Cik Seri Amalia Khairil masih ingat lagi kejadian yang berlaku di restoran piza ketika anaknya yang mengalami autisme, Mohamad Darwisyh Mohamad Azmey, masih kecil.

Anaknya itu berkelakuan seperti biasa – membuat bunyi, bergerak-gerak – namun, kelakuan itu dianggap luar biasa oleh seorang wanita yang duduk berdekatan.

Wanita itu asyik merenung kanak-kanak tersebut, sebelum akhirnya menyuruh keluarganya duduk di tempat yang lebih jauh daripada Cik Seri dan anaknya.

“Kejadian seperti itu mengingatkan saya bahawa apabila saya berjalan-jalan di luar dengan Darwisyh, saya bukan hanya perlu menguruskan anak saya, malah respons dunia terhadapnya,” kata ibu empat anak itu.

Cik Seri, 39 tahun, menyifatkan anak sulungnya yang berumur 13 tahun, sebagai kanak-kanak yang penyayang dan sensitif, dan mengalami dunia dalam cara yang sedikit berbeza.

Darwisyh berasakan perkara dengan mendalam walaupun tidak selalu meluahkannya dalam cara biasa seperti kanak-kanak ‘neurotipikal’ atau ‘normal’.

Membawa Darwisyh keluar tidak semudah “jom keluar”, kongsi Cik Seri, dalam wawancara bersama Berita Harian (BH).

“Ia memerlukan banyak perancangan dan kita perlu fikirkan tentang ke mana kita akan pergi, adakah tempat itu sesak dan berapa lama kita boleh berada di sana,” katanya.

Namun, beliau menambah, walaupun dengan persiapan dan perancangan yang dibuat, ada beberapa perkara yang tidak dapat dikawal iaitu reaksi orang lain dan perasaan Darwisyh pada satu-satu ketika itu.

Justeru apabila tiba di destinasi yang dituju, Cik Seri akan memerhatikan sekitarannya, terutama sekali paras bunyi, kesesakan, susun atur ruang dan sama ada terdapat tempat untuk anaknya menenangkan diri jika perlu.

“Mata saya juga sudah terbiasa mencari jalan keluar. Ia sesuatu yang saya belajar sejak mempunyai Darwisyh, supaya saya rasa lebih bersiap sedia.

“Bukannya saya menjangkakan sesuatu akan berlaku, tetapi mempunyai pilihan itu memberi saya rasa (adanya) kawalan.

“Jika Darwisyh rasa terlalu overwhelmed (banyak stimulasi), saya tahu saya boleh membawanya keluar dengan cepat tanpa memburukkan lagi keadaan,” kata jururawat psikiatri berdaftar di Institut Kesihatan Mental (IMH) itu.

Cik Seri berkata beberapa perkara boleh membuat anaknya berasa terlalu banyak stimulasi dan ini termasuk bunyi kuat atau sekitaran sesak.

Tekanan yang berkumpul juga boleh menjadi punca, katanya.

Sedang beliau bersedia menyokong anaknya ketika melalui masa sukar, reaksi negatif orang di sekeliling kerap menambah kepada tekanan emosinya.

Namun, beliau akur ada juga individu baik hati yang menolong dan memberi beliau dan anaknya ruang.

“Saya rasa apabila kakitangan dilatih untuk bertindak balas dengan penuh pemahaman dan kesabaran, ia dapat menjadi contoh kepada orang lain untuk melakukan perkara yang sama.

“Mempunyai seseorang yang tampil dengan tenang, menawarkan sokongan, dan memberi keluarga masa dan ruang untuk menguruskan situasi boleh membawa perbezaan besar,” ujar Cik Seri.

Menurutnya, tempat yang mesra individu autisme, seperti yang menawarkan pencahayaan lebih lembut, paras bunyi lebih rendah, serta mempunyai ruang selesa dan terbuka, membantu keluarganya berasa senang dan selesa menikmati masa bersama.

Namun, turut penting adalah kesedaran, pemahaman dan kesabaran daripada orang di sekeliling, tambahnya.

“Apabila Darwisyh mengalami luahan emosi yang kuat apabila berasa terlalu banyak stimulasi, apa yang paling menyentuh hati saya ialah apabila seseorang itu mengangguk kecil atau memberi senyuman mesra.

“Mereka seolah-olah mengatakan ‘tidak mengapa’ tanpa berkata apa-apa.

“Ia tidak selalu berlaku, tetapi apabila ia berlaku, kami sentiasa mengenangnya.

“Kadangkala bantuan yang diperlukan bukanlah campur tangan.

“Memberi ruang, menunjukkan kesabaran, dan memilih kebaikan daripada kritikan juga adalah bantuan,” tambahnya.