Apakah perkara pertama yang terlintas dalam fikiran sejurus sahaja mendengar frasa “kaunseling perkahwinan”?
Anda mungkin menggambarkan pasangan yang saling menjerit dalam kemarahan atau mungkin pasangan yang sekadar duduk di kerusi dan terlalu berat untuk berkongsi masalah kerana enggan membuka aib.
Kaunseling perkahwinan, bagaimanapun bukan sesuatu yang seharusnya mencetuskan rasa malu.
Beberapa individu terkenal dengan perkahwinan yang kelihatan sempurna mengakui mereka pernah mencuba kaunseling perkahwinan.
Cik Cristina Gonzalez, pakar psikologi di Alliance Counselling, menjelaskan bahawa kaunseling perkahwinan membantu pasangan agar lebih bersifat empati dan saling memahami.
“Ini meningkatkan rasa akrab dan hubungan emosi, yang membuat pasangan boleh menghadapi isu-isu lain seperti membuat keputusan atau mencapai kata sepakat,” tambah beliau.
Bagi pasangan Cik Alex dan Cik Nina (bukan nama sebenar) yang mencuba kaunseling perkahwinan di Singapura, ia telah mengubah pandangan mereka.
Pasangan itu pada awalnya berasa adanya stigma terhadap kaunseling perkahwinan.
Bagi mereka, ia sesuatu yang tabu dan ‘pilihan terakhir’. Malah, mereka ragu-ragu ia dapat membantu.
Tetapi pasangan itu ingat bahawa mereka telah membuat perjanjian agar tidak akan berputus asa terhadap satu sama lain biarpun keadaan begitu mencabar.
Justeru, apabila keadaan hubunagn mereka jadi ‘tidak stabil’, pasangan itu mengingati semula perjanjian yang sekali gus mendorong mereka mendapatkan bantuan kaunseling.
Pasangan tersebut, kini berusia 34 dan 30 tahun dan kededuanya bekerja di industri perbankan dan kewangan.
Mereka mendapatkan kaunseling perkahwinan di Singapura bersama Cik Gonzalez pada Oktober 2022, dua bulan sebelum mereka berkahwin.
Pasangan itu saling mengenali beberapa bulan sebelum itu.
Masa itu agak singkat untuk berdepan dengan isu seperti kecurangan lalu (bagi pihak lelaki) dan kemurungan ringan, kebimbangan dan kecenderungan memudaratkan diri (bagi pihak wanita).
“Hubungan kami masih agak baru dan kami mengalami kesukaran untuk berdepan dengan sejarah hidup masing-masing,” dedah pasangan itu menerusi e-mel.
“Apabila kami mula sedar bahawa hubungan kami terjejas akibat sejarah hidup masing-masing, kami cuba menyelesaikan masalah itu sendiri.
“Tetapi, walaupun kami cuba berkomunikasi dengan bersungguh-sungguh, kami mendapati sukar untuk mendengar isi hati satu sama lain.
“Kami tahu kami 100 peratus komited dalam hubungan ini dan mahu memperbaikinya. Maka adalah lebih baik kami mendapatkan bantuan profesional dari awal sebelum terlambat,” akui pasangan itu.
Ia mungkin sukar untuk mendedahkan perasaan, rasa geram dan masalah hubungan kepada pakar terapi – iaitu seorang asing.
Namun, pasangan harus berasa yakin bahawa pakar terapi dilatih untuk mendengar, daripada menghakimi dan menawarkan ruang selamat untuk berkongsi.
Matlamat utama pakar terapi adalah untuk membantu pasangan agar lebih memahami masalah asas mereka.
Dengan kesedaran yang lebih baik, pasangan boleh memperbaiki keprihatinan dalam hubungan mereka, seperti masalah kepercayaan, komitmen, keakraban atau keintiman.
“Pakar terapi pasangan itu harus memberi tumpuan kepada perkara yang lebih baik terhadap perpaduan mereka dan bagaimana mereka boleh menyumbang kepada kesejahteraan.
“Adalah amat penting bagi kami sebagai pakar terapi untuk mengekalkan pendirian objektif, memahami keperluan, emosi dan keinginan setiap pasangan,” jelas Cik Gonzalez.
Bagi Encik Alex dan Cik Nina, tidak sukar untuk mendedahkan masalah mereka kepada pakar terapi kerana “Cristina membuat kami berasa selesa dan kami sebenarnya berasa lega kerana dapat berkongsi emosi dan fikiran kami dengan penuh ketelusan dan tanpa dihakimi”.
Cik Gonzalez berkongsi bahawa terdapat salah tanggapan berleluasa bahawa pakar terapi akan menyebelahi salah seorang pasangan atau pakar terapi itu adalah jalan penyelesaian dan pasangan tidak perlu mengamalkan sebarang kemahiran baru dalam kehidupan harian.
Ada juga percaya bahawa kaunseling boleh memburukkan lagi hubungan, bukan memperbaikinya kerana mereka perlu bercakap tentang isu yang sukar.
“(Komunikasi terbuka) akan menjadi penambahbaik jika corak maladaptif – kelakuan salah penyesuaian – adalah untuk mengelak dan memendam perasaan.
“Sesetengah orang fikir, jika mereka tidak bercakap tentang sesuatu isu itu, mereka menjaga keamanan. Tetapi sering kali, ia mengakibatkan rasa marah dan ketidakpuasan,” ujar Cik Gonzalez.
Oleh kerana pertelingkahan adalah sebahagian daripada hubungan jangka panjang, mempelajari kemahiran pengurusan konflik mendatangkan manfaat apabila menghadiri sesi kaunseling – sesuatu Encik Alex dan Cik Nina persetujui.
Sebagai contoh, mereka belajar melalui terapi untuk memberi satu sama lain masa agar kembali tenang semasa menghadapi konflik.
Sebagai contoh, memberi satu sama lain ruang kembali tenang selama sekitar dua jam dan berbual semula dalam tempoh 48 jam.
Namun, mengamalkan pendekatan sedemikian secara realiti terbukti sukar pada awalnya apabila masih berasa marah dan konsep itu masih baru buat mereka.
Justeru, mereka memerlukan masa untuk melatih kemahiran baru yang mereka pelajari termasuk mempunyai sempadan sihat dan membentuk ritual bagi menunjukkan kasih sayang.
Pasangan itu telah menghadiri sekitar 20 sesi kaunseling bersama Cik Gonzalez dan masih menemuinya sebulan sekali.
Seandainya anda kurang pasti jika sesebuah hubungan itu boleh diselamatkan menerusi terapi, Cik Gonzalez menyenaraikan keadaan berikut yang sebaik-baiknya memerlukan pasangan menjalani sesi kaunseling perkahwinan.
Terdapat kurang persefahaman antara pasangan.
Bagaimanapun, terdapat saat apabila kaunseling perkahwinan tidak disarankan.
Dalam kes keganasan keluarga, kaunseling pasangan tidak disaran kerana sesi kaunseling boleh menjadi pencetus bagi pelaku untuk bertindak kasar.
Pakar terapi perlu mengakses keganasan itu sebelum meneruskannya. Ia mungkin lebih berkesan untuk merujuk pelaku kepada terapi individu dan memastikan mangsa selamat atau mencipta pelan keselamatan.
Jika anda teragak-agak hendak mencuba kaunseling perkahwinan, Cik Gonzalez menasihatkan agar pasangan saling berbincang tentang sebab utamanya. Cuba lihat jika rasa takut itu berkekalan.
Cuba cari pakar terapi yang kededua pasangan berasa selesa. Sering kali, dengan pakar terapi yang tepat, rasa teragak-agak itu akan hilang semasa sesi pertama, kongsi beliau.
Cik Gozalez mendedahkan adalah lumrah apabila terdapat perbezaan dari segi kesediaan atau minat terhadap terapi.
“Jika salah seorang daripada pasangan itu boleh menerokai mengapa pasangannya berasa teragak-agak dengan penuh kasih sayang, ia dapat membantu,” kata Cik Gonzalez.
“Pasangan yang lebih teragak-agak boleh mempertimbangkan menghadiri sesi terapi sebagai satu cara untuk menunjukkan kasih sayangnya terhadap pasangannya.”
Apabila sudah memutuskan bahawa kaunseling perkahwinan itu baik, buat kajian bersama-sama untuk mencari pakar terapi yang sesuai untuk membantu.
Cik Gonzalez menyarankan agar membaca maklumat tentang pakar terapi di pelbagai laman web atau meminta anggota keluarga atau kawan-kawan berkongsi pengalaman mereka bersama pakar terapi pasangan berbeza.
“Apabila keputusan sudah dibuat dan mereka telah membuat janji temu, pasangan boleh memikirkan tentang jangkaan dan matlamat bagi kaunseling pasangan itu.
“Tempoh sesi kaunseling biasanya 90 minit dan jumlah sesi bergantung pada isu-isu pasangan tetapi secara purata, ia antara lima dengan 10 sesi,” jelas beliau.
Dan, jika masih berasa kurang yakin, berikut nasihat Encik Alex dan Cik Nina:
“Jika anda mahu perkahwinan anda berjaya, anda perlu berusaha.
“Kadangkala, anda tidak tahu apakah masalah asasnya sehingga anda menghadapinya. Memahami punca asasnya akan membantu.”
Rencana ini diterbitkan dalam ‘The Singapore Women’s Weekly’.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg