Pesanan arwah bapanya, supaya beliau memudahkan ‘jalan’ orang lain sentiasa dijiwai Encik Mohamathu Abdul Kader Sahul Hameed.
“Bapa saya ialah migran dari India dan semasa baru-baru tiba di Singapura, beliau hanya tahu berbahasa Tamil. Ini bermakna beliau mengalami banyak kesukaran pada ketika itu. Namun beliau tetap berpegang kepada pendiriannya, supaya tidak menyusahkan orang lain.
“Sebaliknya, beliau selalu mengingatkan saya supaya selalu memudahkan jalan orang lain,” kata Encik Kader, lalu tersenyum.
Menurut Encik Kader, arwah bapanya juga sering berkata: “Jangan tanya apa yang masyarakat boleh lakukan untuk kita, tetapi apa yang boleh kita lakukan untuk masyarakat.”
Tidak hairanlah, membantu orang lain bak sebati dengan darahnya.
Pada 16 November, Encik Kader, 54 tahun, yang telah menabur jasa sekitar sedekad sebagai sukarelawan Projek Masyarakat Reben Kuning (YRCP), antara 292 sukarelawan yang menerima anugerah di majlis khas di Singapore Expo. Kumpulan relawan itu telah berkhidmat selama tiga, lima atau 10 tahun.
Lagi 28 anugerah juga diberikan kepada divisyen akar umbi.
Diperkenalkan pada 2010 oleh Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS), YRCP ialah usaha sokongan peringkat akar umbi di mana relawan yang dilatih mendampingi keluarga pesalah dan antara lain, merujuk mereka kepada agensi atau khidmat pemerintah untuk mendapatkan bantuan. YRCP diuruskan oleh Persatuan Anti-Narkotik Singapura sejak 2015.
Tetamu terhormat, Menteri Pengangkutan Encik Chee Hong Tat, yang juga Menteri Kedua Kewangan memuji dedikasi yang ditunjukkan sukarelawan yang telah menjayakan Projek Reben Kuning sejak ia dimulakan 20 tahun lalu.
“Saya ingin merakamkan penghargaan saya kepada semua relawan atas komitmen anda yang tidak berbelah bagi untuk menyokong keluarga banduan dan bekas pesalah kami. Usaha anda membantu YRCP terus berkembang maju dan mengubah banyak kehidupan.”
Menambah, Encik Chee berkata keluarga banduan dan bekas pesalah antara lain menghadapi cabaran ekonomi dan sosial. Kajian juga menunjukkan ada risiko lebih tinggi kesalahan antara generasi dalam keluarga berlaku, kerana jenayah ibu bapa memberi kesan sampingan dan boleh menyebabkan anak menjadi lebih nakal.
“Penting bagi keluarga, terutamanya mereka yang mempunyai anak kecil, untuk menerima sokongan emosi dan sosial,” kata Encik Chee, yang menggesa lebih ramai tampil berkhidmat sebagai sukarelawan.
“Sentuhan manusia adalah penting untuk kerja ini dan sukarelawan dapat membuka banyak pintu dan peluang bagi membantu mereka yang memerlukan,” kata beliau.
Buat masa ini YRCP mempunyai sekitar 1,100 sukarelawan di peringkat akar umbi yang mendampingi lebih 23,000 keluarga.
Di majlis itu, Encik Chee juga mengumumkan rancangan membentuk pelan pembangunan sukarelawan untuk menambah kemahiran sukarelawan YRCP dalam usaha mendampingi keluarga banduan.
Sokongan kewangan bagi keluarga banduan juga akan ditambah.
Pek berupa makanan dan keperluan harian bagi setiap keluarga dan perbelanjaan sekolah bagi setiap anak akan ditambah nilainya daripada $80 kepada $150 setiap tahun. Pek ini ditaja oleh Kumpulan Sukarelawan Heartwarmers, Dana Sokongan Keluarga Banduan dan Dana Reben Kuning.
Selain itu, pek keperluan awal kanak-kanak bernilai $150 akan diperkenalkan buat keluarga yang mempunyai anak kecil berumur lima tahun dan ke bawah.
Satu portal dalam talian, antaranya untuk menyelaras bantuan yang ada bagi keluarga pesalah dan membantu sukarelawan menguruskan kegiatan relawan mereka pula akan dilancarkan pada 2025.
“Dengan bekerjasama, kita boleh membantu orang di sekeliling kita untuk mengatasi cabaran, tanpa mengira keadaan mereka, dan muncul bersedia untuk membina masa depan yang lebih cerah,” kata Encik Chee.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg