Walaupun filem Titanic yang menaikkan namanya di persada seni dunia sudah ditayangkan 27 tahun lalu, pelakon serba boleh, Kate Winslet, masih terkesan dengan komen wartawan dan pengkritik filem mengenai saiz tubuhnya yang gempal ketika itu.
Bagi Winslet, 49 tahun, beliau teruk dibuli media yang sibuk mempersenda berat badannya selepas kejayaan Titanic.
Penerima Anugerah Academy itu mengimbas semula pengalaman pahit dikecam kerana tubuhnya yang tidak seramping pelakon jelita lain dalam satu wawancara bersama rancangan sembang 60 Minutes.
Satu klip video rakaman wawancara lama ditayangkan dalam program itu.
Seorang wartawan, dengan selamba berkata: “Kate, gaun awak nampak sempit. Mungkin awak perlukan dua saiz lebih besar.”
Mengulas perkara itu, Winslet berkata: “Bagi saya, perkara ini menyedihkan. Jenis manusia apakah wartawan itu apabila dia melontarkan kecaman pada pelakon muda iaitu saya yang baru sahaja bertapak dalam bidang seni?”
Beliau berkata pernah sekali dirinya berani mempersoal mereka yang mengutuknya terang-terangan.
“Saya beritahu wartawan itu ketika kami bersemuka. Saya harap awak akan dihantui kecaman awak sendiri sampai bila-bila.
“Apa yang saya buat bukan untuk mempertahankan diri saya tetapi lebih memperjuangkan orang lain yang selalu juga dikutuk kerana saiz tubuh mereka,” katanya lagi.
Dalam satu wawancara awal bersama akhbar The Sunday Times di Britain pada 2022, Winslet berkata beliau bersedia malahan digalakkan menerima peranan sebagai budak gemuk sewaktu melalui pengajian di sekolah lakonan.
Bagaimanapun, kecaman padanya menjadi-jadi setelah kejayaan filem Titanic membawa pada penonton juga menyatakan watak Rose yang dihidupkannya terlalu gemuk untuk watak Jack (lakonan Leonardo DiCaprio).
“Orang cakap budak gemuk tak boleh jadi wirawati filem. Mengapa mereka kejam kepada saya ya? Saya bukannya gemuk sangat.
“Saya adalah remaja yang kian dewasa. Tentunya saiz tubuhnya berubah. Teruk benar saya didera dan dibuli,” katanya yang turut menambah perkara sebegitu boleh menjejas kesihatan minda seseorang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg