Topik diikuti
Pergi ke BHkuKasut sniker jadi tumpuan utama di ruang tamu flat lima bilik
Minat kumpul kasut beri identiti pada rekaan dalaman rumah; kerjasama dengan pereka yang fahami gaya hidup harian
Kasut sniker jadi tumpuan utama di ruang tamu flat lima bilik
Ruang tamu biasanya menampilkan koleksi set sofa pilihan pemilik rumah.
Namun, di rumah Encik Jumadi, 40 tahun, dan Cik Siti, 33 tahun, 157 pasang kasut sniker pula menjadi tumpuan utama.
Melingkari ruang tempat duduk, terdapat struktur berkonsepkan tanjakan papan selaju.
Sudutnya yang melengkung serta ruang pameran rendah menggabungkan fungsi sofa dengan galeri kasut – sekali gus bertindak sebagai titik tumpu yang memukau pandangan.
Bagi Encik Jumadi, kepuasannya terletak pada melihat seluruh koleksinya.
“Saya rasa sangat tenang melihat pelbagai warna kasut, walaupun rekaan yang sama,” katanya kepada laman web, Home & Decor Singapore.
Daripada menyembunyikan minat itu di sebalik kabinet biasa, pereka dalaman, Encik Subash Satapha dari Reborn Interior, menjadikannya nadi rumah keluarga itu.
Encik Jumadi yang bekerja dalam bidang logistik manakala isterinya Cik Siti, yang bekerja dalam bidang pelancongan tinggal bersama tiga anak mereka yang berumur sembilan tahun, enam tahun dan setahun.
Mereka menetap di dalam flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) lima bilik di Hougang yang bersaiz 84 meter persegi.
Koleksi kasut bertambah
Koleksi Encik Jumadi bermula dengan sekitar 10 pasang ketika beliau masih muda.
Ia kemudian mula bertambah apabila beliau mula bekerja dan mempunyai lebih banyak wang untuk dibelanjakan.
Lawatan ke Jakarta baru-baru ini menjadikan jumlahnya 157 pasang.
Namun, kasut itu bukan trofi yang dijaga sempurna hanya untuk dipamerkan. Beliau menganggarkan sekurang-kurangnya 60 peratus daripadanya sudah pernah dipakai.
Beliau tidak pernah berminat untuk menjual koleksi itu.
Sebaliknya, beliau berharap anak-anaknya dapat memakai sebahagian kasut itu kelak, jika saiz kaki mereka sama.
Buat masa ini, beliau tetap menyimpan semua kotak asal kasut tersebut.
Sebahagiannya diselitkan kemas di belakang barisan kasut yang dipamerkan, manakala bakinya disimpan di tempat lain dalam flat tersebut.
Cik Siti turut berkongsi koleksi itu kerana beliau dan Encik Jumadi memakai saiz kasut yang sama.
“Beruntung untuk beliau, jadi beliau tidak perlu beli kasut. Saya beli, beliau pakai,” gurau Encik Jumadi.
Ketika bercuti ke luar negara, Cik Siti juga mencari kasut baharu untuk koleksi suaminya.
Encik Subash melihat koleksi Encik Jumadi sebagai lebih daripada hobi individu.
“Komitmennya begitu mendalam sehingga isterinya turut serta dan membantunya mengumpul sebahagian kasut itu. Mereka mempunyai gaya hidup unik sebagai sebuah keluarga,” katanya.
Pemahaman itulah yang membezakan Reborn Interior daripada pereka lain yang didekati pasangan itu.
“Keperluan yang kami berikan kepada mereka adalah: saya ada kasut sebanyak ini, apakah yang boleh anda lakukan untuk kami?” kata Encik Jumadi.
Encik Subash menggunakan pertemuan pertama untuk memahami cara keluarga itu hidup.
“Janji temu pertama, saya beritahu mereka, bukan untuk menunjukkan sebarang reka bentuk, tetapi untuk mengetahui gaya hidup mereka,” katanya.
Pasangan itu juga mahu ruang memaparkan kasut kekal rendah.
“Saya rasa kasut tidak patut diletakkan di atas kepala,” kata Encik Jumadi, sambil menegaskan bahawa kasut yang diletak tinggi memerlukan tangga dan mungkin akan diabaikan.
Cik Siti menambah: “Kasut sangat kotor. Bila diletakkan di atas, kotoran jatuh ke atas kita.”
Keperluan ini menyebabkan kabinet dinding kasut biasa dari lantai ke siling tidak dipilih, dan turut menentukan ketinggian ruang memapar kamus di ruang tamu.
Ruang tamu ‘tenggelam’
Kekangan ketinggian tersebut akhirnya menemui jalan penyelesaian menerusi satu lagi permintaan utama daripada Cik Siti, iaitu rekaan ruang tamu berbenam.
“Kalau cari rumah banglo di Google, sofanya selalu terletak di dalam lubang. Tetapi kita tidak boleh buat begitu di HDB, kan?” katanya.
“Justeru, daripada dibuat lebih dalam, ia jadi sofa panjang.”
Encik Subash menggabungkan kededua keperluan itu.
“Idea utama untuk sofa panjang di ruang tamu ini ialah gabungan dua idea. Satu ialah untuk memaparkan kasut, dan satu lagi ialah dek papan selaju,” jelasnya.
Daripada merendahkan aras lantai, beliau mengepung ruang tempat duduk dengan struktur yang ditinggikan, dengan ruang kecil yang rendah untuk mempamerkan kasut sniker pada kededua belah sisinya.
Reka bentuk melengkung tersebut menghidupkan semula nostalgia taman papan selaju berskala kecil di Queensway Shopping Centre yang cukup sinonim dengan Encik Jumadi dan Encik Subash.
Ia tempat tumpuan mereka yang pernah bermain papan jari, ‘Tech Deck’.
Anak-anak Encik Jumadi kini menggunakan lengkungan tersebut dengan cara yang sama.
Ruang duduk tenggelam itu melalui kira-kira empat pusingan reka bentuk.
Satu bukaan akhirnya dibuat di satu sudut untuk memudahkan tetamu masuk, walaupun Encik Subash memerhatikan bahawa kebanyakan orang, terutamanya kanak-kanak, hanya melompat atau memanjat dinding sisinya.
“Anak-anak sangat suka ruang ini. Kami tidak mahu ia terlalu formal, kami mahu ia menyeronokkan,” kata Encik Jumadi.
Reborn Interior juga perlu memastikan struktur itu cukup kuat untuk berfungsi sebagai tempat duduk tanpa melentur, sambil mengekalkan saiz bukaan ruang memapar kasut yang seragam.
“Sofa panjang itu merupakan bahagian yang paling sukar untuk dihasilkan,” kata Encik Subash.
Selepas menguji tiga lebar petak, pasukan itu memilih satu yang mampu menampung berat di atasnya sambil mengekalkan sebanyak mungkin ruang simpanan sniker.
Koleksi disusun ikut tema
Koleksi itu tidak dipamerkan sebagai satu longgokan yang tidak dibezakan.
Berhampiran pintu masuk rumah, sniker Converse dan Adidas lama Encik Jumadi menandakan tempat minatnya bermula.
“Fungsi keseluruhan bahagian permulaan itu adalah titik permulaannya, kenapa beliau mula mengumpul. Ini sangat bermakna kepadanya kerana ia mengisahkan asal usulnya,” jelas Encik Subash.
Tepat di atasnya, ruang dengan penutup kaca menyimpan sniker pertama anak-anak.
“Converse hijau di sebelah kanan bahagian atas itu adalah kasut pertama yang saya beli untuk bayi saya, anak sulung saya.
“Pada dasarnya, setiap kasut ada ceritanya. Pasangan merah jambu di bawah kiri itu kami beli untuk anak sulung semasa kami ke London,” imbau Encik Jumadi.
Kasut lain kemudian diturunkan kepada adik-beradik yang lain, manakala membeli kasut sepadan untuk keluarga kini bermakna membeli lima pasang sekali gus.
Encik Subash sengaja meletakkan dua generasi itu berdekatan.
“Ada kitaran tentang di mana segalanya bermula, tempat kasutnya bermula, dan kasut yang dibelinya untuk anak-anak juga,” katanya.
Paparan itu justeru menggambarkan bukan sahaja pertumbuhan koleksi Encik Jumadi, malah cara minatnya secara beransur-ansur menjadi sebahagian kehidupan keluarga.
Di sekeliling televisyen, susunan barang pameran melangkaui sekadar kasut.
Patung Godzilla, Funko Pop, patung kecil Pokémon dan gambar keluarga diletakkan di celah-celah sniker, membolehkan ruang tamu itu mempamerkan pelbagai minat keluarga berkenaan sekali gus.
Ruang dinding televisyen yang berbentuk organik meneruskan aliran lengkungan ruang duduk santai ke bahagian atas.
Walaupun bentuknya nampak dirancang rapi, ia sebenarnya dilukis dengan tangan dan diperhalusi terus di lokasi, dengan mengambil kira pendapat daripada pemilik rumah.
“Kami benar-benar menganggarkan bentuk dan melukis lengkungan itu dengan tangan di tapak projek. Pelanggan memberi arahan seperti, ‘Tambahkan sedikit lagi lengkungan di bahagian ini.’” jelas Encik Subash.
Kini dipenuhi gambar keluarga dan kenangan, ruang itu menjadi ruang bagi memori yang membawa ketenangan, seiring koleksi yang lebih meriah di bawahnya.
Laporan ini hasil tulisan Cik Gwyneth Goh, dan artikel ini pertama kali diterbitkan di laman web Singapore Home & Decor pada 10 September.