Kejar kehidupan lebih seimbang, ibu S’pura berniaga dari JB
Kejar kehidupan lebih seimbang, ibu S’pura berniaga dari JB
Pada pagi hari biasa di Johor Bahru (JB), Cik Nur Syafawani, 30 tahun, melangkah ke balkoni apartmen studio sewaannya seluas 55 meter persegi dengan secawan kopi di tangan, sambil menghela nafas panjang seketika.
Tiga hari seminggu, warga Singapura itu, seorang ibu kepada tiga orang anak, tinggal bersendirian di Forest City, sebuah pembangunan hartanah bersepadu di JB yang terletak kira-kira sejam perjalanan dari Pusat Pemeriksaan Woodlands.
Walaupun sewa bulanannya sekitar RM2,000 ($645), keputusan untuk tinggal di situ tiga hari seminggu dianggapnya sebagai antara yang terbaik dalam hidupnya.
Menurutnya kepada akhbar The Straits Times (ST), pengaturan ini penting untuk kesihatan fizikal dan mental, selain menyokong perniagaan bakeri dalam talian yang kian berkembang dari seberang Tambak.
Ibu tiga anak berusia 12, sembilan dan tiga tahun, Cik Nur Syafawani ialah wajah di sebalik BidadariKek, sebuah akaun TikTok yang dimulakannya pada 2019 untuk menghias kek dan berkongsi resipi bakeri.
Lama-kelamaan, beliau mula menerima tempahan khas melalui akaun itu.
Dalam bahasa Melayu, bidadari bermaksud pari-pari, melambangkan kesediaannya memenuhi hampir apa sahaja permintaan pelanggan.
Akaun itu meraih sambutan besar semasa pandemik dan kini mempunyai lebih 126,000 pengikut.
“Orang selalu tanya sama ada saya boleh buat ini dan itu. ‘Sebut saja, saya akan siapkan,’ katanya sambil ketawa.
Beliau pernah menghasilkan kek cicak bersaiz besar, selain kek berbentuk taco dan gulungan sushi.
Pada November 2025, beliau melancarkan Frenchella Patisserie dan mula menjual hasil bakerinya di TikTok Shop.
TikTok Shop merupakan cabang e-dagang platform media sosial tersebut.
Kroisan berinti dijual pada harga $3.70 sebiji, manakala sekotak biskut cip coklat berharga $18.
Langkah itu menjadi titik perubahan besar, melonjakkan perniagaannya ke tahap baru.
Melalui TikTok Shop, beliau lazimnya menjual sekitar 500 tin tart Frenchella keistimewaannya setiap minggu, iaitu biskut lembut dan rapuh berhias krim Nutella yang tidak lokek, pada harga $23 sekotak.
Beliau menggunakan mentega Perancis berkandungan lemak 84 peratus, mentega profesional bermutu tinggi yang menghasilkan tekstur bakaran mewah.
Mentega sebegini dihasilkan oleh jenama tenusu premium Perancis seperti Lescure dan Elle & Vire Professionnel.
Pada November juga, beliau memindahkan operasi pembakarannya dari Singapura ke JB bagi menurunkan kos operasi, mendapatkan bahan mentah yang lebih luas dan berpatutan, serta membuka peluang kerjasama dengan bakeri tempatan.
Namun, peringkat awal peralihan itu tidak mudah.
Sambil menangani masalah awal operasi di JB dan menguruskan rumah tangga di Singapura, beliau kerap berulang-alik antara kedua-dua bandar, membelanjakan hampir $2,000 untuk penginapan hotel di JB dalam tempoh lima minggu.
Menjelang Januari, selepas dua bulan mengimbangi perniagaan dan menjaga anak-anak termasuk anak sulungnya yang menghidap autisme, gaya hidupnya tidak lagi mampu dikekalkan.
“Saya kehilangan tidur dan selera makan hingga tertidur di tengah perbualan dan tidak makan lebih 40 jam. Dua bulan itu adalah yang paling meletihkan dalam hidup saya,” katanya.
Beliau turut menyedari dirinya semakin mudah marah, menjejaskan kehidupan di rumah.
Akhirnya, beliau berbincang dengan suaminya bagi mencari penyelesaian.
Suaminya kini bekerja sepenuh masa bersamanya selepas meninggalkan jawatan terdahulu sebagai pengurus sebuah syarikat bot.
Suaminya, yang enggan dinamakan, menguruskan operasi di Singapura termasuk logistik dan kewangan.
Mereka akhirnya bersetuju untuk membahagikan masa antara Singapura dan JB.
Laluan berliku menuju kejayaan
Cik Nur bukan asing dengan kerja keras. Pada 2015, ketika berusia 20 tahun, beliau dan ibunya menjual biskut Hari Raya melalui Facebook, meraih sekitar $3,000 dalam tempoh dua minggu.
Walaupun ibu bapanya warga Singapura, mereka berpindah ke JB ketika beliau berusia lapan tahun sebagai sebahagian daripada rancangan persaraan awal.
Cik Nur ialah anak keempat daripada lima beradik.
Beliau masih ingat bangun sebelum subuh pada musim Hari Raya, menaiki pengangkutan awam merentasi Tambak dan menghantar biskut kepada pelanggan di Singapura sebelum tengah hari.
Didorong sambutan menggalakkan, usaha itu diulang pada 2016, dengan sasaran jualan $5,000 berjaya dicapai.
Ketika itu, Cik Nur berulang-alik setiap minggu ke Singapura untuk menghadiri pengajian di Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa), sambil mengasah kemahiran bakerinya dari rumah.
“Saya belajar melalui YouTube cara membuat dan menghias pencuci mulut seperti brownies dan kek hari jadi, sambil meminta pelanggan memberi maklum balas supaya saya boleh perbaiki hasil saya untuk tempahan seterusnya,” katanya, yang berpindah ke Singapura selepas berkahwin pada pertengahan 2016.
Pada 2021, beliau membuka bakeri fizikal di Jalan Sultan bersama rakan kongsi, namun ditutup setahun kemudian akibat perbezaan haluan.
Beliau kemudian menyertai sebuah acara hujung tahun di Singapore Expo pada akhir 2022, dengan jualan laris dalam tempoh sejam pada hari pertama.
Didorong kejayaan itu, beliau melaburkan $20,000 untuk membuka bakeri sendiri, BidadariKek, di West Coast Drive pada Februari 2024, dengan menggajikan dua kakitangan sepenuh masa.
Namun, pada September 2025, bakeri itu ditutup selepas beliau bergelut mengimbangi operasi bakeri dan perniagaan kek tempahan khas.
“Kami bekerja hingga lewat malam setiap hari, malah kadang-kadang bermesyuarat antara 3 dengan 6 pagi. Orang selalu mengingatkan saya supaya menjaga diri. Ketika itu saya sedar perlu menutup bakeri dan mencari cara lain untuk menjana pendapatan sambil melakukan apa yang saya cintai, tanpa bekerja 24 jam sehari,” katanya.
Selepas penutupan tersebut, beliau dan suaminya memindahkan operasi ke JB, pada awalnya merancang untuk menjalankan bakeri dari dapur mudah alih dalam sebuah kontena lori.
Namun selepas mencatat jualan $10,000 seminggu, mereka pantas mengubah haluan dengan menjual kontena itu dan berpindah ke ruang dapur komersial yang lebih besar di JB.
Proses pembelajaran itu mencabar, akui beliau.
Apabila mula menjual di TikTok Shop, beliau terpaksa memulangkan sekitar $5,000 kepada pelanggan selepas penghantaran pertama biskut tiba rosak akibat pembungkusan yang tidak memadai.
“Jika termasuk kos buruh dan yuran lain, saya kehilangan sekitar $13,000 dalam satu hari. Inilah detik sukar yang jarang dilihat orang,” katanya.
Sejak September 2025, beliau telah melaburkan lebih $150,000 ke dalam perniagaannya dan kini mengendalikan dua dapur komersial, masing-masing seluas 37 meter persegi di Singapura dan 139 meter persegi di JB, dengan 10 kakitangan sepenuh masa.
Tidak lazim tetapi perlu
Daripada melihat apartmen studionya hingga berpindah masuk, Cik Nur hanya mengambil masa tiga hari pada Januari.
Antara barangan terawal yang dibelinya ialah peralatan kaca, sesuatu yang sukar dimilikinya di rumah yang penuh dengan anak-anak.
Karpet putih berkilau dan permaidani berwarna pastel menyusul selepas itu.
“Saya tidak sangka perkongsian kehidupan saya dalam talian memberi inspirasi kepada orang lain, terutama ramai ibu yang memahami keperluan ruang sendiri,” katanya.
“Di JB, saya tidur awal, bangun menyaksikan matahari terbit, minum kopi dan berjalan di pantai berdekatan. Apabila saya tenang, saya lebih produktif. Ia benar-benar memberi kesan.”
Rentak kehidupan yang lebih perlahan membolehkannya menemui semula minatnya seperti melukis dan mengambil gambar, di samping mengubah cara beliau menghargai masa bersama keluarga.
“Sejak melakukan ini, saya tidak lagi mudah marah di rumah kerana masa bersama keluarga terasa lebih berharga,” katanya, sambil menambah sokongan suaminya penting bagi menjayakan gaya hidup tersebut.
Pasangan itu juga mempunyai pembantu rumah untuk menguruskan rumah tangga dan anak-anak ketika mereka sibuk bekerja.
Cik Nur merancang meneruskan kehidupan sebegini sekurang-kurangnya lima tahun lagi.
“Saya percaya anak-anak memerlukan ibu bapa yang gembira dan sihat. Itu yang paling penting,” katanya.
“Apa gunanya berada di rumah sepanjang masa jika kita mudah tertekan? Dua perkara boleh wujud serentak: kita boleh hadir untuk keluarga secara emosi dan fizikal, sambil tahu bila perlu mencipta ruang untuk mengawal diri,” tambahnya lagi.

