Tidak pernah terlintas di fikiran karyawan psikologi dan usahawan brownie, Dr Nadia Marican, bahawa beliau akan berlakon dalam sebuah filem dan dapat melihat lakonannya disiarkan di skrin pawagam Singapura, Brunei dan Malaysia.
Anak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Second Chance Properties, Encik Salleh Marican ini, telah menjayakan watak utama bernama Fatimah dalam filem amal Syaaban, arahan pelakon asal Singapura, Datuk Adi Putra.
“Sejujurnya saya memikirkan bahawa Adi sedang bergurau dengan saya ketika itu. Saya tidak menyangka bahawa beliau benar-benar mahukan saya berlakon dalam filemnya,” kongsi Dr Nadia, 48 tahun.
Dr Nadia yang mengendalikan perniagaan ‘brownie’ dan mempunyai dua cawangan Dr. Kitchen di Siglap Drive dan Curbside Crafters di 730 North Bridge Road, berkongsi bahawa beliau dan Adi merupakan rakan baik. Mereka sering berjumpa bersama rakan-rakan yang lain apabila pelakon terkenal itu pulang ke Singapura.
“Kami sering berjumpa untuk makan lewat malam atau supper mahupun kopi setiap kali beliau berada di Singapura. Pada 2019, Adi berkongsi niatnya untuk menghasilkan filem ini dan beliau terus menawarkan saya untuk melakonkan watak utama bersamanya,” ujar Dr Nadia.
Filem Syaaban merupakan sebuah filem yang bukan bermotif keuntungan dan mengetengahkan konsep ikhlas. Ia merupakan filem arahan pertama Adi dan telah ditayangkan di tiga negara baru-baru ini.
Walaupun mempunyai pengalaman menulis skrip dan berlakon dalam pementasan teater semasa di bangku sekolah, Dr Nadia tetap menganggap peluang yang diberikan sebagai satu cabaran buatnya.
“Semasa di kolej, saya bergiat aktif dengan kelab drama dan sering berlakon di atas pentas dalam bahasa Inggeris. Tetapi itu dilakukan kerana minat dan saya tidak pernah menganggap bahawa saya seorang pelakon profesional,” kongsinya semasa satu wawancara bersama Berita Harian melalui Zoom.
Seorang yang suka melakukan sesuatu di luar zon keselesaannya, Dr Nadia mengambil peluang yang diberikan sebagai satu cabaran.
“Mujur kru penerbitan dan pelakon-pelakon yang lain cukup penyabar dan membantu saya menjiwai watak.
“Walaupun Adi sangat sibuk dengan tugasan-tugasan lain sewaktu di set penggambaran, beliau tetap meluangkan masa untuk memberi saya tunjuk ajar dan akan meneliti skrip bersama saya. Saya boleh menanyakan apa saja jika saya tidak pasti,” ujarnya.
Antara cabaran yang dilalui beliau semasa melakonkan watak Fatimah adalah ketika beliau diminta untuk melakukan babak menangis.
Ia mengambil masa yang agak lama untuk beliau menjiwai watak tersebut tetapi beliau berjaya untuk menitiskan air mata buat dua babak yang berbeza.
Dr Nadia berkongsi bahawa pelakon asal Singapura, Hasnul Rahmat, yang memainkan watak sebagai ayahnya dalam filem Syaaban turut membantunya. Hasnul seakan mentor yang telah meluangkan masa untuk berlatih skrip bersamanya dan memberi tip supaya Dr Nadia dapat menyampaikan dialog dengan baik.
“Saya berasa sangat bersyukur dapat bimbingan daripada Hasnul yang merupakan seorang pelakon yang sangat hebat. Beliau tidak lokek ilmu dan akan duduk bersama saya semasa latihan skrip untuk memastikan saya tidak bertutur terlalu cepat.
Penolong pengarah, Din Sani, turut merupakan individu yang membantu Dr Nadia semasa di set penggambaran. Beliau telah memberi banyak bimbingan dari segi memahami pergerakan kamera agar Dr Nadia tidak kelihatan kekok di hadapan kamera.
Sifat mesra dan semangat kekeluargaan dirasai semasa beliau melakukan penggambaran selama dua minggu di sekitar Kuala Lumpur, Malaysia.
Mengulas tentang maklum balas yang diterima semasa tayangan perdana filem tersebut, beliau berkongsi bahawa rata-rata penonton dapat menerima filem Syaaban dengan positif. Jalan cerita yang ringkas dan unsur komedi yang diselitkan dalam skrip turut membuatnya mudah difahami.
Tertarik dengan konsep filem amal dan mesej yang ingin disampaikan merupakan antara faktor utama Dr Nadia bersetuju untuk berlakon dalam filem tersebut. Filem itu mengisahkan tentang ketua band, Shabby, yang berusaha mengubah dirinya untuk mengahwini gadis bernama Fatimah yang merupakan anak imam.
“Saya tertarik apabila diberitahu bahawa kutipan filem itu akan disedekahkan kepada pertubuhan amal terpilih.Saya bersetuju untuk berlakon dalam filem ini bukan kerana saya ingin menempah nama dalam bidang lakonan atau menceburi bidang ini sebagai kerjaya.
“Mesej ikhlas yang terdapat dalam filem ini merupakan sesuatu yang sangat dekat dengan hati saya,” ujar Dr Nadia.
Dr Nadia turut berkongsi bahawa ia merupakan minatnya untuk berbakti kepada masyarakat. Peluang untuk mengunjungi Rwanda semasa pengajian peringkat doktor falsafahnya (PhD) turut membuka minda Dr Nadia untuk menyumbang kembali kepada mereka yang memerlukan.
Beliau yang memiliki PhD dalam bidang Psikologi Antarabangsa daripada Chicago School of Professional Psychology bersyukur menerima galakan daripada ibunya, Cik Sapiyah Abu Bakar, dan bapanya, Encik Salleh, yang dikenali dalam dunia perniagaan masyarakat Melayu/Islam di sini.
Dr Nadia berpendapat bahawa keihklasan merupakan sesuatu yang harus datang daripada seseorang individu dan mereka harus tahu menilai niat mereka apabila melakukan sesuatu.
Sebagai karyawan psikologi, Dr Nadia sepatutnya menerima tawaran menjalankan kerja penyelidikan di Belanda tetapi rancangannya terpaksa dibatalkan kerana penularan wabak Covid-19 ketika itu.
Di kala itulah beliau mengusahakan perniagaan dari rumah dan menghasilkan sajian ‘brownie’ yang mendapat sambutan ramai sehingga beliau terdorong untuk membuka perniagaan Dr. Kitchen di dua cawangan. Beliau juga aktif membuka reruai ‘pop-up’ di Takashimaya apabila ada acara seperti jualan makanan di situ.
Suaminya pula meninggalkan tugas sebagai karyawan teknologi maklumat di Belanda dan berpindah ke Singapura untuk membantunya menguruskan perniagaan Dr. Kitchen.
Akhir kata, harapan Dr Nadia, penonton filem Syaaban dapat memahami mesej yang positif dan nilai murni yang ingin disampaikan filem tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg