Ramai rasa kagum dengan stamina Ratu Rok, Ella Aminuddin, yang meluap-luap apabila penyanyi berusia 58 tahun itu menaiki pentas The Star Theatre pada 11 Oktober.
Bagaikan tidak percaya Ella atau nama sebenarnya, Nor Zila Aminuddin, sudah melepasi usia ‘50 sen’.
Beberapa penonton konsert, Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia, yang duduk di belakang penulis memberi komen: “Isy! Dia masih boleh terloncat-loncat ya? Kalau kita, dah sakit pinggang!”
Konsert anjuran Hitman Solutions dan Rockqueen itu ternyata memenuhi cita rasa peminat tegar Ella yang dewasa dengan lagu rok balada mahupun rok rancak penghibur manja itu.
Ramai yang turut menanti ucapan dialog selamba, “Ella rasa... Ella rasa...”, tetapi pada hari itu, kata-kata itu seakan-akan tidak muncul dari mulutnya.
Boleh dikatakan, saya senangi set pentas yang terang-benderang, kelihatan bersemarak bagaikan konsert menjelang Tahun Baru dengan paparan grafik yang cantik dipandang mata.
Sistem bunyian pada malam itu juga kedengaran lebih jelas daripada konsert pada Ogos 2023 di lokasi yang sama.
Ella membawa anda menyusuri jalan nostalgia ketika namanya begitu harum disebut-sebut pencinta muzik rok.
Kalau dahulu kita bayangkan beliau membuat persembahan di pesta anekaragam atau ‘funfair’ dan persembahan ‘gig’ jelajah di merata Malaysia, Ratu Rok itu kini berdiri megah di pentas The Star Theatre.
Sungguhpun begitu, sebahagian besar lagu yang didendangkannya pada hari itu agak asing.
Mungkin juga ia lagu yang kurang popular tetapi bermakna buat Ella, sehinggakan kedengaran ramai yang bertanya: “Ini lagu apa?”
Seandainya anda memang jenis yang menghafal semua lagu Ella, mungkin anda dapat menikmati setiap bait lirik yang dilontarkan.
Jadi pada masa ramai tidak tahu apakah lagu yang Ella nyanyikan, kita nikmati sahaja pancaran cahaya gemerlapan di layar pentas, gerak laku penonton lain yang seronok menari dan mengayun telefon bimbit bercahaya.
Bagaimanapun, apabila keadaan kian malam, suasana semakin meriah kerana ramai yang menantikan ketibaan Datuk Awie untuk menemani Ella bagi menyanyikan lagu duet mereka, Baldu Biru.
Kadangkala terasa seperti malam itu merupakan konsert Awie dan bukannya Ella, maaf cakap.
Kerana ramai yang tidak putus-putus memekik “Awie... Awie... Awie” ketika Ella berehat seketika untuk minum air atau bersalin pakaian.
Sama juga setelah Awie selesai menyanyikan lagu, Sejati, dengan vokalnya yang masih lunak didengar dan persis menikmatinya daripada penstriman Spotify.
Mujurlah, Ella tidak lupa dengan siri lagu terkenal lagi ‘wajib’ seperti, Layar Impian, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Standing In The Eyes of the World dan Mendung Tak Bererti Hujan.
Paling puas hati ialah lagu daripada album, Ella USA, Gemilang, yang cukup positif rentak dan liriknya sebagai persembahan yang membangkitkan semangat peminat dan penonton untuk bangun dari kerusi masing-masing dan menyanyi bersama.
Seperti biasa, suami Ella yang banyak memberi dorongan buatnya, Kapten Azhar Ghazali, hadir di pentas untuk menyanyi bersama dan berkongsi cerita.
Satu perkara yang pasti tidak lenyap daripada ingatan penonton konsert Ella ialah kata-kata selamba bintang itu apabila suaminya cuba mempromosikan rawatan hormon yang Ella jalani sehingga kelihatan awet muda dan sihat.
“Ella gunakan rawatan hormon. Bagusnya, ia juga membantu dalam soal kecergasan dan kesihatan... sampaikan masalah darah tingginya pun dah ‘settle’,” kata Azhar.
Yang lucunya, Ella menjawab: “Ella pun tak tahu ada darah tinggi!”
Apa-apa pun, saya rasa sesebuah konsert seorang artis yang sama tidak boleh diadakan hanya selang setahun selepas mereka beraksi di Kota Singa.
Sebabnya, kalau nakkan tampungan teater penuh, datanglah dua atau tiga tahun sekali.
Bagaimanapun, penganjur seakan memberi bayangan Ella dan Awie mungkin berkongsi pentas dalam konsert yang sama seandainya penonton sudi menyokong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg