Pelakon Hollywood kelahiran Ipoh, Perak, Tan Sri Michelle Yeoh, terasa seakan-akan gagal dalam kehidupannya sebagai seorang wanita kerana tidak dikurniakan anak.
Bagaimanapun, pemenang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada majlis penyampaian Anugerah Academy pada 2023 itu, akur keinginan membina sebuah keluarga dan menimang cahaya mata sudah dipendam lama.
Perkahwinan pertamanya bersama ahli perniagaan, Sir Dicksoon Poon, dari 1988 hingga 1992 pula, bersandarkan keinginan mempunyai anak dan membina generasi mendatang.
Beliau kini isteri eksekutif lumba kereta Perancis, Jean Todt, sejak 2023.
Dalam satu sesi wawancara stesen radio BBC Radio 4 - Woman’s Hour, Yeoh, 62 tahun, berkata beliau masih lagi menyayangi anak kecil walaupun tidak dikurniakan anak dan sudah mencuba yang terbaik.
Sewaktu diajukan soalan oleh penyampai, Nuala McGovern, mengenai tempoh yang diambil untuk berdamai dengan takdir, beliau menjawab:
“Sejujurnya, kadangkala saya masih memikirkannya. Saya sudah berusia 62 tahun. Sudah tentu, saya tidak akan mempunyai bayi sekarang. Namun begitu, kami baru sahaja dikurniakan cucu.
“Hal ini melahirkan rasa syukur dalam diri saya kerana masih mempunyai bayi dalam hidup.”
Yeoh juga mengaku beliau sempat menjalani rawatan kesuburan, namun tidak berjaya.
“Saya rasa saat paling teruk untuk dilalui ialah setiap bulan anda berasa seperti suatu kegagalan.
“Namun, saya juga tertanya mengapa perasaan itu kian berlalu pergi? Saya fikir pada saat itu, saya telah berhenti menyalahkan diri sendiri.
“Saya yang melaluinya. Ada perkara tertentu dalam tubuh yang tidak berfungsi dengan cara tertentu.
“Begitulah keadaannya. Kita hanya perlu mengikhlaskan dan meneruskan hidup.
“Kini, saya sudah sampai ke tahap saya perlu berhenti menyalahkan diri sendiri,” tambahnya.
Yeoh bertunang dengan Todt pada 2004 sebelum kedua-duanya memutuskan untuk berkahwin pada 2023.
Pada Januari, anak tiri Yeoh dikurniakan bayi.
Beliau berasa sangat bertuah kerana mempunyai beberapa anak angkat dan sejumlah anak saudara.
Walau bagaimanapun, ia mengambil masa yang lama untuknya menerima hakikat tidak mempunyai anak sendiri.
“Tidak dikurniakan cahaya mata juga mungkin menjadi faktor utama keruntuhan perkahwinan pertama saya.
“Bagi saya, adalah penting untuk adakan perbualan dengan diri sendiri dan memiliki keupayaan untuk melihat ke hadapan.
“Kami sangat mencintai satu sama lain sekarang, tetapi dalam 10 tahun atau 20 tahun mendatang, saya masih tidak boleh memberinya keluarga yang dia dambakan.
“Itulah sebabnya komunikasi antara pasangan sangat penting.
“Seperti, jika seseorang mahukan anak dan seorang lagi tidak, ini adalah sesuatu yang anda perlu hadapi sejak dari awal (perhubungan) kerana sepanjang perjalanan, akan ada banyak masa yang menyakitkan dan saat-saat yang sukar.
“Oleh itu, saya fikir sepanjang perjalanan rumah tangga kami, saya perlu berani mengakuinya dan bersetuju untuk tidak memperpanjang perkara ini kerana kami telah mencuba,” ulas Yeoh.
Yeoh memenangi Oscar bagi filem, Everything Everywhere All at Once, dan ia merupakan pencapaian membanggakan buat veteran yang membuka ruang bagi ramai pelakon Asia menembusi pasaran Hollywood.
Antara filem lain lakonan beliau termasuk, Tomorrow Never Dies, Crouching Tiger, Hidden Dragon dan Crazy Rich Asians.
Yeoh juga bakal tampil sebagai Madame Morrible dalam versi filem baru, Wicked, yang mula ditayangkan di pawagam pada November.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg