

“Penggunaan teknologi AI demi menjadikan kerja profesional lebih cekap kos adalah jelas.

“Apabila digabungkan dengan data sedia ada bahawa perubahan teknologi telah melemahkan pekerjaan profesional dan tidak meningkatkan jenis kerja lain, ia menggariskan keperluan mendesak agar kita menguruskan peralihan AI dengan lebih ketara ke arah kemakmuran bersama,” katanya.

Antara strategi yang perlu dipertimbangkan ialah menggalak perniagaan mengambil pendekatan strategi transformasi perniagaan yang produktif dan mengutamakan sumber manusia, tambah beliau.

Terdapat juga keperluan membina pengetahuan tentang cara AI boleh digunakan untuk menambah pekerjaan, dan meningkatkan keupayaan tenaga kerja AI dalam sektor dan pekerjaan yang mempunyai penggunaan AI yang tidak seimbang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >