Topik diikuti
Pergi ke BHkuKejar impian setinggi gunung, bertekad ke puncak 8,000m
Kejar impian setinggi gunung, bertekad ke puncak 8,000m
Jurutera SIA, Adib Azman, menyahut cabaran ekstrem untuk menjadi rakyat Singapura pertama menakluki tiga puncak gergasi di Himalaya dan Karakoram.
Kejar impian setinggi gunung, bertekad ke puncak 8,000m
Bagi Encik Adib Azman, 33, ‘impian setinggi gunung’ bukan sekadar metafora. Ia adalah cita-cita yang membakar jiwa, menuntut beliau mencabar batas keupayaan diri di tengah deruan angin sejuk di puncak-puncak yang sukar ditakluki.
Jurutera Singapore Airlines (SIA) ini bukan pendaki biasa. Beliau kini menggalas misi besar: menjadi rakyat Singapura pertama yang menakluki Gunung Manaslu, Gasherbrum II, dan Gasherbrum I, puncak-puncak tertinggi yang dipercayai belum pernah dijejaki anak watan Kota Singa.
Gunung Manaslu terletak di banjaran Himalaya, dalam wilayah Nepal, sementara Gasherbrum I dan Gasherbrum II terletak di banjaran Karakoram, di kawasan sempadan antara Pakistan dan China
“Everest memang masyhur dan ramai pendaki Singapura sudah ke puncaknya. Saya pula ingin merintis laluan baharu dan mendaki gunung yang belum pernah ditempuh anak bangsa,” kongsi Encik Adib kepada Berita Minggu (BM).
Menurut NASA, terdapat 14 puncak agung melebihi 8,000 meter di banjaran Himalaya dan Karakoram. Menakluki salah satu daripadanya menjadi impian setiap pendaki profesional.
Namun, puncak-puncak ini dikategorikan sebagai ‘zon maut’ (death zone), di mana tekanan atmosfera yang sangat rendah menyebabkan kandungan oksigen hanya sekitar satu pertiga daripada paras laut.
Bermula daripada pelan ‘bidan terjun’
Cinta Encik Adib terhadap dunia altitud tinggi bermula secara tidak sengaja. Pembatalan rancangan bercuti ke Gunung Fuji, Jepun, pada Oktober 2023 mendorong beliau memilih kembara solo ke Kem Pangkalan Everest (EBC) di Nepal sebagai ganti.
Tanpa diduga, langkah spontan itu membawa beliau meredah perjalanan 14 hari sehingga mencecah ketinggian 5,364 meter.
“Saya memilih EBC kerana popular dalam kalangan pendaki baharu. Tidak sangka, perjalanan itu menyalakan api semangat untuk saya meneroka ekspedisi yang jauh lebih ekstrem,” kongsinya.
Setahun kemudian, beliau menawan Puncak Uhuru di Gunung Kilimanjaro (5,895 meter), Tanzania. Di sana, beliau menyelami erti sebenar ‘aklimatisasi’, proses menyesuaikan tubuh dengan tekanan udara rendah yang drastik dalam pendakian lima hari.
Di ketinggian itu, oksigen yang semakin menipis mengubah setiap helaan nafas dan langkah kaki menjadi perjuangan yang menyengsarakan.
“Mendaki gunung menuntut 90 peratus kekuatan mental dan hanya 10 peratus ketahanan fizikal,” ujar Encik Adib, yang mengekalkan kecergasan diri melalui latihan fizikal yang konsisten.
Peralihan ke Dunia Pendakian Teknikal
Minat Encik Adib segera beralih daripada sekadar kembara santai kepada pendakian teknikal yang lebih mencabar.
Pada 11 November 2025, beliau kembali ke Nepal untuk menawan Imja Tse (Island Peak), 6,189 meter, di Taman Negara Sagarmatha.
Tidak terhenti di situ, beliau melangkah lebih jauh pada April lalu dengan berjaya menakluki Puncak Timur Lobuche setinggi 6,119 meter.
“Pendakian teknikal menuntut ketahanan luar biasa serta persediaan yang jauh lebih mendalam,” ujar Encik Adib. Misi ekstrem ini menuntut penguasaan peralatan khusus, daripada tali keselamatan dan krampon untuk mencengkam dinding ais, hingga pakaian termal bagi melawan suhu yang membeku.
Menariknya, beliau melihat persamaan unik antara kerjaya juruteranya dan dunia pendakian.
“Mengurus enjin pesawat atau menakluki puncak gunung memiliki prinsip yang sama; persediaan rapi, pengurusan risiko, dan kerjasama pasukan adalah segalanya. Sering kali, hasil akhir telah ditentukan jauh sebelum hari pelaksanaan,” kongsinya.
Rindu isteri mengatasi ‘mabuk gunung’
Namun, bagi Adib, cabaran paling getir bukanlah ancaman salji atau mabuk altitud. Cabaran terbesarnya lebih bersifat emosi.
“Mendaki puncak gunung atau bertahan dalam suhu ekstrem tidak setanding pengorbanan meninggalkan isteri tercinta selama dua minggu, pada bulan-bulan awal perkahwinan kami,” selorohnya.
Kini, fokus Adib terarah pada misi menakluki puncak 8,000 meter.
Selain persediaan mental dan fizikal, beliau berdepan cabaran kewangan; kos ekspedisi mencecah $59,000, merangkumi permit hingga logistik. Ketiadaan ekosistem pendakian yang kukuh di Singapura turut merumitkan usaha meraih tajaan.
“Saya perlu mengumpul dana secukupnya sebelum menyambung misi ini. Mungkin bukan sekarang, tetapi dalam masa terdekat,” ujarnya. Beliau bertekad membuktikan bahawa matlamat luar biasa tidak terbatas kepada mereka yang lahir di negara bergunung, tetapi mampu digapai anak watan Singapura.
