Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kegiatan luar tingkat pembelajaran, kesihatan mental si cilik

Bukan sekadar riadah, malah penting untuk perkembangan otak, emosi dan sosial
Oct 23, 2025 | 4:18 PM
Beberapa murid Tadika 1 (K1) daripada prasekolah My First Skool melangkah masuk ke dalam lopak lumpur buat kali pertama semasa satu sesi pembelajaran luar bilik darjah di Taman Alam Semula Jadi Chestnut pada 14 Oktober.
Beberapa murid Tadika 1 (K1) daripada prasekolah My First Skool melangkah masuk ke dalam lopak lumpur buat kali pertama semasa satu sesi pembelajaran luar bilik darjah di Taman Alam Semula Jadi Chestnut pada 14 Oktober. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Bermain di luar bukan sekadar kegiatan riadah.

Ia adalah satu keperluan dalam perkembangan menyeluruh kanak-kanak, terutamanya dari lahir hingga umur lapan tahun.

Dalam tempoh ini, otak kanak-kanak berkembang dengan pesat dan pengalaman fizikal dan sosial yang diperolehi melalui permainan luar memainkan peranan penting dalam membentuk asas pembelajaran, kesihatan mental dan gaya hidup sifat.

Kepentingan bermain di luar

Bermain di luar penting kerana ia memberi peluang kepada kanak-kanak untuk terlibat secara langsung dan meneroka dunia sebenar.

Ia melibatkan pergerakan fizikal, seperti berlari, melompat, memanjat dan menyeimbangkan badan.

Kegiatan sebegini merangsang sistem vestibular otak, iaitu sistem yang mengawal keseimbangan dan koordinasi.

Apabila sistem ini dirangsang dengan baik, kanak-kanak lebih bersedia memberi tumpuan dan mampu belajar dengan lebih berkesan apabila berada di bilik darjah kelak.

Selain itu, permainan luar juga menyokong perkembangan kognitif.

Kanak-kanak belajar menyelesaikan masalah, membuat keputusan dan berfikir secara kreatif apabila mereka berpeluang bermain secara bebas.

Kanak-kanak akan mereka permainan sendiri, menetapkan peraturan dan matlamat, serta belajar bekerjasama dengan rakan sebaya.

Ini semua adalah kemahiran penting yang akan membantu mereka dalam kehidupan seharian dan apabila menyertai alam sekolah secara formal.

Kesihatan mental, emosi lebih baik

Bermain di luar juga memberi kesan positif kepada kesihatan mental dan emosi kanak-kanak.

Pendedahan kepada alam sekitar boleh mengurangkan tekanan, keresahan dan gejala kemurungan.

Kanak-kanak yang kerap bermain di luar biasanya lebih ceria, tenang dan mampu mengawal emosi mereka dengan lebih baik.

Di samping itu, permainan luar juga bantu membina ketahanan emosi.

Misalnya, apabila mereka menghadapi keadaan yang tidak dijangka seperti jatuh semasa memanjat atau kalah dalam permainan, mereka belajar bangkit semula, mencuba lagi dan tidak mudah berputus asa.

Ini membentuk daya tahan yang penting untuk menghadapi cabaran hidup di masa hadapan.

Perkukuh hubungan keluarga, sosial

Bermain di luar juga membuka ruang berinteraksi yang lebih luas.

Kanak-kanak belajar bergaul, berkongsi, bergilir-gilir, bertolak ansur dan menyelesaikan konflik secara damai.

Ini membantu mereka membina kemahiran sosial yang positif sejak awal usia.

Apabila ibu bapa turut melibatkan diri dalam kegiatan luar bersama anak, ini dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan, sambil mencipta kenangan manis yang berkekalan sepanjang hayat.

Bentuk gaya hidup sihat sejak kecil

Kegiatan fizikal yang dilakukan semasa bermain di luar menggalakkan amalan gaya hidup sihat sejak usia muda.

Apabila kegiatan luar dijadikan satu rutin harian, kanak-kanak akan membesar dengan tabiat yang sihat, aktif dan kurang masa skrin.

Hutan simpanan seperti di Bukit Timah dan Sungei Buloh, taman permainan di kawasan kejiranan, serta kebun masyarakat yang terdapat di merata tempat, memudahkan kita menggabungkan permainan luar dalam rutin harian.

Tadika kini digalak menggabungkan pembelajaran luar bilik darjah dalam kurikulum kerana ia menyumbang kepada pembangunan kanak-kanak yang lebih menyeluruh.

Sukatan pelajaran yang menggunakan persekitaran luar dan dirancang dengan baik boleh menggalakkan penerokaan dan menimbulkan rasa ingin tahu dalam kalangan kanak-kanak. Sebagai contoh:

Penerokaan sains:

Galak anak anda memerhati deretan semut di kaki lima atau mengenal pelbagai bentuk daun di taman.

• Latihan matematik:

Ajak anak anda mengira bilangan anak tangga, menganggar jarak antara tempat, atau menyusun barang mengikut saiz.

• Perkembangan bahasa:

Galak anak anda bercerita tentang pengalaman dan pengembaraan mereka di luar dan pelajari perkataan baru yang berkaitan dengan alam sekitar.

Panduan praktikal bagi ibu bapa

1) Mula secara kecil-kecilan

Anda tidak perlu merancang kegiatan besar.

Mulakan dengan kegiatan ringkas seperti bersiar-siar atau bermain di taman setiap hari.

2) Pastikan lokasi dipilih mudah dikunjungi

Gunakan apa yang sudah tersedia seperti taman permainan di kawasan kejiranan atau laluan yang menghubungkan taman-taman.

3) Hadirkan diri

Ketepikan telefon bimbit dan beri perhatian penuh kepada anak.

Libatkan diri secara aktif dengan bermain bersama, mencuba kegiatan dan menunjukkan rasa ingin tahu sebagai contoh.

4) Pastikan ia menyeronokkan

Pilih kegiatan yang diminati anak dan bersedia untuk menjadi comot.

Benarkan mereka bermain secara bebas dengan menetapkan peraturan dan matlamat mereka tersendiri.

5) Sertakan cabaran fizikal

Padankan kegiatan lasak seperti memanjat dengan kegiatan yang lebih santai seperti memerhati awan atau mendengar kicauan burung.

Kesimpulan

Bermain di luar penting untuk perkembangan kanak-kanak.

Ia merangsang otak, menyokong perkembangan kognitif, meningkatkan ketahanan emosi, mempertajamkan fokus dan memperkukuh hubungan kekeluargaan.

Kegiatan luar yang konsisten membentuk kemahiran hidup dan ketahanan mental untuk menghadapi cabaran masa depan.

Ia bukan sahaja menyeronokkan, malah mengeratkan tali persaudaraan dan mencipta kenangan manis yang kekal sepanjang hayat.

Penulis kini mengajar secara sambilan dan memberi khidmat perundingan dalam bidang pembangunan awal kanak-kanak. Berkelulusan Ijazah Sarjana dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari Universiti South Australia, beliau berpengalaman dalam industri ini sejak 1987. Beliau pernah melatih ibu bapa kepada kanak-kanak kecil melalui program keibubapaan Mendaki bersama Institut SEED.

Sertai ‘Pathways to Success’, sebuah program anjuran Yayasan Mendaki, pada 15 November 2025. Acara ini khas untuk ibu bapa meneroka cara membantu anak kecil mereka berkembang dengan lebih baik. Imbas kod QR di bawah untuk mendaftar.
Sertai ‘Pathways to Success’, sebuah program anjuran Yayasan Mendaki, pada 15 November 2025. Acara ini khas untuk ibu bapa meneroka cara membantu anak kecil mereka berkembang dengan lebih baik. Imbas kod QR di bawah untuk mendaftar. - Foto MENDAKI
-
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg