Kebahagiaan itu hanya datang apabila kita reda dengan ketentuan yang Maha Esa.
Jalan yang terbaik untuk berdamai dengan takdir adalah memaafkan, tidak menyimpan dendam terhadap orang yang pernah melukai hati kita dan tidak meletak harapan yang menggunung pada gelaran.
Itulah falsafah penyanyi pujaan ramai, yang dikenali dengan lagu-lagu bernada tinggi dan lantang, Ziana Zain atau nama penuhnya, Siti Roziana Zain, 56 tahun, dalam mengemudi hidupnya yang penuh ranjau berduri.
Pernah melalui detik hitam dalam melayari bahtera rumah tangga yang berakhir dengan perceraian, Ziana yang ditemui Berita Minggu (BM) selepas sidang media bagi konsert solonya yang akan datang di The Malayan Council@Esplanade pada 29 Jun, berkata beliau kini berasa sangat bahagia.
“Kak Gee (gelaran mesra Ziana) sangat bersyukur kepada Allah dengan nikmat yang Allah bagi kepada hidup Kak Gee sekarang ni. Allah aturkan dengan sangat cantik,” kata penyanyi yang mendapat julukan Jennifer Lopez (J.Lo) Malaysia disebabkan raut wajah yang mirip.
“Kak Gee sentiasa memaafkan dan tidak menyimpan dendam atau menyalahkan sesiapa. Kita jangan mengeluh atau marah dengan apa yang terjadi. Apa yang tidak baik, kita tukarkan kepada sesuatu yang positif. Apabila kita lakukan ini semua, pasti kita dapat terus melangkah ke hadapan,” nasihat Ziana.
Perkahwinan Ziana secara rasminya berakhir pada Julai 2018, apabila suaminya, Armin Zahrin, melafazkan talak satu setelah 20 tahun hidup bersama.
“Apabila Kak Gee dah kembali solo ni, lagilah senang nak melepak dengan kawan-kawan dan peminat.
“Kak Gee kalau lepas ‘show’, mesti Kak Gee akan luangkan masa lepak dengan peminat-peminat Kak Gee, belanja mereka makan.
“Dulu tak boleh… suami ada di rumah, lepas ‘show’ kena balik. Sekarang ni boleh suka hatilah…” seloroh Ziana.
Bercakap mengenai anak-anaknya pula, Ziana yang mempunyai empat cahaya mata hasil perkahwinannya dengan Armin berkata anak-anaknya tidak begitu terkesan dengan perceraian yang berlaku dan mereka sangat memahami tanggungjawabnya sebagai anak seni.
“Alhamdullilah, anak-anak sangat memahami kerjaya ibu mereka. Sebab dari kecil, Kak Gee selalu cakap kepada mereka inilah realiti hidup ibu mereka sebagai orang yang dikenali.
“Kadangkala mereka akan cakap, ‘Mama you are so big (Mama sangat terkenal)... Mama, banyaknya peminat Mama’. Sebenarnya mereka kesian tengok Kak Gee,” ujar Ziana
“Adalah anak Kak Gee yang suka menyanyi, tetapi mereka sendiri kata mereka tak mahu jadi macam Mama (penyanyi), sebab mereka tak rasa boleh melaluinya (jadi orang yang dikenali),” jawab Ziana apabila ditanya BM jika ada anak-anaknya yang mewarisi bakat menyanyi.
Ziana, anak jati Melaka yang berasal dari Merlimau, memang satu nama besar yang tidak asing lagi dalam dunia seni hiburan Melayu.
Sepanjang kerjaya beliau menjadi penyanyi, Ziana telah merakamkan enam album, dengan penjualan keseluruhan lebih daripada 500,000 unit.
Bermula dengan album pertama yang dirakamnya pada 1991, Madah Berhelah, Ziana terus menempa nama di arena seni suara dengan lagu-lagu seperti, Anggapanmu, Sangkar Cinta, Puncak Kasih dan banyak lagi, yang menjadi siulan sehingga hari ini.
Dari segi anugerah pula, setakat ini, beliau telah memenangi 30 anugerah terbaik dan popular setempat (Malaysia) dan antarabangsa.
Antara pencapaian tertinggi beliau adalah menjadi artis pertama Malaysia yang memenangi gelaran, ‘Voice of Asia Keenam’, yang diadakan di Kazakhstan pada 1995, menewaskan 24 peserta dari 20 negara seluruh dunia termasuk Amerika.
Bukan sahaja menyerlah dalam bidang nyanyian, malah Ziana juga terkenal dalam bidang lakonan. Beliau mampu membawa watak sedih, romantik, jahat malah komedi dengan begitu baik sekali.
Kebolehannya dalam bidang lakonan diiktiraf apabila beliau antara lain, pernah dinobat sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Filem Festival Malaysia dan Anugerah Skrin pada 1997 menerusi filem Merah.
Dengan kebolehan dan kejayaan yang sangat membanggakan, sudah pasti ramai yang mengatakan bahawa Ziana sebenarnya sudah layak mendapat gelaran ‘Datuk’.
Ditanya BM mengenai ini, beliau sekali lagi memulakan bicaranya dengan memanjatkan syukur yang tak terhingga kepada Allah di atas rezeki yang diberikan.
“Kak Gee masuk ke dalam industri seni ni sebab Kak Gee suka menyanyi, inilah cinta Kak Gee. Kak Gee juga suka berinteraksi dengan orang. Jadi Kak Gee dalam industri ini bukan untuk mengejar nama atau pangkat.
“Kak Gee dapat atau tidak, Kak Gee tak kisah. Yang penting, pintu rezeki masih terbuka untuk Kak Gee terus bernyanyi. Jika Kak Gee diberi kesihatan, Kak Gee bersyukur.
“Kadang-kadang kalau kita terlalu mengharap sangat dan kemudiannya tak dapat, kita yang akan kecewa. Jadi, tak usah fikir sangat mengenai penghargaan atau kemenangan,” jelas Ziana.
Apa yang penting bagi Ziana, yang sudah berkecimpung dalam bidang seni selama 33 tahun, adalah menggembirakan peminatnya yang sudah lama menyokongnya.
Maka itu Ziana bakal menghadiahkan peminat dengan konsert solo di Singapura, Ziana Zain Konsert 2024, yang akan diadakan di The Star Theatre pada 28 September anjuran Muse+.
“Peminat Kak Gee ni, mereka tahu setiap jalan cerita dalam hidup Kak Gee daripada awal Kak Gee berkecimpung, pergolakan hidup yang Kak Gee hadapi sehinggalah pengakhiran kepada pergolakan itu. Mereka boleh kaitkan lagu Kak Gee dengan fasa kehidupan Kak Gee yang mana.
“Sebab itu mereka sampai menangis apabila Kak Gee nyanyikan sesebuah lagu. Mereka tahu lagu itu ditujukan semasa Kak Gee tengah berperang dengan perasaan Kak Gee,” luah Ziana.
Dalam konsert itu nanti, Ziana akan bekerjasama dengan pengarah muzik, Aubrey Suwito, yang sering mengiringi konsert artis tersohor seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ella dan Dayang Nurfaizah.
“Kak Gee sangat gembira dapat Aubrey sebagai pengarah muzik pada konsert ini nanti. Beliau sangat bagus dalam menyusun lagu mengikut keselesaan Kak Gee dan mengolahkan lagu itu menjadi lebih cantik lagi.
“Ini sangat penting sekali apabila kita perlu menyanyi lebih daripada 20 lagu. Bila nak curi nafas? Bahagian lagu yang mana dan sebagainya.
“Kak Gee pun kadang bosan kalau nyanyi lagu vibe sama sahaja seperti dalam album. Jadi Aubrey memainkan peranan yang penting untuk mengubah mood lagu itu agar dapat mewarnakan lagi konsert pada malam itu,” terang Ziana sebelum mengakhiri wawancara.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg