Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Semakin ramai ibu bapa sertakan anak dalam pembelajaran luar sekolah

Pembelajaran luar bilik darjah bantu kanak-kanak bina empati, keyakinan, semangat kerjasama
Oct 23, 2025 | 5:30 AM
My First Skool, Outdoor Learning, Outdoor School Singapore (OSS), NTUC First Campus
Seramai 22 murid K1 dari prasekolah My First Skool di Blok 269 Compassvale Link menyertai program pembelajaran luar bilik darjah di Taman Semula Jadi Chestnut pada 14 Oktober, anjuran Outdoor School Singapore (OSS) di bawah NTUC First Campus. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Meskipun kasut dan pakaiannya berselaput lumpur, semangat Aleesya Amelia Luqman tidak luntur.

Sebaliknya, dia melompat-lompat kegirangan di tengah denai hutan selepas menamatkan pendakian di Taman Semula Jadi Chestnut yang terletak bersebelahan Ekspreswe Bukit Timah (BKE).

Aleesya, lima tahun, antara 22 murid Tadika 1 (K1) dari prasekolah My First Skool di Blok 269 Compassvale Link yang menyertai program pembelajaran luar bilik darjah pada 14 Oktober.

Program itu, anjuran Outdoor School Singapore (OSS) di bawah NTUC First Campus, memberi peluang kepada kanak-kanak bermain di luar dan mengenal alam semula jadi.

“Saya sangat gembira dapat lihat biawak dan monyet. Saya juga suka bermain lumpur sebab saya tak pernah buat begitu sebelum ini,” kongsi Aleesya dengan senyuman.

Namun, pengalaman itu bukan sekadar riadah, tetapi ia juga memupuk nilai seperti empati, keyakinan diri, dan daya tahan dalam kalangan kanak-kanak.

“Kadang-kadang, kawan saya berjalan perlahan sebab dia penat, jadi saya ikut (kelajuannya) supaya dia tak keseorangan,” ujar Aleesya.

Beberapa penyedia pembelajaran luar di Singapura melaporkan program pembelajaran dan permainan luar bilik darjah untuk kanak-kanak semakin mendapat sambutan di Singapura sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ia didorong oleh kesedaran semakin meningkat dalam kalangan ibu bapa tentang manfaat kegiatan berasaskan alam semula jadi berbanding jadual pembelajaran terlalu akademik.

Semasa pendakian di Taman Semula Jadi Chestnut, Aleesya Amelia Luqman (kiri) memperlahankan langkahnya untuk menemani rakannya, Nur Munawwarah Abdullah, supaya dia tidak tertinggal.
Semasa pendakian di Taman Semula Jadi Chestnut, Aleesya Amelia Luqman (kiri) memperlahankan langkahnya untuk menemani rakannya, Nur Munawwarah Abdullah, supaya dia tidak tertinggal. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Peningkatan dalam permintaan program

Ketua OSS, Cik Mindy Teo, berkata jumlah penyertaan program mereka meningkat kira-kira tiga kali ganda dalam tempoh tiga tahun.

Menurutnya, jumlah peserta meningkat daripada kira-kira 3,000 pada 2022 kepada kira-kira 9,000 pada 2025.

Tambahnya, sejak OSS ditubuhkan pada 2019, lebih 25,000 kanak-kanak berusia antara tiga hingga 12 tahun telah mendapat manfaat daripada programnya.

Peningkatan serupa turut dialami oleh sekolah berkonsepkan pendidikan luar, Hundred Paths, yang ditubuhkan pada Januari 2023.

Menurut pengasas Hundred Paths, Cik Aminah Abdul Latif dan Cik Sabrina Saleh, mereka kini telah menerima kira-kira 400 penyertaan, dan permintaan daripada ibu bapa untuk menganjurkan lebih banyak sesi di lebih banyak lokasi semakin meningkat.

Sebelum menubuhkan Hundred Paths, Cik Aminah dan Cik Sabrina pernah bertugas sebagai pendidik prasekolah dan sekolah rendah masing-masing.

Program Hundred Paths merangkumi pelbagai peringkat umur, daripada bayi berusia enam bulan hingga kanak-kanak berusia 13 tahun, bagi menggalakkan mereka meneroka alam semula jadi dan mengenali hidupan liar.

“Oleh kerana guru prasekolah perlu mengajar mata pelajaran lain, mungkin tidak banyak peluang untuk kanak-kanak bergerak bebas dan bermain sesuka hati.

“Ibu bapa yang mendaftarkan anak mereka bersama kami mahu mereka membesar secara holistik dan sihat,” jelas Cik Aminah.

Syarikat yang menyediakan pengalaman bermain secara lasak di luar bilik darjah, Longkang Adventures, turut mengesahkan peningkatan minat ibu bapa terhadap programnya.

Encik Nor Akasha Abdul Rahman, yang menubuhkan Longkang Adventures pada November 2020, berkata lebih 400 pendaftaran telah diterima bagi program 2025.

Sebelum menubuhkan Longkang Adventures, Encik Akasha pernah bertugas sebagai pengajar kem luar secara bebas.

Menurutnya, sekitar 75 peratus peserta terdiri daripada keluarga yang pernah menyertai sebelum ini, manakala hampir 45 peratus peserta semasa cuti sekolah September 2025 merupakan peserta baru.

“Antara sebab ibu bapa mendaftarkan anak mereka ke Longkang Adventures ialah untuk mendedahkan mereka kepada alam luar, mengurangkan masa skrin, dan mencipta kenangan,” ujarnya.

Antara pengalaman yang akan dilalui peserta Longkang Adventures ialah bermain secara lasak, seperti di dalam air berlumpur atau di longkang besar.
Antara pengalaman yang akan dilalui peserta Longkang Adventures ialah bermain secara lasak, seperti di dalam air berlumpur atau di longkang besar. - Foto LONGKANG ADVENTURES

Fokus kepada pembentukan sahsiah

Peningkatan minat terhadap pembelajaran luar berpunca daripada keinginan ibu bapa untuk mengurangkan tekanan budaya pembelajaran yang terlalu berpaksikan akademik.

Menurut Encik Akasha, Longkang Adventures berpegang pada prinsip “biarkan kanak-kanak menjadi diri mereka sendiri” dan membenarkan mereka bermain dengan bebas di luar rumah.

“Apabila pembelajaran terlalu menumpukan pada pencapaian akademik, kanak-kanak mungkin terbiasa bersaing dan ingin menjadi yang terbaik.

“Sebaliknya, permainan luar membantu mereka berinteraksi, bekerjasama, dan menjadi sebahagian daripada masyarakat,” katanya.

Beliau juga memerhatikan beberapa kanak-kanak menjadi lebih berani, dan mereka yang pendiam pula mula bergaul dengan orang lain, manakala kanak-kanak aktif mula menghormati persekitaran dan rakan sebaya.

“Mereka mula mengambil berat terhadap kanak-kanak lebih muda walaupun tidak mempunyai pertalian darah,” tambah Encik Akasha.

Seiring dengan prinsip itu, Cik Aminah berkata pendekatan Hundred Paths berpandukan sepenuhnya kepada kanak-kanak.

“Kami mengingatkan ibu bapa yang menemani anak mereka semasa program kami supaya menghormati proses pembelajaran anak dan tidak mencampuri urusan itu,” kongsinya.

Beliau menambah pendekatan itu memberi ruang kepada kanak-kanak untuk menghadapi cabaran, belajar mengatasinya, serta menyelesaikan masalah sendiri dalam suasana selamat.

“Ibu bapa diingatkan bahawa ruang ini untuk anak mereka, dan anak mereka bertanggungjawab terhadap pembelajaran sendiri.

“Kadang-kadang, lebih baik biarkan mereka mengalami sedikit kesukaran, kerana di situlah mereka belajar untuk berusaha dan mengatasi halangan,” ujar Cik Aminah.

Menurut Cik Mindy, kajian yang dijalankan OSS pada Mei turut menunjukkan kesan positif pendekatan sebegitu.

Dalam kajian melibatkan seramai 300 kanak-kanak, dua pertiga dilaporkan menjadi lebih gigih menghadapi cabaran, manakala tujuh daripada sepuluh menunjukkan peningkatan keyakinan diri dalam menyelesaikan masalah.

“Secara keseluruhan, pembelajaran berasaskan alam semula jadi membantu kanak-kanak menjadi lebih kuat, berani, berempati, dan lebih berhubung dengan dunia di sekeliling mereka,” terang Cik Mindy.

Hundred Paths menekankan pentingnya kanak-kanak melalui proses pembelajaran tanpa campur tangan ibu bapa atau pendidik supaya mereka belajar mengatasi halangan sendiri.
Hundred Paths menekankan pentingnya kanak-kanak melalui proses pembelajaran tanpa campur tangan ibu bapa atau pendidik supaya mereka belajar mengatasi halangan sendiri. - Foto HUNDRED PATHS

Pupuk keyakinan dan ketabahan

Pengajar utama OSS, Encik Danial Hakim Putra Kamarudin, berkata kegiatan luar bilik darjah turut membantu kanak-kanak membina keyakinan diri melalui pengalaman baru.

Ini termasuk memanjat kayu balak, mendaki cerun curam, atau melihat haiwan buat kali pertama.

“Tidak mengapa jika mereka tidak berjaya pada cubaan pertama. Yang penting, mereka belajar untuk yakin pada diri sendiri, kenal kekuatan mereka dan terus mencuba.

“Keyakinan dan ketabahan itu akan membantu mereka menghadapi apa jua cabaran, sama ada di alam semula jadi mahupun dalam kehidupan.

“Keseronokan tidak semestinya datang daripada skrin atau peranti digital, malah alam semula jadi ialah ‘taman permainan’ tanpa batas yang penuh peluang pembelajaran,” ulasnya.

Encik Danial, yang telah bekerja sebagai pengajar OSS sejak 2021, ialah antara empat pengajar yang membimbing murid K1, termasuk Aleesya, semasa pendakian di Taman Semula Jadi Chestnut.

Selama hampir tiga jam, kanak-kanak itu diberi peluang meneroka kawasan hutan, mengenali flora dan fauna, serta bermain di kawasan berlumpur – satu pengalaman baru bagi hampir kesemua mereka.

Menurut Encik Danial, setiap kegiatan dirancang untuk membantu kanak-kanak belajar menyelesaikan masalah sendiri dan membina daya tahan emosi.

“Kami bertanya soalan yang mencetus rasa ingin tahu dan menggalakkan mereka membuat keputusan secara berdikari.

“Dengan cara ini, mereka bukan sahaja mengukuhkan kemampuan berfikir, tetapi juga belajar bertanggungjawab terhadap pembelajaran sendiri,” sambungnya.

Menurut pengajar utama Outdoor School Singapore, Encik Danial Hakim Putra Kamarudin, keyakinan yang dibina semasa pembelajaran di luar mampu membantu kanak-kanak menyelesaikan masalah secara berdikari.
Menurut pengajar utama Outdoor School Singapore, Encik Danial Hakim Putra Kamarudin, keyakinan yang dibina semasa pembelajaran di luar mampu membantu kanak-kanak menyelesaikan masalah secara berdikari. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Manfaat jauhi gaya hidup digital

Dalam suasana bandar seperti Singapura, peluang untuk berinteraksi dengan alam semula jadi semakin terhad.

Justeru, Cik Mindy berkata semakin ramai ibu bapa kini mencari peluang untuk anak mereka meluangkan lebih banyak masa di luar rumah dan jauh daripada gaya hidup digital yang tidak aktif.

Dengan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap masa skrin, rabun dan kesihatan mental, beliau menjelaskan bahawa kegiatan berasaskan alam semula jadi dilihat mampu memberi perlindungan.

“Cahaya matahari dan pemandangan jauh membantu menjaga kesihatan mata, permainan aktif menguatkan kecergasan fizikal serta kawalan diri, manakala masa di luar rumah membantu membina ketenangan, tumpuan dan ketahanan emosi,” ujarnya.

Selain itu, Cik Mindy berpendapat pembelajaran luar bilik darjah membuka peluang yang tidak boleh diperoleh dalam suasana kelas biasa, dengan menyediakan pengalaman pelbagai deria yang menyokong perkembangan menyeluruh kanak-kanak.

Tambahnya, pembelajaran luar bilik darjah membolehkan kanak-kanak mengekalkan pengetahuan dengan lebih berkesan, serta membentuk hubungan lebih mendalam dengan dunia di sekeliling mereka.

“Pendedahan kerap kepada alam semula jadi memupuk empati dan kesedaran alam sekitar, membantu kanak-kanak berkembang menjadi pelajar yakin dan bertanggungjawab yang bersedia untuk masa depan,” tegasnya.

Cik Sabrina pula berkata kebanyakan ibu bapa yang mendaftarkan anak mereka ke program Hundred Paths mementingkan perkembangan holistik anak mereka.

Dalam program luar Hundred Paths, beliau berkata akan terdapat banyak penerokaan dan ruang untuk kanak-kanak berkeliaran dan mengekspresikan diri mereka – sesuatu yang jarang dilakukan di rumah atau sekolah.

“Ini membantu kanak-kanak berhubung dengan unsur alam semula jadi ketika mereka bergerak dan berinteraksi di hutan, kerana mereka menyentuh permukaan semula jadi seperti rumput, tanah, pokok, kulit pokok, dan ranting.

“Jadi, ia seperti berada di taman permainan semula jadi,” akui Cik Sabrina.

“Pendedahan kerap kepada alam semula jadi memupuk empati dan kesedaran alam sekitar, membantu kanak-kanak berkembang menjadi pelajar yakin dan bertanggungjawab yang bersedia untuk masa depan.”
Cik Mindy Teo, Ketua Outdoor School Singapore (OSS) di bawah NTUC First Campus.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg